Harga Barang Naik! Ohoi!

0
66
views

Harga Barang Naik

Harga Barang Naik! Ohoi!

“ Doktor, boleh tak tulis surat untuk saya dapatkan wang kebajikan untuk anak saudara saya ini?”

Anak saudaranya lahir dengan penyakit Down Syndrome. Layak mendapat bantuan kebajikan sebagai OKU- orang kurang upaya.

“ Eh, selama ini bukan patut dah ada ke? Dia sudah ada kad OKU kan?” Doktor Sham bertanya semula kekagetan.

“ Ya, memang ada, tapi hanya dapat RM 100 setiap bulan. Mana cukup? Datang hospital sini naik teksi pun RM 20. Camne nak hidup?” Penuh kesedihan, makcik berketurunan India itu mengadu pada doktor muda tersebut. Wajahnya hampa dan kecewa. Aku yang melihat perbualan mereka menebak, tentu pekerjaan makcik ini sendiri tidak seberapa gajinya untuk menanggung dan menjaga anak saudaranya itu.

“ Apa kerajaan buat? Kenapa tak bantu rakyat macam kami?” Penuh kecewa, dia pergi dari bilik konsultansi kami itu. Tidak ada apa yang boleh kami lakukan. Surat tidak akan memberikan mereka wang tambahan. Mereka harus berjuang untuk mendapatkan bantuan lain, ataupun mencari pekerjaan lain.

Aduhai, adakah semudah itu?

Di situasi lain, pakar perubatan kardiologi membuat roundnya di petang hari selepas selesainya prosedur angiografi. Dia menerangkan keputusan angiografi kepada salah seorang pesakit Melayu berumur 60an. Pakcik itu sudah pun pencen.

“ Pakcik, ada satu saluran darah jantung pakcik tersumbat. Itu kena buat stenting woo. Kalau nak buat kena bayar sedikitlah. Pakcik kena bayar RM 5000 deposit sebelum boleh buat. Tapi bayaran penuh adalah dalam RM 8000 camtu. Boleh ah pakcik?”

Specialistku itu berbangsa Cina. Cakap melayunya masih pelat. Tapi masih boleh difahami.

Pakcik tersebut terkelat-kelat dan memang isterinya. Sakit angiografi belum surut, dikejutkan dengan harga stent yang sangat mahal. Barangkali dia hampir mendapat serangan jantung kedua selepas mendengar kata-kata specialistku tadi.

“ Mana nak dapat duit banyak tu? I dah pencen. Sudah tak kerja. Isteri suri rumah. Anak semua perempuan, sudah berkahwin. Mereka pun ada keluarga.. Aduh…”

Pakcik itu mengeleng-ngelengkan kepalanya tanda kehampaan. Di wajahnya terpancar kekecewaan.

Akhirnya dia menyebut:

“ Apa kerajaan buat untuk rakyat macam pakcik ini? Kenapa tak bantu rakyat yang memerlukan duit? Mana pakcik nak dapat duit camtu?Kenapa kerajaan tak bantu kasi percuma?”

Kami terpaksa menelan apa yang pakcik tersebut katakan. Ini bukan kali pertama pesakit kami mengadu disebabkan kos pembayaran perubatan yang sangat mahal. Mereka sendiri tak mampu membeli insuran kesihatan premium.

Selalu kutukan-kutukan mereka kesat dan bernada kekecewaan.

Kami, doktor, tidak ada hak menentukan. Kami sendiri tak ada kuasa untuk berikan rawatan secara percuma. Hospital kerajaan, bukannya milik kami.

Inilah rentetan sebahagian kecil masyarakat yang kami temui di ruang lingkup kerja kami, hospital. Malah banyak lagi peristiwa yang berlaku setiap hari, di mana, akibat kos perubatan yang tinggi, ramai pesakit mendapat rawatan sub-optimal. Menjadikan diri mereka, seperti mana yang anda tahu, mempercepatkan kematiannya.

Sesuatu yang tidak adil. Namun harus diterima.

Bagi mereka yang pernah menuntut dan bekerja di negara Eropah, kita menikmati apa yang dikatakan sebagai – free medical bill.

Semua doktor akan memberikan rawatan terbaik dan semua pesakit mendapat rawatan secara percuma. Samada kamu seorang menteri atau penagih dada, kamu akan dilayan dan dirawat sama rata. Tidak ada istilah first class ataupun ada duit baru boleh teruskan rawatan.

Tentu di sudut yang lain, kita mengetahui kisah-kisah menyayat hati bagaimana ramai penduduk di bandar tidak mampu membeli makanan yang baik untuk mengisi perut dan keluarganya. Tidak lain tidak bukan kerana tingginya kos sara hidup dan kurangnya wang.

Melihat kepada senario terkini di dalam negara, dengan kenaikan barang yang mendadak, cukup menjadikan masyarakat makin tertekan dan menimbulkan banyak permasalahan yang lain.

a)    rompak

b)   membunuh

c)    mencuri

d)   menipu

Dan sebagainya. Menjadikan ramai orang terpaksa mencari pekerjaan kedua, untuk menampung keperluan sekeluarga.

Percayalah, gaji seorang doktor pun tidak cukup untuk menampung sebuah keluarga seramai 4-5 orang.

Apabila ramai mencari pekerjaan kedua, berlakulah:

a)    keretakan rumah tangga

b)   anak jarang bertemu ibubapanya

c)    suami isteri kurang masa bersama

d)   kadar stress semakin tinggi menjadikan kualiti hidup makin rendah

e)    masalah sosial bertambah.

Menaikkan gaji pekerja adalah satu langkap penyelesaian, tapi berapa ramai syarikat terutama syarikat kecil mampu menggajikan pegawainya RM 2000 ke atas? Tidak banyak!

Malah, ketika adik saya berlulusan akaun dari Australia memohon jawatan pegawai bank di Bank Islam secara kontrak, tahu berapa gaji permulaan diberikan? RM 1500! Sahaja!

RM 2000 ke bawah memang dikategorikan sebagai miskin bandar. Walau jimat bagaimanapun, duit akan sentiasa habis. Bukan untuk membeli belah, tapi untuk survival hidup.

Kenaikan barang, pasti berlaku. Namun adakah ia sejajar dengan kenaikan kualiti ekonomi setiap individu rakyat Malaysia? Tidak.

Rasa marah pada pemerintah adalah salah satu solusi untuk melegakan perasaan. Tapi ia tidak menyelesaikan.

Setiap hari, kita memerlukan wang untuk makan dan hidup. Yang kaya terus kaya, miskin akan terus miskin.

Kadar jenayah yang makin meningkat menjadikan hidup kita tidak aman setiap hari. Mengapa penjenayah ini mencuri dan merompak? Bukankah kerana tidak cukup wang untuk membeli keperluan asas ( atau mmg ada yang merompak sebab malas kerja dan sebagainya..)

Kita boleh mendatangani petisyen. Kita boleh menulis di akhbar. Kita boleh menziarahi Perdana Menteri untuk menceritakan masalah dan penderitaan kita.

Untuk sesiapa yang ada kemudahan dan akses, pergilah berjumpa dengan pimpinan negara. Temui mereka dan beri mereka faham kesusahan rakyat. Pergilah walaupun akan kecewa. Pergilah walaupun kita tak dapat apa yang kita mahukan akhirnya.

Setelah itu, belajarlah untuk memimpin negara satu masa nanti. Belajarlah agar di saat kita berpeluang menjadi menteri, kita akan berikan banyak kemudahan pada rakyat. Kita takkan fikir untuk mengkayakan diri sendiri. Kita akan berbuat banyak sumbangan pada masyarakat.

Kita harus belajar bagaimana pasaran global beraksi. Harus tahu cara-cara untuk menaikkan ekonomi negara. Seterusnya, berusaha untuk memberikan hasil keuntungan negara kepada rakyat.

Kita boleh marah dan mengutuk pemerintah. Tapi kita harus menyediakan alternatif. Satu masa nanti, pemerintah yang ada akan digantikan dengan pemerintah yang baru. Siapapun mereka. Masalah tidak akan selesai, jika pemimpin yang diangkat adalah mereka yang cintakan dunia dan kekayaan untuk diri mereka, seterusnya tidak tahu untuk bagaimana untuk mengkayakan rakyat.

Fenomena yang berlaku sekarang, bukan sekadar duit rakyat digunakan untuk keperluan orang-orang tertentu. Tetapi sumber negara ini tidak dimanfaatkan dengan baik sehingga tidak perlu menyusahkan rakyat. Putera Arab Saudi menjadi kaya tidak sekadar dengan aset hartanya di negara sendiri, tapi kepandaiannya berbisnes, sehingga beliau memiliki share di dalam banyak hotel terkemuka, juga di dalam bisnes membangun seperti Twitter!

Kenaikan harga barang boleh dikawal, jika sesebuah kerajaan pandai berbisnes dan berekonomi.

Lihat sahaja pada UK, negara mereka hanya ada tanah kering dan kambing biri-biri sahaja. Tapi negara mereka adalah negara yang mempunyai pasaran ekonomi yang kukuh. Kerana mereka bijak berbisnes dan berekonomi.

Negara kita lebih banyak sumber asli dari mereka. Termasuk minyak, pertanian, perdagagangan laut dan sebagainya.

Tahun 2014 adalah tahun yang amat sukar bagi kita semua.

Bersabarlah walaupun sukar.

Berdoalah walaupun kecewa.

Cekallah kerana selepas kesusahan pasti ada kemudahan.

Belajarlah untuk baiki keadaan yang ada. Jangan berharap ada pemimpin alim turun dari langit untuk memerintah negara kita. Seterusnya dia mampu untuk menghapuskan semua tol, menurunkan tarif elektrik, memberi subsidi yang banyak kepada rakyat, dan memberikan kos khidmat kesihatan percuma kepada rakyat. Dan ya, memberi bantuan mimimal RM 700 setiap bulan kepada rakyat yang layak menerimanya.

Orang sebegini tidak akan turun dari langit. Tidak akan lahir secara magisnya secara tiba-tiba.

Orang sebegini harus dibentuk dan dilahirkan dari sekarang. Oleh kita semua.

Manusia yang hatinya takutkan Tuhan. Takut pada neraka.

Manusia yang mampu memimpin negara dengan adil

Manusia yang tahu tanggungjawap untuk mengkayakan rakyatnya. Bukan untuk keluarganya. Bukan untuk dirinya. Ini adalah satu ujian amat besar dan sukar.

Malah, kita tak boleh menjamin parti pembangkang, mempunyai peribadi-peribadi manusia sebegini.

Maka, kita harus melihat dan memikirkan solusi terbaik untuk semua.

Walau bukan sekarang perubahan akan berlaku, lagi 5-10 tahun insyaallah. Jika kita membuat persiapan, dan berusaha untuk mencari jalan keluar positif terhadap apa yang berlaku kini.

Buat masa kini, berusahalah mencari jalan, untuk menahan kerajaan, dari memberi tekanan dan bebanan kepada rakyat. Dari arah mana yang kamu mampu!

Muharikah

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply