Penghijrahan:Hijrahlah dengan usrah

0
186
views

Penghijrahan

“I don’t want to put us in the state where we feel guilty, helpless, and can’t do anything. My main concern regarding following the Prophet’s footsteps in contributing to ummah is really to start with we are responsible and we can make it. We rely in God and we can make it.” – Prof Toriq Ramadhan.

Banyak sekali nasihat lewat ceramah, penulisan, atau teguran langsung menyebabkan kita sedar bahawa sia-sianya hidup kita selama ini, sehingga terasa buntu untuk memulakan langkah baru. Namun, percayalah kesedaran itu merupakah bisikan Allah berupa hidayah-Nya agar kita terus berubah tanpa bertangguh lagi. Kerana boleh jadi itulah ketukan terakhir daripada Allah buat kita menuju ke pintu-Nya. Lihatlah firman Allah ini yang bermaksud :

 “Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah seruan Allah dan Rasul-Nya jika ia menyeru kepada sesuatu yang menghidupkanmu. Dan ketahuilah, sesungguhnya Allah menghalangi seseorang dari hatinya dan sesungguhnya hanya kepadaNya kalian akan dikumpulkan.” (al-Anfaal: 24)

BISIKAN ALLAH ITU CINTA

Teringat saya akan seorang sahabat ketika zaman remajanya yang penuh  dengan jahiliyah. Beliau ketagih bermain games sehinggalah ke subuh hari, suka melepak dan sibuk bercinta  dengan kekasihnya. Namun, suatu ketika tanpa peristiwa yang besar,pintu hatinya diketuk Ilahi untuk kembali kepada-Nya.

Kini beliau adalah seseorang yang amat saya kagumi akan agama dan peribadinya. Pada solatnya yang  sentiasa menumpahkan air mata , tidak pernah absen untuk berjemaah di masjid dan solat malamnya, paling santun kepada  kedua ibu bapanya, akrab dengan al-Quran di mana sahaja, dan amat memperhatikan  pergaulan dengan silang jantina. Beliau juga tidak lokek ilmu dan tangannya sangat ringan untuk menghulurkan bantuan dan berkongsi apa sahaja. Benar kata Dr Majdi al-Hilali

“Termasuk buah yang besar hasil dari manifestasi cinta yang benar adalah tumbuhnya rasa belas kasih dari orang yang mencintai Allah terhadap orang lain. Maka dari itu, anda akan menemukan orang yang mencintai Allah ini selalu berbelas kasih kepada makhluk lain dan bersungguh-sungguh mengajak mereka untuk menyembah Allah.”.

Ya, ia berlaku tanpa sebarang peristiwa besar. Seperti Umar hanya mendengar lima ayat daripada surah Thaha, jiwanya bagai disimbah cahaya cemerlang serta merta. Dengan tanpa tangguh juga, si pemenggal kepala itu merebahkan dahinya sujud menjadi hamba.  

Itulah hakikat hidayah Allah, ia adalah anugerah  istimewa yang tidak ternilai harganya. Kerana itu, saat hidayah menyapa hati, jangan biarkan ia berlalu pergi. Mulailah menapak satu langkah ke hadapan dan ia akan pastinya akan disusuli seribu langkah dengan penuh keyakinan. Saya yakin itulah resepi terbesar sahabat saya itu sehinggalah perubahan itu tidak lagi mustahil.

BUKAN MEMBONGKAR KELEMAHAN

Hakikat  tarbiyah bukanlah untuk membongkar segala kelemahan kita, tetapi memperbaiki segala kelemahan  agar ia menjadi kekuatan.. Dan ia tidak berhenti pada pembaikan  diri semata, ia turut mengerah  keringat  untuk memberi manfaat kepada manusia dan mengajak mereka merasai cinta  Allah seperti yang kita sedang rasai. Ingatkah kita tentang firman Allah yang bermaksud :

            “….dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang nereka, lalu Allah selamatkan kamu daripada neraka itu..” (ali-Ìmran: 103)

Jom kita imbas sebentar hidup kita yang sudah berlalu. Banyak bukan detik-detik  kita melakukan maksiat demi maksiat, dan dosa demi dosa-dosa?  Lalu Allah serapkan perasaan sangat bersalah dalam diri sehingga  hati kita bermonolog, “Aduh, kenapalah bodoh sangat aku ni buat benda ni!”

 Lalu disusuli perasaan itu dengan istighfar dan taubat. Kemudian selang beberapa ketika kita mengulangi kembali kesalahan yang sama dan perasaan bersalah itu sekali lagi dikurniakan oleh Allah. Ia berulang, berulang, dan berulang.

Tetapi wahai diriku dan anda semua, sampai bila kita mahu begini? Kesal, bertaubat lalu mengulanginya lagi. Atau sehingga hilang sudah rasa penyesalan dan terus melakukan maksiat tanpa rasa berdosa lagi.

Kerana itu, jangan bertangguh untuk meninggalkan maksiat.. Jangan berat untuk mengatakan pada diri, “Aku tidak akan mengulangi lagi kesalahan ini!”  . Hidup di dunia hanya jarak antara azan dan iqamah. Tidak lama untuk kita masih pegun dalam jahiliyah.

Tekunilah  firman Allah S.W.T penuh sindiran ini :

“Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras

dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik – derhaka.”

(al-Hadid:16)

 Penghijrahan,usrah

HIJRAH DENGAN USRAH

Jika hijrah Baginda adalah perpindahan geografi, dan itu tidak akan mungkin berlaku lagi. Sekarang, hijrah kita adalah perpindahan nilai peribadi ke arah yang lebih mulia. Sebagaimana Rasulullah begitu teliti dan bersungguh-sungguh merancang hijrahnya, maka begitu juga kita untuk dengan terperincinya merancang hijrah peribadi kita.

Dan cukuplah sirah telah membuktikan bahawa usrah adalah sebuah majlis ilmu yang diamalkan Rasulullah di rumah al-Arqam suatu masa dahulu sebagai medan paling berkesan bagi menjamin keberlangsungan hijrah kita.

Dengan sahabat-sahabat yang soleh, murabbi yang sentiasa memberikan peringatan dan nasihat, program-program pembangunan iman yang tersusun, dan aktiviti-aktiviti kemasyarakatan yang penuh bermanfaat, apakah belum terlahirnya jiwa-jiwa baru untuk Islam? Maka, mulai detik sekarang, tiada apa yang anda perlukan selain daripada sebuah usrah yang akan mengubah dunia anda!

Ammar Sahrim

Artikel Yang Berkaitan :

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply