Ikhlas Itu Ada Dalam Pelbagai Cara

1
178
views

cipta ikhlas

Asas utama sesuatu amal adalah niat yang ikhlas.

Namun, secara praktiknya, bagaimana kita mahu mempraktiknya dalam kehidupan harian?

Seorang syeikh pernah ditanya: ‘Bagaimana mahu memperoleh ikhlas dalam melaksanakan dakwah?’

Syeikh itu menjawab: ‘Jangan sekali-kali menerima habuan material ketika berdakwah’

Satu nasihat yang ringkas dan praktikal untuk memperoleh ikhlas dalam beramal.

Apabila saya mendengar nasihat ini, saya sedaya-upaya mengamalkannya. Jika ada yang menjemput untuk memberi pengisian/taujihat dan di akhir program disediakan sagu hati, saya tolak. Kadang-kadang, habis saja pengisian dan bersalam-salam lebih kurang, terus saja saya balik agar si penganjur ‘tak sempat’ untuk memberi sagu hati.

Namun, saya terfikir; mungkin sekali penganjur juga ingin memperoleh pahala melalui pemberian sagu hati itu. Jika saya menolak atau buat-buat tak tahu,adakah ini akan menutup peluang orang lain untuk beramal?

Alhamdulillah persoalan ini ada jawapannya.

Jawapannya ditemui pada pedoman sahabat-sahabat Rasulullah saw melalui kisah Saidina Umar dan Saidina Usman RA.

Ketika itu, Saidina Umar RA berada di tampuk khalifah. Apabila dilaporkan bahawa seekor unta zakat sudah hilang, Saidina Umar terus turun padang mencari sendiri unta tersebut. Apabila Saidina Usman RA menemuinya, Usman menyarankan agar Umar berehat dan membiarkan saja pembantunya pergi mencari unta tersebut.

Umar RA, sebagaimana yang kita ketahui mempunyai rasa tanggungjawab yang tinggi menolak saranan tersebut dan berkata:

‘Ini adalah tanggungjawabku,’

Satu persoalan:
Adakah saranan Usman itu menunjukkan bahawa Usman seorang yang bermalas malasan?

Tentu sekali tidak.

Di sebalik saranan tersebut, tersembunyi satu hikmah. Jika ada pembantu yang berjaya mencari unta tersebut, maka Usman akan membebaskannya dari perhambaan dan dibekalinya dengan timbunan dinar.

Bukankah itu juga satu kebaikan?

Maka di sini saya belajar bahawa ikhlas itu boleh muncul dalam pelbagai bentuk. Semua orang yang ingin mengikhlaskan dirinya boleh saja beramal mengikut apa jua cara yang bersesuaian dengan dirinya.

Ada orang yang tak mahu pulangan material kerana bimbang ikhlasnya berjangkit kepada sifat cintakan dunia. Ada orang yang mahukan material agar dapat disumbangkan semuanya ke jalan Allah.

Maka, beramallah dengan apa jua cara.

Yang penting, pilihlah kerana Allah. Itu sahaja pilihan yang akan dihitung amalnya.

Jika kita sampai ke persimpangan untuk memilih antara dua amal, maka pilihlah amal yang paling mendekatkan kita kepada Allah.

Pilihlah kerana Allah.

Itulah pilihan yang terbaik, paling selamat dan paling membahagiakan. Dunia dan akhirat.

 

Penulis : Amal

Blog Penulisamalasyurablog.wordpress.com

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

1 COMMENT

  1. Assalammualaikum..

    Alhamdulillah. Terima kasih atas artikel ini yang sedikit sebanyak mengingatkan saya untuk melakukan apa pun jua pekerjaan adalah kerana Allah bukan kerana makhluk.

    Kita memang manusia yang lemah. Lupa jika tidak diberi peringatan.

    Moga semua org beroleh manfaat atas apa yang dituliskan ini.

    Jazakallah.

    -raidah-

Leave a Reply