Ikhtilat Yang Dilupakan

1
2
views

ikhtilat

Ikhtilat | Bagaimana ya ingin memulakan. Sebenarnya, lama benar saya memendam perasaan untuk menulis tentang perkara ini. Jika diperam lama-lama takut membusuk pula. Biarlah saya luahkan dalam bentuk tulisan jika bukan dalam bentuk kata-kata. Harapnya, jangan ada yang tak terasa, sebab kalau boleh saya mahu buatkan semua orang yang membacanya terasa, termasuk diri saya yang menulis ini, patut lebih-lebih terasa. Kan?

Begini.

Seawal kita mula-mula ikut usrah dan program tarbiyah dulu, kita rasakan bagai satu kepelikan, pabila melihat program tarbiyah diasingkan lelaki perempuan. Mak ai? Hang biaq benar? Tidak terlepas daripada orang yang paling pelik ketika itu sayalah. Nak mesej kawan perempuan saja-saja  say hai tak boleh, nak makan dengan depa pun tak boleh, nak study group sama-sama pun tak boleh. Aduh, seksanya jiwa! Kata murabbi dan rakan-rakan seusrah, “ikhtilat, akh, ikhtilat kena jaga!” Sayu hati terpaksa let go, satu demi satu. huhuhu

Lalu dengan izin Allah swt, dan berkat program tarbiyah yang kita ikuti secara istiqamah, kita mulai berubah sedikit demi sedikit. Daripada seorang akh yang bermata buaya menjadi seorang akh yang syadid, daripada seorang akh yang tidak menjaga batas pergaulannya, kini melihat akhawat pun tunduk, hingga kadangkala terlanggar tiang.Dush.. Akhawatnya juga sama. Syadid malu-malu kucing apabila berinteraksi dengan ikhwah. Mesej juga hanya hal-hal kerja dan sekadar perlu. Itu cerita suatu ketika dahulu. Kadangkala, saya merindui kesyadidan suatu ketika itu.

Bertahun-tahun di dalam tarbiyah, kita mula diberi tangunggjawab satu demi satu dalam organisasi dakwah yang kita anggotai. Daripada menjadi seorang mutarabbi, kita menjadi seorang murabbi, daripada menjadi seorang murabbi, kita menjadi seorang mas’ul. Daripada ahli biasa, kita menjadi ahli luar biasa, baca: ahli jawatankuasa, daripada menjadi ahli pasif, kita kini menjadi ahli aktif. Gerak kerja kita kini mula mengabungkan tenaga antara ikhwah dan akhawat supaya cetusan idea terbaik dapat dilakukan. Disamping mengelakkan masalah komunikasi supaya segala program dan amal dakwah yang dirancang, dapat dilaksanakan dengan lancar. Begitulah..

Langit tidak selalunya cerah, kof-kof. (bunyi orang batuk)

Oleh kerana berhari-hari kita berinteraksi dengan orang yang sama, baik dalam satu group whatssapp ataupun gmail, kita mula melupai batas-batas ikhtilat antara kita. Maklumlah, sudah terbiasa. Baca: Antara Ikhwah Akhawat. Jika tiada yang menegur, kadangkalanya boleh jadi hanyut merapu entah ke mana. Itu belum lagi termasuk mesej-mesej peribadi yang ditujukan bukan untuk gerak kerja dakwah, tetapi lebih bersifat peribadi, baca: individualistic purposes. Ruh organisasi dan gerak kerja dakwah mulai hilang kerana nilai-nilai Islam yang sepatutnya terpatri telah terhakis sedikit demi sedikit. Oh.. lupakah kita bahawa? Organisasi yang sedang kita anggotai ini adalah organisasi dakwah dan organisasi ini tidak sama dengan organisai lain di luar sana.

Fahami kembali erti sebuah harakah Islamiyah

Untuk menjadi seorang “ahli” dalam sebuah harakah islamiyah, seseorang itu perlulah mengabungkan diri ke dalam jamaah. Penggabungan ini bukanlah bertujuan sebagai tipu muslihat, ataupun batu loncatan untuk mencapai maksud dan kepentingan peribadi seperti kepetingan politik, pengaruh, bisnes ataupun kepentingan-kepentingan lain (memikat akhawat?) . Syeikh Fathy Yakan menerangkan hal ini dengan panjang lebar dalam bukunya Maza Yakni fi. Intima’ lil Islam (Apa ertinya saya menganut Islam).

Antara kata-kata yang sempat saya petik ialah ;

” Sebenarnya menggabungkan diri dengan harakah Islamiyyah bukan hanya memadai dengan sekadar membuat permohonan menjadi ahli dan mendaftar nama sahaja, bukan juga sekadar berulang alik ke markas-markas gerakan atau kelab-kelabnya dan menghadiri ijtima’-ijtima’ anjuran jamaah semata-mata. Penggabungan itu mestilah membawa pegertian yang lebih jauh dari itu. Pengabungan yang bukan sekadar dalam bentuk dan nilai-nilai tertentu sahaja tetapi ialah penggabungan yang membuktikan kemantapan aqidah dan kekuatan ikatan fikrah dan tanzim “

Penggabungan ini disebut sebagai intima ‘ .  Intima’ atau penggabungan ke dalam mana-mana Harakah Islamiah adalah merupakan perkara pokok dan domain bagi memastikan kelangsungan gerakan islam. Intima’ atau penggabungan  ini adalah penggabungan seorang akh ke dalam Harakah Islamiah secara aqaidi [ berdiri atas keimanan dan prinsip], bersifat kulliy [total], berciri masiri [ untuk selama-lamanya] yang melibatkan intima’ fikri, intima’ harakiy @ tandhimi dan juga intima’ syuuri.

Justeru bilamana seorang akh itu tidak memahami erti “keahlian” sebenar dalam sesebuah jamaah, maka akan timbullah sindrom-sindrom besar ataupun sindrom-sindrom kecil seperti ikhtilat yang dilupakan di atas. Ada orang kata, tak apalah, ini untuk kepentingan organisasi juga? Ha? Biaq benar?

Kesan Buruk

Api yang besar, dimulai dengan api yang kecil. Kadangkala kecilnya itu tidak terlihat oleh mata kasar kita, tetapi cukup untuk membakar dedaunan halus yang seterusnya boleh menyebabkan api bertambah marak dan marak, hingga boleh membakar satu hutan!

Begitu juga dalam berikhtilat. Jika isu-isu sekecil ini kita tidak dapat tanggani dan cegahi dengan baik, boleh jadi, kesan buruknya pada jamaah nanti. Ragam pada mulanya hanya berlaku jarang-jarang, kini telah menjadi budaya dan membarah dalam organisasi kita. Lalu, siapa yang harus dipersalahkan?

Aku! Aku dan Aku! Tundinglah jari kepada diri kita sendiri, kerana diri kita adalah cerminan kepada jamaah kita. Dan jamaah kita adalah cerminan bagi diri kita. Kerana hakikat sebuah jamaah dan individu adalah perkara yang sama. Individu adalah cell-cell yang membina jamaah, Jamaah itu individu dan individu itu sendiri adalah jamaah. (majmuk rasail; Imam Hassan Al Banna) Neraca produktiviti sesuatu jemaah adalah bergantung kepada neraca produktiviti individu ( al masar; ahmad ar Rasyid).

Tidak mahulah nanti orang mengata..

Pssstt.. Leha, aku ada cerita sikit nak habaq dekat hang.

Jangan na,, join jamaah xyz tu..

Ahli-ahli dia semua tak jaga ikhtilat….

Bertepuk tampar macam abang dan adik dah…

Uii buruk rupanya perangai depa Leha oiii…

Justeru, setelah penat berfalsafah dan berteori di atas. Masanya untuk tindakan. Di bawah digariskan tips-tips yang sesuai untuk mengelakkan perkara di atas daripada berlaku.

Tips-tipsnya adalah :

1) Pastikan ada orang yang diyakini (tsiqah) seprti para ustaz, astatizah, mas’ul/mas’ulah yang telah berkahwin untuk memantau gerak kerja anda. Bukan untuk jadi Queen control, tetapi untuk lebih menjaga batas ikhtilat di samping meningkatkan efisiensi di atas paras maximum. InshaAllah.

2) Taujihat copy paste daripada seorang ustaz yang saya sangat hormati kerana Allah. Kata ustaz,  ”selepas ini, jika ingin memanggil akhwat kena didahului dengan ukht, sebagai tanda penghormatan pada akhwat dan biar nampak ada gap sikit antara ikhwah dan akhwat. Kita kongsi semangat yang sama, tetapi kita juga ada budaya kerja tersendiri. Jangan sampai nampak macam adik beradik pula”

3) Senantiasa ingat, bahawa syaitan itu halus tipu muslihat dan godaannya. Apa anda ingat, selepas anda melepaskan ukhtifriend anda, Syaitan akan giveup dan tidak akan hadir lagi? Tidak! Syaitan tidak akan pernah giveup, malahan dia akan menghantar jeneral baru yang super berkaliber untuk menghasut anda supaya tertipu. Salah satunya, adalah sindrom ikhtilat yang dilupakan ini.

Wallahualam

Justeru, sekadar itu perkongsian daripada saya. Maafkan atas segala sarcasm melampau yang digunakan, hakikatnya teguran ini adalah untuk renungan kita bersama juga. Serius bukan ditujukan pada sesiapa, tetapi kalau terasa, sendiri tanggunglah. Pergi nuh, ambil air wuduk, p solat taubat sat.. 

Dalam tidak sedar, kita mungkin seringkali terlupa bahawa kita adalah manusia biasa, yang tidak lepas daripada kesalahan. Nasihat, adalah salah satu mekanisme untuk menjernihkan kembali hati-hati yang terpalit dengan noda maksiat. InshaAllah.

Ikhtilat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Peace ^_^v

 Asyraf Farique
Loading Facebook Comments ...

1 COMMENT

Leave a Reply