Harapan Dan Solidariti Untuk Palestin : Women’s Boat To Gaza

0
20
views

fb_img_1473503378658

Women`s Boat To Gaza merupakan satu inisiatif Freedom Flotilla Coalition (FFC). Misi ini akan disertai oleh lebih 20 orang wanita ternama dari pelbagai negara dan agama dan akan mengetengahkan objektif yang cukup besar iaitu memberi tekanan kepada Israel agar menghentikan kepungan di Gaza yang berlarutan selama hampir 10 tahun.

Seterusnya,tujuan penganjuran misi keamanan ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dunia bahawa hak-hak rakyat Palestin harus dikembalikan di samping menunjukkan solidariti bersama rakyat Palestin terutamanya wanita dan kanak-kanak dan perjuangan membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionisme rupakan usaha bersama seluruh dunia.

“Misi ini adalah sekecil usaha ke arah pembebasan Palestin dan kita mahu wanita dan kanak-kanak di Palestin merasakan dunia ini cakna pada nasib mereka.”

Inilah kata-kata yang diungkapkan olehDr Fauziah Binti Hj Mohd Hasan (Ahli Jawatankuasa Pusat IKRAM dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE) salah seorang peserta yang akan mewakili Malaysia untuk misi Women’s Boat To Gaza semasa penulis menziarahinya di pejabatnya di Hospital Ampang Puteri pada selasa yang lalu.

Selain itu, Puan Norsham Abu Bakar (Ahli Teras IKRAM dan Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah MyCARE) juga terpilih untuk mewakili Malaysia untuk misi ini yang dijadualkan akan berlepas dari Barcelona pada 14 September dan dijangka tiba di Palestin pada 1 Oktober.

Gaza merupakan penjara terbesar yang menempatkan hampir 2 juta manusia yang terkepung, disekat dari keluar masuk dan mereka hidup dengan penuh kesengsaraan yang mana rumah, sekolah, hospital dan sebagainya dibom oleh Israel.

Perjuangan membebaskan bumi Palestin ini adalah tanggungjawab kita semua. Kerana 3 perkara. Pertama, kerana atas dasar kemanusiaan, kedua kerana mereka adalah saudara seislam kita dan ketiga kerana bumi Palestin yang terletaknya Masjid AlAqsa yang merupakan kiblat pertama umat islam.

Kisah Ummu Haram Binti Milhan

Ummu Haram Binti Milhan ialah wanita muslim pertama yang menyertai jihad melalui laut yang mana beliauseorangyang pernah didoakan oleh Rasulullah SAW di dalam satu misi penaklukan Pulau Cyprus. Beliau adalah seorang wanita ansar berkahwin dengan Amr Bin Qays yang syahid dalam perang Uhud. Kemudian berkahwin dengan Ubadah Bin Samit.

Satu hadis yang diriwayatkan olehAnas Bin Malik, Rasulullah SAW menyebut ;

“Telah diperlihatkan kepadaku sekelompok pasukan dari umatku yang sedang berperang di jalan Allah. Mereka semua sedang mengharungi lautan, pulang bagaikan raja-raja membawa para tawanan. Mereka akan menguasai lautan, pulau dan kota pelabuhan, dan mereka antara golongan yang pertama dimasukkan ke dalam syurga, tanpa hisab, tanpa penyeksaan atau penghinaan. Demikianlah berita gembira datang kepadaku di sisi Allah SWT.”

Ketika Ummu Haram meminta baginda Rasulullah SAW mendoakannya agar termasuk dalam kumpulan itu, maka Rasulullah berkata, “Engkau akan menjadi golongan yang pertama.”Akhirnya apa yang dicita-citakan oleh Ummu Haram tercapai dan beliau menemui syahid di Pulau Cyprus. (Rujukan Abu DaudJilid 1, hadis 389,390).

Kisah ini telah membuktikan bahawa telah wujud wanita yang turut sama berperang di lautan pada suatu ketika dahulu dan memperoleh syahid. Apa yang dilakukan dalam misi Women`s Boat To Gaza bukanlah satu perkara yang ganjil. Penglibatan ini adalah satu penerusan dari tradisi yang dimulakan oleh sahabiah yang direstui, dimuliakan dan didoakan oleh Rasulullah SAW. Jadi terbuktilah bahawa wanita turut memainkan peranan di dalam misi kemanusiaan.

fb_img_1473565568709

Secebis nasihat dari Dr Fauziah

Semasa saya menziarahinya tempoh hari, beliau sempat meninggalkan beberapa pesanan terutamanya untuk rakyat Malaysia.

Pertama, tidak menangguh amal untuk pembebasan Palestin. Usahakan yang termampu walaupun dengan sekecil perkara seperti menderma untuk tabung Palestin, menyebarkan risalah kesedaran isu Palestin kepada keluarga dan masyarakat, mewar-warkan berita tentang Palestin di media sosial dan sebagainya.

Kedua, meneruskan usaha memboikot barangan Israel. Rakyat Palestin menghadapi kesengsaraan setiap hari sedangkan boikot kita selalunya bermusim.

Ketiga, kalianlah penyambung perjuangan ini, jika saya ditakdirkan tidak pulang. Katanya, “Hidup atau mati dalam misi ini saya reda, mungkin bila pergi belum tentu saya kembali,tapi saya sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan”. Ketika beliau menyebutkan perkara ini saya terfikir, golongan belia terutamanya seharusnya sedar bahawa perjuangan untuk ummah ini sungguh besar dan kitalah rantai perjuangannya.

Keempat, banyakkan berdoa supaya Allah memelihara semua yang berada di dalam misi ini dan Allah memudahkan sepanjang perjalanan menuju Palestin dan berjaya menembus tembok Gaza dengan aman.

Tahniah Dr Fauziah dan PuanNorsham. Allah memilih kalian untuk perjuangan suci ini. Selamat Berangkat Wirawati Malaysia!

#WBG #FREEPALESTINE

 

Nik Fatma Amirah Bt Nik Muhamad
Penulis Penawan Wanita IKRAM
Artikel Yang Berkaitan :

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply