Hukum Menyambut Maulidur Rasul Menurut Sheikh Dr Yusuf Qaradhawi

0
119
views

wallpaper-salam-maulidur-rasul-4-juicesky

Al-fadhilah ‘Allamah Dr. Yusuf al-Qardhawi, Pengerusi Kesatuan Ulama’ Muslim Antarabangsa telah menerima soalan yang berikut:

Apakah hukum menyambut kelahiran Muhammad S.A.W dan perayaan-perayaan yang berunsurkan Islam yang lain seperti sambutan awal tahun hijrah dan sambutan sempena memperingati peristiwa isra’ mi’raj.

Beliau menjawab:

Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, selawat dan salam ke atas Rasulullah.

Terdapat segelintir dari pada kaum muslimin yang berpendapat bahawa meraikan apa-apa sambutan, atau majlis memperingati peristiwa Islam seperti hijrah nabi, peristiwa isra’ dan mi’raj, peristiwa kelahiran nabi, peristiwa peperangan Badar, pembukaan kota Mekah, atau apa jua peristiwa sejarah Nabi Muhammad S.A.W dan yang berkaitan adalah bid’ah dalam agama, dan setiap perkara bid’ah itu adalah sesat dan pengakhirannya di dalam neraka.

Pandangan ini adalah tidak benar sama sekali, apa yang dimaksudkan termasuk dalam larangan ini ialah apabila wjudnya perbuatan-perbuatan yang mungkar di dalam majlis itu, atau jika berlaku sesuatu yang bertentangan dengan syariat atau apa  yang telah ditetapkan oleh Allah, seperti yang berlaku di sesetengah negara, ketika mereka meraikan sambutan sempena kelahiran Nabi atau kelahiran wali-wali atau orang-orang soleh, akan tetapi jika kita mengambil peluang ini untuk memberikan pengisian tentang sejarah Rasulullah s.a.w dan menceritakan tentang peribadinya yang agung, juga tentang perjuangan Baginda yang diutuskan untuk menjadi rahmat buat seluruh alam, maka apakah bid’ah yang wujud di sini dan apakah ciri kesesatan yang ada?

Ketika kita membicarakan tentang peristiwa-peristiwa ini, kita sebenarnya sedang mengingatkan manusia dengan nikmat yang sangat besar, dan memperingati nikmat yang kita miliki itu adalah satu perkara yang dibenarkan malah merupakan perkara terpuji dan sangat dituntut, sepertimana firman Allah s.w.t di dalam kitabnya:

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika bala tentera datang kepadamu, lalu Kami kirimkan kepada mereka angin taufan dan bala tentera yang tidak terlihat olehmu. Allah Maha Melihat apa yang kamu kerjakan (iaitu) ketika mereka datang kepadamu daripada atas dan daripada bawahmu, dan ketika penglihatan(mu) terpana dan hatimu menyesal sampai ke kerongkong dan kamu berprasangka yang bukan-bukan terhadap Allah. (Surah al-Ahzab:9-10)

Diceritakan bahawa ketika peperangan Khandaq atau dikenali sebagai perang Ahzab ketika orang Quraisy dan Bani Ghatfan menyerbu dan menyerang Nabi serta orang Muslimin di kediaman mereka, ketika itu mereka telah mengepung sekeliling madinah, dan mereka ingin memusnahkan tanaman milik kaum muslimin dan membunuh mereka sehingga ke akar umbi.

Allah telah menyelamatkan mereka daripada kesusahan ini, dengan di utuskan kepada mereka (kaum musyrikin) angin ribut dan tentera daripada kalangan malaikat yang tidak dapat dilihat oleh mata manusia, Allah telah mengingatkan kaum muslimin dalam surah al ahzab, supaya mereka tidak melupakan nikmat pertolongan yang telah diberikan, maka dengan ini membawa maksud bahawa wajib ke atas kita untuk mengingati nikmat yang kita miliki dan jangan sesekali melupakannya, dan Allah juga berfirman pada ayat yang lain:

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman, ingatlah nikmat Allah (yang diberikan) kepadamu, ketika suatu kaum hendak menyerangmu dengan tangannya, lalu Allah menahan tangan mereka daripada kamu. Dan bertaqwalah kamu kepada Allah dan kepada Allah jualah orang-orang beriman itu bertawakkal. (Surah al-Maidah:11)

Juga diceritakan bahwa ketika kaum Yahudi dari Bani Qainuqa’ yang telah berazam untuk membunuh Rasululullah S.A.W  membuat perancangan jahat dan juga tipu daya mereka, maka sesungguhnya perancangan Allah adalah perancangan yang lebih kuat dan lebih laju mendahului mereka. Firman Allah yang bermaksud

“…dan mereka merancang dan Allah jua merancang, dan Allah adalah sebaik-baik perancang.” (Surah al-Anfal:30)

Menyebut dan mengingat nikmat yang diberikan Allah adalah satu perkara yang dituntut, dan melalui perayaan itu , kita memperingatkan sesama kaum muslimin di samping itu, kita dapat ambil pengajaran daripada setiap peristiwa yang berlaku, dan ini merupakan salah satu bentuk pembelajaran, maka apakah ini adalah satu perkara yang tercela? Adakah ini salah satu bid’ah dan perkara yang membawa kepada kesesatan?

والله أعلم

 

 

 

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply