Hujan Keikhlasan

0
159
views

Hujan Keikhlasan

Hujan KeikhlasanHujan Keikhlasan | Hujan petang itu. Engkau sedang mencari idea. Idea hendak menulis. Lazimnya, dalam suasana menyamankan sebegini, mencurah-curah ilham yang datang untuk engkau terjemahkannya dalam bentuk untaian kata. Terkadang, engkau terlalu larut dalam dunia engkau sendiri sehinggakan bunyi hujan yang turun dari langit itu, ibarat soundtrack yang mengiringi penghasilan karya agung yang sedang engkau usahakan. Begitulah passionnya engkau dalam melunasi sebuah karya seni.

“Enti sudah solat?” sapa satu suara yang saban kali, tidak jemu mengingatkan engkau untuk bersegera dalam mengerjakan perintah Allah. Dialah teman baik engkau yang istiqamah berpesan-pesan kepada kebenaran. Sayangnya, engkau sentiasa mengambil mudah akan setiap nasihat dan tegurannya.

“Kejap lagi. Ana tengah banyak idea hendak menulis ni. Nanti kalau berhenti, terbawa-bawa pula ke dalam solat, tidak khusyuk pula solat ana.” Engkau beralasan. Jari-jari halus engkau ligat di papan kekunci, cuba menghabiskan apa yang engkau panggil sebuah cerpen. Ya, sebuah cerpen yang engkau tulis dengan niat hendak mengajak ummah supaya mendekati dan mencintai Allah dan Rasul. Ironinya, dalam proses menyiapkannya, engkau pula yang kian menjauh.

“Suka hati entilah. Tanggungjawab ana sebagai sahabat, sudah lepas. Ana tak mahu di sana nanti, ana pula dipersalahkan,” Engkau sepicing pun tidak memandang akan wajah teman baik engkau yang tergeleng-geleng kepalanya melihat ketaksuban engkau. Engkau pakukan indera pada layar komputer di hadapan, tidak berkelip-kelip. Teman serumah engkau membawa diri. Membiarkan engkau tenggelam dalam privasi engkau sendiri.

Hujan makin reda. Engkau melihat jam yang melekat di dinding, punya sikit waktu lagi untuk engkau mendirikan solat Asar. Kelam-kabut engkau mengambil wuduk dan membentang tikar sejadah. Solat yang engkau laksanakan tidak khusyuk. Sekejap-sekejap terlintas di benak fikiran engkau, poin-poin idea untuk engkau menyambung karya yang tertangguh. Keikhlasan engkau dalam beribadah seperti sudah hilang kemanisannya. Engkau terburu-buru, jasad engkau saja yang tertib di hamparan sejadah tetapi roh dan jiwa engkau melayang entah ke mana. Dalam tidak engkau sedar, mantan penghulu syurga tersenyum simpul. Kuncu-kuncunya bergelak ketawa.

***

                Engkau menanti hujan turun tetapi pada hari itu, petang kering-kontang. Sekontang idea di dalam kepala engkau. Engkau merengus geram. Terkeluar patah-patah kata yang tidak sepatutnya, di hujung lidah engkau. Lupa engkau pada zikrullah. Bukankah dalam surah al-Ra’d, ayat 28, Allah telah berfirman yang bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.” Tetapi engkau lupa atau mungkin buat-buat lupa pada semua itu. Hujungnya, engkau menenteramkan jiwa engkau dengan hiburan dunia. Lagu-lagu yang lagha sifatnya, engkau pasangkan untuk santapan halwa telinga. Julat volumenya engkau naikkan, mahu melepaskan tension, engkau kata.

“Enti ni sudah kenapa? Bergegar satu rumah dibuatnya. Perlahankan sedikit atau lebih baik, enti tutup terus. Dari mendengar lagu yang tidak membawa makna ini, lagi afdal enti pasang CD selawat. InsyaAllah, lagi mencurah-curah idea enti.” Teman baik engkau sudah membebel dan dalam masa yang sama, menitip nasihat. Hendak tidak hendak, engkau terpaksa akur. Hakikatnya, engkau malas hendak mendengarnya bertazkirah.

“Ana lagi sikit saja mahu siapkan cerpen ni. Ramai peminat ana ternanti-nantikannya. Ana tak boleh membuang masa. Seperkara lagi, ana tidak mahu lewat menghantarkannya pada pihak penerbit. Enti tidak faham,” respon engkau dan kemudian menengadah ke langit sore. Di mata engkau, kelihatan awan-gemawan terapung ringan. Tidak menampung beban hujan. Engkau menyalahkan alam yang secara tidak langsung, menyumbang kekontangan ilham yang sedang engkau alami sekarang.

“Ana faham. Siapa kata ana tidak faham dengan kerjaya enti? Niat enti mulia. Mahu menghasilkan karya yang mampu menjentik hati anak-anak muda untuk kembali kepada fitrah. Cintakan Allah, cintakan Rasul.” Teman baik engkau berhenti ucapnya sejenak dan kemudian melanjutkan bicara. Engkau mendengar, terpesona dengan lembutnya teman baik engkau menyusun ayat. Kedengaran begitu ikhlas dan jujur. Kemudian, teman baik engkau itu membaca potongan ayat-ayat Allah disusuli maknanya. Engkau tersentap.

“Firman Allah dalam surah as-Saff, ayat 2 hingga 3 yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah – kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Dalam surah al-Baqarah, pada ayat yang ke-44 pula, Allah mengingatkan kita dalam firmanNya yang bermaksud, “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri; padahal kamu semua membaca Kitab Allah, tidakkah kamu berakal?”

Ana sayangkan enti, ana tak mahu perjuangan enti dalam berkarya menjadi puing-puing. Ikhlaslah dalam menulis, ya sahabatku. Ikhlaslah dalam menyampaikan dakwah Rasulullah. Ana sentiasa menyokong enti dari belakang.” janji teman baik engkau. Tubuh engkau didakapnya mesra. Engkau tertunduk malu. Tidak semena-mena, hujan dalam hati engkau mulai turun, membasahi tanah iman yang kembali menyubur.

***

                “Alhamdulilah. Ana berbangga dengan enti. Tapi… boleh ana tahu kenapa judulnya, Hujan Ikhlas?” tanya teman baik engkau. Engkau tersenyum bahagia. Manakan tidak, karya yang engkau tatang ibarat minyak yang penuh itu sudahpun disiarkan. Sambutan dari pembaca, rata-ratanya memberi respon yang positif. Syukur tidak terhingga engkau panjatkan pada Allah Subhanawa Taala.

“Sebab dalam hujan, ana bertemu dengan erti keikhlasan dalam berkarya. Menulis bukan kerana nama, bukan juga untuk berbangga-bangga. Dan dalam hujan juga, ana baru tersedar yang sahabat yang baik adalah sahabat yang ikhlas menasihati dan menarik kita untuk kembali ke jalan Allah. Ana bertuah kerana ana mengenali enti. Enti, sahabat ana yang osem!” sungguh-sungguh engkau menyatakannya.

“Puji lebih-lebih ni, ana ikhlas ke tidak ni Hehe?” seloroh teman baik engkau. Engkau dan dia bergelak sama-sama. Menikmati keiklasan sebuah persahabatan dalam hujan yang terkandung dalamnya, rahmat dan kebahagiaan. Syukran.

 

Khairul Annuar Bin Kamaruddin

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply