Hidayah hadir bersama ujian

0
289
views

Hidayah hadir bersama ujianHidayah hadir bersama ujian | Cahaya tidak akan menerpa masuk ke bilik andai tiada tangan yang membuka jendela. Begitu juga dengan hidayah Allah. Tiada hamba yang akan menerimanya andai tiada usaha untuk membuka hati seluasnya. Maha Suci Allah yang telah memberikan hamba-hambaNya hidayah petunjuk jalan. Tahniah diucapkan juga kepada anda yang telah menerima hidayah Allah dengan hati yang tulus dan penuh keikhlasan!

Apabila hidayah Allah menerpa, kita seringkali terfikir, “Ya, Allah! Kenapa hari ini baru aku sedar?” Ingatlah, ketahuilah, percayalah, bahawa Allah mahu kita belajar dari kesilapan dan kekhilafan. Allah mahu kita bangkit dari kegagalan. Allah mahu kita mencari jalan keluar dari kejahilan dan kegelapan. Berubahlah sedikit demi sedikit dan yang paling penting istiqomahlah dalam perubahan.

Daripada Aisyah r.ha, Nabi Muhammad SAW bersabda:

“Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Namun dalam kita meneruskan kehidupan ini, kita seringkali diduga dengan pelbagai ujian. Saban malam kita menangis, merintih pada Allah agar diberikan kekuatan. Kadang-kadang, datang perasaan halus memaksa kita untuk berputus asa. Itulah bisikan syaitan yang sememangnya sudah berjanji untuk menyesatkan manusia walaupun dengan cara paling halus tanpa disedari manusia.

Untuk kita yang sedang memperbaiki diri berhijrah ke arah yang lebih baik, ingatlah, bahawa hidayah itu tidak datang sendiri. Tapi hidayah datang bersama ujian. Maksudya, apabila kita menerima hidayah Allah, bererti kita juga harus bersedia untuk menerima ujian yang hebat. Renunglah ayat Allah di bawah ini.

            “Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu sebelum mereka, (maka dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang dusta”. (Surah Al-‘Ankabut, 2-3)

Orang-orang Islam tidak cukup dengan hanya mengaku Islam dan beriman sahaja, tetapi hendaklah mereka sabar dan tabah hati menerima ujian, sama ada ujian itu berupa perintah agama yang wajib dilaksanakan atau berupa larangan-larangan agama yang wajib dijauhi, atau yang berupa kesusahan dan kemalangan yang menimpa diri dan harta benda.

Dengan ujian yang demikian, mereka akan beroleh pahala disebabkan kesabaran mereka. Dan dari ujian itulah nyata perbezaan antara orang-orang yang benar-benar beriman dan sebaliknya. Diuji bukanlah bemaksud Allah benci, tapi itu menunjukkan bahawa Allah masih peduli! Allah mahu menilai adakah kita benar-benar hambaNya yang sejati.

Sahabat, benar bukan mudah untuk kita mengubah perkara yang sudah terbiasa. Tapi itulah erti pengorbanan. Untuk menjadi hamba Allah yang sejati kita harus berkorban semata-mata untuk mencapai redha Allah. Jika sebelum ini, kita sudah terbiasa untuk jalan mendabik dada, korbankanlah ego dalam jiwa agar diri sentiasa tunduk merendah diri.

Jika sebelum ini, kita sudah terbiasa untuk melakukan perkara-perkara maksiat yang merosakkan, korbankanlah sedikit masa untuk mula menghitung diri dan membuka lembaran Al-Quran. Jika sebelum ini, kita sudah terbiasa memakai pakaian yang terdedah, korbankanlah sedikit wang ringgit untuk membeli pakaian yang menutup aurat.

Adakalanya keimanan kita naik dan adakalanya turun. Ini adalah kerana kita manusia biasa, bukan malaikat, bukan Nabi. Tapi itu bukanlah alasan untuk kita terus membiarkan iman kita menurun dan surut. Apa yang penting cubalah untuk bertahan. Selagi kita berpegang teguh pada Al-Quran dan sunnah, tiada apa yang harus dirisaukan.

Adakalanya pula kita diuji dengan karenah manusia yang memandang sinis dengan penghijrahan kita. Mereka yang tidak pernah mengalami, tidak akan faham apa itu penghijrahan. Tidak akan faham apa itu nikmat ujian. Tidak akan faham nilai sebuah pengorbanan. Tidak akan pernah faham apa yang sedang kita lalui. Tapi bukankah pandangan Allah yang lebih utama, kerana Dia yang menilai kita bukan para manusia?

Jadi, selagi matahari tidak terbit dari arah barat, teruskanlah perjuangan Lillahitaala! InsyaAllah, semoha Allah redha.

Farah Hani Azman

Pulau Pinang

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply