Syura dan kepentingannya

Kepentingan syura

251982 480x468 300x292 Syura dan kepentingannyaKepentingan Syura | Kata-kata Hamzah Bin Abdul Mutallib selaku ketua kepada kelompok yang menginginkan peperangan kedua ini berlaku di luar kawasan Madinah, benar-benar mengesankan Rasulullah S.A.W., walaupun sebelum itu Rasulullah S.A.W. telah menyampaikan pendapatnya untuk tidak keluar dari Madinah, sebaliknya wajar mempertahankannya dengan bersembunyi di sebalik tembok dan lorong-lorong di Madinah .

“Wahai Rasulullah, sememangnya kami mengharapkan hari seumpama ini dan kami senantiasa berdoa kepada Allah. Nah! Allah telah pun membawa hari itu untuk kami, di mana perjalanannya tidak jauh dari sini, semua ini Allah yang memperdekatkannya, Ayuh! Keluarlah wahai Rasulullah S.A.W. untuk bersemuka dengan musuh Allah dan jangan biarkan mereka melihat kita sebagai orang-orang yang pengecut”,seru Hamzah kepada semua sahabat. Kumpulan itu sebelum ini tertinggal daripada menyertai peperangan Badar, maka apabila seruan jihad memanggil, mereka tidak sabar-sabar untuk mewaqafkan diri ke jalan Allah.

 

Di sebelah petang pada hari yang sama, selepas solat Asar, Rasulullah S.A.W. mengambil senjata dan memakai baju besi serta menggalas pedang dan keluar ke khalayak ramai. Kelompok tadi menyesal dengan perbuatan mereka setelah mendengar kata-kata Saad bin Muaz, “Sewajibnya serahkan sahaja urusan ini kepada Baginda, kamu telah memaksa Baginda untuk keluar,”. Maka Rasulullah S.A.W. bersabda, “Tidak wajar bagi seorang nabi apabila telah memakai baju besinya akan menanggalnya hinggalah Allah membuat penentuan di antaranya dan musuhnya,”.

 

PENTINGNYA SEPAKAT DALAM SATU KEPUTUSAN

 

Peristiwa di atas bukanlah satu-satunya contoh syura yang berlaku di zaman Rasulullah S.A.W. Salah satu contoh adalah semasa peperangan Badar. Ketika itu, Rasulullah S.A.W. dan pimpinan tentera dalam Majlis Tertinggi Tentera bersyura sama ada untuk meneruskan peperangan atau tidak berikutan pertumpahan darah tidak dapat lagi dielakkan. Sungguh, betapa konsep syura ini penting dalam merealisasikan amal jamaie. Syura bermaksud mesyuarat untuk mencapai keputusan menurut suara terbanyak. Syura ini berlaku apabila ianya melibatkan amal jamaie, melibatkan ramai orang, ianya tidak akan berlaku jika hanya melibatkan satu individu sahaja. Allah berfirman di dalam Al-Quran,

 

‘Dan bagi orang-orang yang menerima seruan Tuhan dan melaksanakan solat, sedang urusan mereka dengan musyawarah antara mereka dan mereka menginfakkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka’ (42:38)

 

Ayat Al-Quran di atas menceritakan bahawa konsep syura ini sangatlah digalakkan dalam islam. Jika kita orang yang menerima seruan Tuhan dan melaksanakan solat, maka tidak dapat tidak,  kita perlu melaksanakan konsep syura ini dalam kehidupan kita. Untuk mendapatkan sesuatu keputusan yang memuaskan hati semua orang bukanlah sesuatu proses yang  mudah namun dengan adanya syura, maka penyelesaian sesuatu masalah dapat diputuskan dengan senang.

 

Istilah syura berbeza dengan istilah istisyarah tetapi tidaklah jauh maksud keduanya. Istilah istisyarah terangkum dalam syura. Istisyarah hanyalah perbincangan, tetapi syura adalah perbincangan yang menghasilkan keputusan yang disepakati oleh individu-individu yang menyertai sesuatu mesyuarat.

 

SYURA DALAM KERJA DAKWAH

 

Jika pengarah sesebuah syarikat sentiasa bersyura bersama anak-anak buahnya untuk memastikan perjalanan syarikat lancar dan memperolehi keuntungan yang luar biasa, maka itu juga yang perlu dilakukan dalam kerja-kerja dakwah kita. Malah, kita perlu lebih mengimani syura itu berbanding syarikat tadi, kerana kerja-kerja dakwah kita ini bersifat global dan merentasi dunia. Walaupun kitalah penggerak yang menjalankan kerja dakwah di tempat kita, tetapi harus diingati bahawa bagaimana tempiasnya kepada seluruh kerja dakwah di dunia.

 

Sungguh, pujian perlu diberikan kepada antum yang telah menjalankan kerja dakwah di tempat antum, tetapi harus difikirkan bahawa kebangkitan islam ini perlu bersifat global, ia bukanlah kebangkitan sebuah negara islam sahaja, tetapi ianya adalah kebangkitan seluruh dunia islam. Seperti kata-kata Imam Hasan Al-Banna,

‘Medan khayal itu lebih luas dari medan bercakap, medan bercakap itu lebih luas dari medan beramal, medan beramal itu lebih luas dari medan jihad, dan medan jihad itu lebih luas dari medan jihad yang muntij’.

 

Kerja kita bukan hanya setakat berdakwah, tetapi kita perlu memastikan dakwah yang dilakukan itu muntij, berkesan, bernatijah kepada orang lain. Jadi, untuk merealisasikannya maka dakwah itu perlu ada syura di dalamnya. Banyak kepala, banyak ideanya, dan bila banyak idea perlu sepakat untuk melaksanakan satu idea yang akan menghasilkan natijah yang hebat.

 

SYURA YANG BERKESAN

Syura yang berkesan bukanlah dinilai dengan kekerapannya. Tetapi, ia merujuk kepada banyak faktor. Salah satunya adalah penglibatan ahli syura dalam setiap perbincangan. Setiap ahli perlu faham situasi yang disyurakan dan dapat melontarkan idea dan penyelesaian. Setiap ahli jika ada pandangan, lontarkan. Jangan disimpan dan dipendam kerana semasa syuralah setiap pandangan ahli akan diambil kira. Yang kita mahu elakkan adalah cakap-cakap di belakang dan ketidakpuashatian, seolah-olah seperti ada syura lain di luar syura.

 

Faktor lain ialah, isu yang dibincangkan perlu bersesuaian dengan aulawiyyat semasa. Isu-isu penting yang perlu diselesaikan awal diketengahkan dahulu berbanding isu-isu yang kurang penting. Perlu diingati juga bahawa tidak semua perkara yang perlu disyurakan. Jika ada sesetengah perkara yang tidak perlu diputuskan dan boleh diselesaikan sendiri adalah lebih baik. Selain itu, masa untuk syura juga perlu dijaga. Masa syura yang panjang tidak semestinya dikatakan berkesan. Pendek kata, syura yang berkesan adalah isu yang sesuai, ahli yang sesuai, masa dan waktu yang sesuai.

 

Mudah-mudahan, selepas ini, kita boleh bermuhasabah dan memperbaiki semula system syura yang telah kita jalankan supaya dakwah ini dapat disebarkan kepada seluruh manusia dengan lebih berkesan dan muntij. Wallahu’alam.

 

http://ghulam-budakkecil.blogspot.com/

Related posts:

Trackbacks

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge