Endgame- 10 Malam Terakhir Ramadhan – Awang Ilham

0
1313
views

Avengers Endgame

“WE ARE IN THE ENDGAME NOW”

Secara sunnatullah nya, Allah menciptakan setiap sesuatu itu dengan kelebihan serta keberkahan berbanding penciptaanNya yang lain dalam kategori yang sama.

Sebagai contoh:

  1. Penciptaan makhluk: Manusia diberi kemuliaan dan kelebihan berbanding makhluk yang lain.
  2. Penciptaan manusia: Muslim (dan pelbagai tingkatan lagi) mempunyai kelebihan berbanding manusia yang lain.
  3. Penciptaan planet: Bumi (serta tempat yang diberkahi – Makkah al-Mukarramah) diberi keistimewaan berbanding planet dan tempat-tempat yang lain.
  4. Penciptaan hari: Hari Jumaat diciptakan dengan kelebihan tertentu berbanding hari-hari yang lain.
  5. Penciptaan waktu: Penghujung hari Jumaat dimustajabkan doa berbanding waktu lainnya di hari itu dan Allah ‘turun’ ke langit bumi pada hujung 1/3 malam bagi mengabulkan munajat para hambaNya.

Oleh itu, bulan Ramadhan juga tertakluk dengan sunnatullah yang sama dengan 10 malam terakhir Ramadhan dikurniakan pelbagai kelebihan berdasarkan nas-nas yang sahih.

Jadi, tak salah jika kita anggap 10 malam terakhir Ramadhan sebagai ‘endgame’ yang perlu kita berikan fokus sepenuhnya.


“I DON’T FEEL SO GOOD”

Dalam bulan Ramadhan, alhamdulillah ada antara kita yang dapat menghabiskan bacaan al-Quran 1 kali (atau lebih), ada yang berjaya menyelesaikan solat terawih bersama imam di masjid, ada yang dapat bangun awal untuk bertahajjud dan ada juga yang dapat berterusan bersedekah.

Namun ada juga di antara kita yang kurang berjaya beramal sepenuhnya di bulan Ramadhan atas kekangan tertentu.

Ianya tidaklah bermakna ini adalah pengakhiran yang sedih dan muktamad untuk Ramadhan kali ini.

Berdasarkan potongan hadis ke-4 yang dihimpunkan oleh Imam Nawawi berikut, mari kita ambil sedikit inspirasi untuk terus beramal di hujung bulan Ramadhan ini:

Maka demi Allah yang tiada Ilah selain-Nya, ada seseorang diantara kalian yang mengerjakan amalan ahli surga sehingga tidak ada jarak antara dirinya dan surga kecuali sehasta saja, kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli neraka dan ia masuk neraka.

Ada diantara kalian yang mengerjakan amalan ahli neraka sehingga tidak ada lagi jarak antara dirinya dan neraka kecuali sehasta saja. kemudian ia didahului oleh ketetapan Allah lalu ia melakukan perbuatan ahli surga dan ia masuk surga.”

Setiap dari kita melalui Ramadhan dengan pengalaman yang berbeza bergantung kepada pelbagai faktor antaranya (sekadar menyebutkan beberapa contoh) iaitu faktor motivasi, faktor geografi (negara serta cuaca dimana kita berpuasa), faktor pekerjaan, faktor biologi serta faktor tanggungjawab kekeluargaan.

Dan saya fikir membuat perbandingan prestasi amal kita di bulan Ramadhan dengan prestasi orang lain adalah satu tindakan yang kurang wajar berdasarkan perbezaan faktor di atas.

Kerana kita sepatutnya melakukan penilaian terhadap diri sendiri dan menambahbaik kekurangan diri untuk mencapai sasaran peribadi sesuai dengan pengajaran dari ayat ke-18 surah al-Hasyr berikut:

Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Sekiranya kita merasakan prestasi kita pada 20 hari Ramadhan yang telah berlalu tidak pada tahap yang sepatutnya, maka ayuh kita jadikan baki 10 malam terakhir Ramadhan sebagai titik perubahan hidup kita bermula Ramadhan ini.

“WHATEVER IT TAKES”

Setelah berbicara mengenai kepentingan serta sedikit cetusan semangat bagi menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan, sudah tentu kita perlu susuli dengan merancang bagaimana hendak mengoptimumkan masa yang kita ada sepanjang endgame Ramadhan ini.

10 Malam Akhir Ramadhan

 

Di sini dicadangkan tips:

  1. Merancang aktiviti sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan

Rancanglah dengan sebaik mungkin setiap aktiviti sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan ini.

Libatkan pasangan, ahli keluarga, rakan-rakan serta teman seusrah anda dalam merancang bersama untuk menghidupkan 10 malam terakhir Ramadhan.

Pastikan anda mengambilkira aspek Why (objektif aktiviti), What (sasaran yang ingin dicapai dari aktiviti itu), Who (siapa yang anda ingin libatkan dalam aktiviti tersebut), When (bila anda ingin laksanakan aktiviti itu), Where (di mana anda ingin laksanakan aktiviti tersebut) dan How (bagaimana anda inginkan aktiviti itu berlaku).

  1. Menyusun prioriti amalan

Ambil kira keperluan-keperluan serta tanggungjawab yang perlu diberi keutamaan.

Sudah tentu amalan wajib perlu diutamakan berbanding amalan sunat.

Dan jangan dilupakan juga hak mereka yang perlu anda tunaikan.

Dan saya pasti setiap dari kita mempunyai keutamaan yang berbeza, oleh itu eloklah anda sentiasa berbincang dengan mereka yang lebih berilumu, berpengalaman serta dipercayai bagi membimbing anda dalam menentukan keutamaan.

  1. Memvariasikan amalan

Anda juga boleh mempelbagaikan amalan di sepanjang 10 malam terakhir Ramadhan.

Tiada halangan untuk anda mengehadkan amalan hanya pada ibadah seperti solat sunat dan membaca al-Quran sahaja.

Kemungkinan prestasi amal anda pada 20 hari Ramadhan sebelumnya kurang memuaskan kerana anda tertekan akibat meletakkan sasaran yang tidak realistik kepada amalan yang khusus.

Oleh itu, ada baiknya juga anda enjoy the ride, loosen up dan ambilkira amalan lain seperti membantu menyediakan juadah berbuka puasa, terlibat mengedarkan bantuan kemanusiaan dan menulis artikel (seperti ini)!.

“PART OF THE JOURNEY IS THE END”

Ramadhan adalah sebahagian dari program yang diatur oleh Allah untuk membentuk hamba-hambaNya menjadi hamba yang bertaqwa sebagaimana yang ditetapkan objektifnya oleh Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183.

Bahkan salah satu hasil Ramadhan adalah untuk menghasilkan hamba yang dekat dengan Nya berdasarkan tafsiran Prof Dr Hamka terhadap ayat 186 dari surah al-Baqarah.

Akhirnya, marilah kita bersama-sama memanfaatkan sepenuh waktu di hujung Ramadhan yang ada ini – terutamanya di 10 malam terakhir – untuk meraih segala tawaran yang telah Allah tetapkan!

Rujukan

  1. Tuntutan Puasa, Tarawikh & Shalat Idul Fitri oleh Prof. Dr. Hamka terbitan Gema Insani Jakarta 2017
  2. Forum “Ubah atau Rebah” anjuran HijrahEd bersama Dr Rozaimi Ramle dan Ustaz Azlan Shah Nabees Khan, 22 Mei 2019 di ARBA Travel Sdn Bhd.
  3. Program IMAN x Ramadhan: Reflect . Refresh. Restart. 19 Mei 2019 di IMAN Shoppe Serdang.

 

 

 

 

 

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.

Leave a Reply