Ikhlas Di Media Sosial

0
2,333
views

Ikhlas Di Media Sosial

Ikhlas adalah sesuatu yang sukar dinampak dengan mata kasar.

Kita boleh cuba untuk menghadirkan ikhlas dalam setiap amalan kita, namun kita sendiri tidak tahu adakah kita benar-benar sudah mencapai ikhlas ketika beramal.

Dalam kata lain, adakah kita sudah mencapai ikhlas sperti mana yang Allah mahukan, bukan ikhlas seperti mana yang kita mahukan.

Panduannya ada dalam Quran dan Sunnah. Namun, siapa yang yang paling afdal dalam menterjemahkan panduan tersebut secara praktikal? Tentulah sahabat,tabiin dan tabi’ tabiin.

Maka, ia membawa kita pada satu kisah.

Dalam biografi Imam Mawardi ada menyebutkan, tidak ada satu pun karya-karyanya diterbitkan selama hidupnya. Semua karyanya disimpan di satu tempat. Ketika ajal menghampiri, beliau mewasiatkan kepada orang kepercayaannya agar memerhatikan satu isyarat yang akan dilakukannya ketika nazak. Isyarat itu akan memberitahu sekiranya karya-karyanya diterima oleh Allah atau tidak. Jika buku itu diterima Allah, beliau berhasil mendapat apa yang diharapkan, iaitu niat ikhlas.

Jika tidak, beliau meminta agar buku-bukunya diambil dari tempatnya dan dibuang ke sungai Dajlah pada malam hari.

Saya tak tahu tentang anda, tapi saya bukanlah seorang yang akan membuang buku-buku yang dikarang dengan susah payah sepanjang hidup ke dalam sungai begitu sahaja. Saya juga bukan seperti Imam Mawardi. Tiada siapa yang mengenal saya sebagai seorang yang alim dalam bidang agama mahupun warak.

Dalam kata lain, saya hanyalah manusia biasa yang sangat terdedah dengan dosa-dosa yang nampak mahupun tidak nampak.

Jika kita amati, dinamik kehidupan kita sekarang sangat berbeza berbanding zaman Imam Mawardi. Zaman ini kita mempunyai FB, Twitter, Instagram dll yang membolehkan apa yang kita rasa, kata, alami, dan nikmati sampai ke pengetahuan beribu-ribu manusia yang lain.

Semua ini adalah medium yang menakjubkan.

Dakwah juga telah memasuki era baru. Jika dahulu, manusia hanya boleh sampai kepada dakwah melalui guru/murabbi dan bahan bacaan. Kini, dakwah boleh disampaikan dalam bentuk video, blog, status laman sosial dll lagi.

Jika dahulu hanya orang yang mempunyai autoriti yang boleh menyampaikan pendapat dan hujahnya kepada audiens yang besar, kini semua orang boleh berkata atau menulis apa saja.

Ini adalah dunia yang membolehkan sekecil-kecil benda dalam kehidupan kita menjadi besar dan signifikan melalui media sosial.

Maka, adalah sukar untuk kita meletakkan satu garis pemisah untuk menentukan sama ada apa yang kita lakukan sudah mencapai standard ikhlas atau tidak.

Boleh jadi semua amal-amal itu bertabur sekelip mata dek bercampur dengan bilangan likes, comment, hashtag, subscribe, retweet dan share.

Jadi, bagaimana kita mahu bertahan dalam dunia media sosial yang simpang siur ini?

Jawapannya:

Jadikan amal-amal kita di luar media sosial lebih banyak daripada amal-amal kita di dalam media sosial.

Jika mahu menyampaikan tazkirah di media sosial, silakan. Namun, banyakkan lagi nasihat dan perkongsian kepada orang-orang yang benar-benar memerlukan ie sahabat, pasangan dan keluarga.

Jika mahu berkongsi gambar melakukan kerja-kerja amal dengan niat untuk mendorong orang lain untuk turut sama melakukan kebaikan, teruskan. Namun,banyakkan lagi kerja-kerja dakwah/kebajikan yang tidak kita kongsikan dengan dengan manusia lain.

Mungkin kita boleh mencontohi seorang tabiin yang menangis ketika solat malam selama 20 tahun tanpa sedikit pun diketahui isterinya.

Atau seperti Imam Syafie yang berkata: ‘Aku ingin manusia mempelajari ilmu ini tanpa menisbatkan sedikit pun kepadaku, agar aku mendapat pahala dan mereka tidak memujiku,’

Harus kita ingat, nilai kita sebagai manusia tidak terletak pada bilangan likes, comment, hashtag, subscribe, retweet dan share.

Namun, nilai kita bergantung pada bagaimana amal-amal kita dilihat pada pandangan Allah.

Sama ada dihitung untuk menjadi amal-amalan yang akan memberatkan neraca timbangan akhirat.

Atau, sekadar menjadi debu-debu yang hilang luput dibawa angin lalu.

p/s: sebelum meninggal dunia, Imam Mawardi memberi isyarat bahawa karyanya
telah diterima Allah. Maka, orang kepercayaannya telah menyebarkan buku-buku
sehingga sampai kepada kita hari ini.

Penulis: Amal

Blog Penulisamalasyurablog.wordpress.com

Leave a Reply