Hukum Bagi Lelaki Yang Kencing Berdiri

0
855
views

Secara umum, hampir semua tandas awam yang terdapat di Malaysia menyediakan kemudahan ‘tandas’ untuk kencing berdiri. Ini bagi tandas lelaki.

Bagi masyarakat non-Muslim, ianya tidak menjadi permasalahan pun, tetapi berbeza dengan masyarakat Muslim.

Kita (lelaki) telah dididik dari kecil lagi untuk kencing secara duduk dan bukan berdiri. Seolah-olahnya, kencing berdiri itu haram dan dilarang secara mutlak.

Terdapat beberapa hadith yang menjadi sandaran kepada larangan ini.

Hadith Larangan Kencing Berdiri

عن ابن عمر عن عمر قال رآني رسول الله صلى الله عليه وسلم وأنا أبول قائما فقال يا عمر لا تبل قائما فما بلت قائما بعد. رواه ابن ماجه والحاكم.

Maksudnya: Ibnu Umar meriwayatkan dari Umar al-Khattab bahawa beliau berkata, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam melihatku dan ketika itu aku sedang buang air kecil sambil berdiri, lalu Baginda bersabda, “Wahai Umar, Jangan buang air kecil berdiri”. Setelah itu aku tidak lagi buang air kecil berdiri”.

(Hadith riwayat Imam Ibn Majah dan al-Hakim)

Imam al-Tirmizi memberi penjelasan bahawa kedudukan hadith di atas adalah tidak sahih, menurut beliau di dalam Jami’nya(Sunan Tirmizi):

وإنما رفع هذا الحديث عبد الكريم بن أبي المخارق وهو ضعيف عند أهل الحديث ضعفه أيوب السختياني وتكلم فيه .

Maksudnya: Hadith ini dirafa’kan oleh Abdul Karim bin Abu al-Makhariq dan dia adalah lemah(daif) di sisi ahli hadith, ia didaifkan oleh Ayub al-Sikhtiani.

Terdapat satu riwayat dari Sunan Imam Ibn Majah:

عن جابر قال  نهى رسول الله صلى الله عليه وسلم أن يبول الرجل قائما.

Maksudnya: Jabir RA berkata, “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam melarang lelaki dari kencing dalam keadaan berdiri”.

Menurut Imam al-Syaukani di dalam ‘Nail al-Awtar’, pada sanad hadith ini terdapat ‘Adiy bin al-Fadl dan dia merupakan matruk(sebuah istilah untuk perawi yang lemah). Menurut beliau hadith ini adalah lemah.

Dalam pada masa yang sama, terdapat juga hadith yang mengatakan Rasulullah juga pernah kencing berdiri.

Hadith Menceritakan Nabi Juga Pernah Kencing Berdiri

عن حذيفة بن اليمان رضي الله عنه: كنت مع النبي – صلى الله عليه وسلم – فانتهى إلى سباطة قوم فبال قائما فتنحيت فقال : ادنه فدنوت حتى قمت عند عقبيه فتوضأ فمسح على خفيه. متفق عليه

Maksudnya: Huzaifah RA meriwayatkan bahawa beliau berkata, “Aku bersama Nabi sallahu a’alaihi wassalam ketika beliau sampai tempat pembuangan sampah, Baginda buang air kecil berdiri. Aku pun berpaling menjauhi Baginda. Baginda berkata kepadaku; ‘Hampirilah’. Aku pun menghampiri Baginda hingga aku berdiri hampir dengan dua tumitnya. Nabi mengambil wudhuk dengan menyapu dua khufnya”.

(HR Imam Bukhari dan Muslim)

Jadi dari segi hukum fiqh taharah (kebersihan), bagaimanakah yang seharusnya?

Hukum Kencing Berdiri Menurut Mazhab Syafie

Menurut Imam Muhyiddin al-Nawawi di dalama karya agungnya ‘al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab’:

أما حكم المسألة فقال أصحابنا يكره البول قائما بلا عذر كراهة تنزيه ولا يكره للعذر وهذا مذهبنا وقال ابن المنذر اختلفوا في البول قائما فثبت عن عمربن الخطاب وزيد بن ثابت وابن عمروسهل ابن سعد انهم بالوا قياما وروي ذلك عن علي وأنس وأبي هريرة وفعله ابن سرين وعروة.

(المجموع شرح المهذب, محي الدين النووي:كتاب الطهارة, باب الاحداث التى تنقض الوضوء, باب الاستطابة)

Maksudnya: Manakala hukum mengenai masalah ini, menurut ulama-ulama kami(mazhab Syafi’ie) kencing berdiri adalah makruh tanzih(makruh yang bukan haram) jika tiada keuzuran. Jika ada keuzuran maka hukumnya tidak makruh, ini adalah mazhab kami. Ibn Munzir menyatakan bahawa para ulama berselisih pendapat tentang hukum kencing berdiri, maka terbukti dari Umar al-Khattab RA, Zaid bin Thabit RA, Ibn Umar RA, Sahl bin Sa’ad RA bahawa mereka melakukan kencing berdiri, malah diriwayatkan amalan ini dari Ali bin Abu Talib RA, Anas bin Malik RA dan Abu Hurairah RA. Ia juga dilakukan oleh Ibn Sirin dan Urwah.

Kesimpulan

Kencing duduk adalah jauh lebih afdal dari kencing berdiri.

Ternyata berdasarkan riwayat bahawa amalan kencing duduk amalan kebiasaan Baginda, manakala kencing berdiri bukan adat kebiasaan Baginda, tetapi terbukti wujud riwayat yang sahih bahawa Baginda pernah melakukannya.

Hukum kencing berdiri adalah harus selagi mana tidak menyebabkan kekotoran najis menghinggapi pakaian atau tubuh badan seseorang.

Berkaitan persoalan kencing berdiri di tandas awam, adalah sebaiknya dielakkan, kerana terdedah kepada kemungkinan dilihat aurat oleh orang lain.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply