Fesyen Tudung Wanita Dan Tanggungjawab Lelaki – Wan Salman Wan Sallam

0
665
views

Ramai muslimah masa kini memilih untuk bertudung. Maka fesyen terkini turut mengikut berkembang agar muslimah juga mengikut trend wanita moden dekad ini.

Sungguhpun begitu, pemakaian tudung dan menutup aurat ini juga menerima kritikan dan penghakiman berterusan.

attractive Muslim woman on black background

Am mengetahui, fatwa syarak yang popular berkenaan penutupan aurat wanita ialah penutupan keseluruhan bahagian anggota tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan sahaja.

Sungguhpun dengan pelbagai pandangan dari segi sivil dan undang-undang ke atas penutupan aurat, akhirnya tindakan ini adalah pilihan peribadi muslimah dan golongan wanita.

Penutupan aurat ini bukanlah semata-mata menutup dari segi harfiah. Ia hadir bersama tanggungjawab memelihara maruah diri serta menjaga kesederhanaan dalam amalan seharian seorang muslimah.

Timbul kesedaran

Perkara ini boleh dilihat dalam satu video oleh laman popular Buzzfeed yang memaparkan empat orang wanita bukan Islam mencuba pakaian tudung.

Salah seorang daripadanya dilaporkan menyatakan bahawa beliau berasa perlu bersederhana dalam perwatakan apabila mula memakai tudung.

Peserta dalam program itu juga dilaporkan mula berasa nilai intelek mereka meningkat dan tidak perlu menjadi objek seks dan mainan lelaki semata-mata.

 
 

Oleh sebab itu, secara peribadi, saya menyokong kenyataan dan panduan yang berimbang daripada seorang penceramah, Zaharudin Abd Rahman di blognya berkenaan garis panduan muslimah yang ingin berfesyen.

Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR)
Ustaz Dr. Zaharuddin Abdul Rahman (UZAR)

Hakikatnya seseorang wanita sepatutnya dinilai daripada nilai dirinya sendiri dan keilmuannya dan bukannya apa yang mereka pilih untuk disarung pada diri mereka semata-mata.

Saya tidak menafikan betapa pentingnya berpakaian dengan kemas. Sungguhpun begitu, kritikan dan pendapat yang berterusan terhadap fesyen wanita ini seolah-olah memperlihatkan kejatuhan maruah wanita adalah semata-mata salah wanita itu sendiri.

Keadaan ini dilihat lebih tidak adil apabila kebanyakan yang mengkritik itu pula ialah pihak Adam yang syarat penutupan auratnya jauh lebih mudah.

Siapa dapat nafikan betapa mudahnya lelaki untuk menutup aurat, sama ada untuk mengikut fesyen, atau untuk beriadah.

Wanita pula sentiasa dikritik tanpa mempertimbang kesusahan yang mereka perlu alami dalam menutup aurat di samping boleh mengekalkan persepsi awam terhadap imej diri dan keyakinan mereka.

Hakikatnya, dalam al-Quran sendiri, Allah telah memberi panduan tentang tanggungjawab lelaki beriman dalam hal ini (Al-Nur: 30)

“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka.

Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Ayat 31 dalam surah yang sama merupakan panduan yang lebih panjang dan lebar pula untuk wanita beriman. Namun seorang lelaki yang beriman sepatutnya melihat lebih daripada sekadar kurangnya tanggungjawab mereka dalam penjagaan aurat dan penjagaan penglihatan.

Tanggungjawab lelaki

Sebaliknya, lelaki beriman seharusnya menghayati ayat ini dengan lebih mendalam dengan menyedari bahawa apabila ayat ini hanya menerangkan tentang kepentingan lelaki menjaga pandangan dan hanya sedikit tentang menutup aurat.

Hal ini bermakna, secara fitrahnya, lelaki boleh menjaga aurat dengan mudah. Masalah yang lebih besar buat kaum Adam ini adalah menjaga pandangan mereka sendiri.

Benar, kaum muslimah mempunyai tanggungjawab yang lebih sukar dan berat untuk menjaga aurat mereka. Maka seharusnya, menghayati semangat ayat ini, lelaki tidak boleh dengan semena-mena menyalahkan cara wanita berpakaian apabila golongan ini menjadi mangsa gangguan seksual.

Suatu kebenaran yang pahit ialah trend fesyen yang menjadikan wanita hari ini sebagai objek boleh dilihat menjadi sebegitu rupa kerana secara fitrahnya lelaki suka melihat wanita.

Maka akhirnya apabila wanita ingin mengikut trend, mereka juga akhirnya tanpa sedar terperangkap dalam perang psikologi ini walaupun mereka tidak berniat langsung untuk mencuri pandangan lelaki.

Dalam kata lain, tuntutan pandangan lelaki inilah yang menghasilkan fesyen hari ini dan kecenderungan menjadikan wanita sebagai objek.

Dengan menghayati ayat tersebut dengan lebih lanjut, lelaki beriman tidak sepatutnya cepat menghukum cara seseorang itu berpakaian.

Sebaliknya, lelaki juga harus bertanggungjawab terhadap apa yang mereka pandang memandangkan adanya suruhan langsung dari Allah agar lelaki menjaga juga kehormatan kaum berlainannya di samping perlunya menjaga nafsu mereka sendiri.

Tundunkkan Pandangan
Tundunkkan Pandangan

Memang benar, wanita ada yang memakai pakaian yang menarik perhatian malah mungkin mencolok mata. Namun akhirnya, lelaki itu sendiri yang punya pilihan sama ada mahu mengganggu mereka atau membiarkan mereka; mahu merogol mereka atau menyelamatkan mereka.

Kesimpulannya, penjagaan kehormatan dan maruah individu dan gender bukan hanya terletak pada satu-satu gender sahaja. Masing-masing perlu menjaga imej diri dan profesionalisme dan masing-masing perlu menjaga pandangan dan memastikan nafsu sendiri berada dalam kawalan.

Hakikatnya, wanita punya pilihan untuk memakai berlebih-lebihan atau memakai secara sederhana manakala lelaki juga punya pilihan sama ada mahu memandang wanita sebagai objek seks mereka atau menghormati mereka sebagai manusia yang sama darjat dengan mereka di sisi Allah.

Akhirnya, perhitungan kita nanti berlaku pada peringkat individu jua. Kita tidak boleh menyalahkan apa yang wanita pakai atau apa yang lelaki mahu pandang. Anda juga bertanggungjawab terhadap tindakan dan kesan terhadap tindakan anda, di dunia mahupun akhirat.

KUPON BUKU DISKAUN RM5 IMANSHOPPE

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.

Leave a Reply