Kesempurnaan Islam

Islam Syumul Kesempurnaan Islam

 

Kesempurnaan Islam | Seorang bakal pengantin lelaki menyatakan bahawa majlis pernikahannya akan di adakan di dalam masjid, beliau akan berjubah serta akan meminta bakal isterinya memakai tudung di hari pernikahan dan para tetamu akan diberikan senaskah zikir ma’thurat setiap seorang. Sedangkan selama ini jarang sekali beliau solat subuh di masjid, bakal isterinya sememangnya tidak bertudung dan tidak pernah pun beliau membasahkan lidahnya dengan zikir ma’thurat itu.

 

Seorang ahli kepada sebuah persatuan mengulas berkenaan program Malam Kebudayaan Malaysianya, bahawa persatuannya akan memanggil salah seorang rakannya yang baik untuk membacakan doa di awal program mohon keberkatan dan akan menyediakan ruang solat bagi yang perlu menunaikan solat. Sedangkan di dalam program itu akan dipersembahkan wanita-wanita menari lenggok di atas pentas, adanya lakonan lelaki bersentuhan dengan wanita bukan mahram yang cuba melakonkan watak ibu dan anak serta tidak disediakan pula break untuk membolehkan penonton muslim untuk solat maghrib.

 

Pemimpin sebuah negara dengan tegas menyatakan bahawa penjenayah akan dikenakan hukuman berdasarkan undang-undang syariah dan sesiapa yang mempersoalkan tentang amalan orang islam akan ditahan. Sedangkan beliau sendiri mengumpat dan memfitnah pemimpin parti lawan, tidak memastikan rakyat miskin terbela dengan bantuan zakat serta bantuan kerajaan dan membiarkan sahaja hiburan melampau, budaya jahil dan budaya lagha tersebar luas di kalangan masyarakat terutamanya kepada golongan muda.

 

Apakah kesongsangan ini? Atau, adakah ianya adalah hasil dari kecelaruan cara kita menjunjung islam itu?

 

Cuba kalian ambil masa sebentar melayan permintaan saya. Cuba kalian menemu ramah secara tiba-tiba rakan semuslim kalian atau menemu ramah diri sendiri sambil merekodnya di dalam viewcam atau handphone berkamera dengan sebuah soalan, “Apa itu islam?” Berikan masa 30 saat sahaja untuk menjawab. Agak-agak, sudikah kalian mengongsikan video tersebut untuk menerangkan apa itu islam kepada masyarakat bukan muslim melalui youtube tanpa risau bahawa masyarakat bukan islam mendapat gambaran salah tentang islam?

 

Tidak hairanlah apabila kita bertanya kepada rakan bukan muslim kita apa itu islam, mereka bakal menjawab, “orang islam makan ayam halal sahaja, wanita islam kena pakai tudung, orang islam pergi ke masjid dan orang islam ada hari raya sama seperti agama lain.”

 

Lihatlah bahawa terpecah-pecah sungguh pandangan seseorang berkenaan islam walaupun dari mulut umat islam sendiri. Terpilih-pilih pula amalan islam oleh orang islam, ada yang dilaksanakan ada yang ditinggalkan. Malangnya mereka tetap menganggap cukup sudah keislaman mereka. Malah terjuzu’-juzu’ juga penekanan yang diberikan dalam dakwah islam.

 

Sewajibnya seorang muslim itu memahami dan meyakini bahawa islam adalah sebuah sistem yang sempurna yang terdiri dari komponen-komponen yang sentiasa bergantung dan melengkapkan satu sama lain. Komponen-komponen dalam sistem islam ini cukup untuk memastikan manusia hidup dibawah sistemnya dengan bahagia, aman, maju, terurus, adil, sihat, kaya dan kuat tanpa perlu menggantikan komponennya dengan apa yang tidak dari islam.

 

Komponen yang disebutkan termasuklah aqidah, ibadah, dakwah, akhlak, keadilan, kekuatan, negara, undang-undang dan lain-lain lagi seperti yang disebutkan di dalam rukun pertama dari rukun bai’ah hasil susunan Imam Syahid Hasan Al-Banna. Kesemuanya penting, perlu dijalankan, mesti ditekankan ataupun wajib dibangunkan – tidak boleh dipisah-pisahkan.

 

Adalah pelik jika kalian mengatakan bahawa kalian makan nasi lemak sedangkan kalian hanya memakan telur rebusnya sahaja tanpa menjamah nasi dan sambalnya. Dengan kata lain, kalian makan telur rebus, bukan nasi lemak. Pasti kita tidak mahu dikatakan memeluk sebuah agama bernama agama solat dan puasa bukan? Yang sebenarnya kita memeluk islam, secara keseluruhan.

 

“Wahai mereka yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan. Syaitan merupakan musuh yang nyata bagimu.” (Al-Baqarah: 208)

Itulah dia saranan dari Allah SWT demi kemaslahatan hamba-hambanya yang beriman di dunia dan akhirat. Pasti kita mendekati kecelakaan jika berbuat tidak nampak saranan Allah ini lalu terus tidak cuba memahami islam adalah sistem kehidupan yang perlu diambil kesemuanya untuk memastikan terlaksanalah islam itu dalam setiap individu muslim, masyarakat muslim dan di muka bumi ini.

Di dalam sebuah jam mekanikal, terdapat gear-gear mini di dalamnya yang saling berkait antara satu sama lain. Ada kecil, ada besar dan bilangan ‘gigi’nya berbeza-beza. Jika salah satu gear ini dibuang atau rosak, maka terus sahaja jam itu tidak berfungsi. Itulah sistem jam dengan komponen-komponenya yang berbentuk gear. Jika ada komponen islam yang tidak dijalankan atau dibangunkan, memang tidak hairanlah umat manusia lainnya termasuk umat islam itu sendiri tidak mengenali apa itu islam, malah mempunyai tanggapan-tanggapan yang salah berkenaan islam.

 

Tetapi, bagaimana kita meyakini bahawa islam itu lengkap, sempurna dan tidak perlu sudah kita mencari penyelesaian lainnya?

 

Jawapannya ialah terletak kepada keyakinan kita iaitu iman kita. Keyakinan yang tidak berbelah bahagi bahawa tiada ilah melainkan Allah adalah pintu islam ini. Meyakini dengan keyakinan yang mantap bahawa Rasulullah SAW sebagai pedoman dan suri teladan adalah penunjuk arah di dalam bangunan islam yang luas ini. Ya memang luas, kerana islam ini mencakupi seluruh kehidupan manusia, tidak terlepas satu pun dari payung panduan islam semenjak diciptakan Adam A.S. hinggalah kiamat kelak. Dengan adanya iman dan keyakinan ini barulah kita benar-benar yakin akan ayat-ayat Quran mengatakan tentang kesempurnaan islam serta komponen-komponen islam itu saling lengkap melengkapi.

 

Kita soalkan kembali kepada diri kita, adakah benar kita yakin islam itu adalah yang terbaik?

Kita soal lagi kepada diri kita kenapa kita kata islam itu terbaik?

Mampukah jawab kenapa islam terbaik?

 

Jika tidak, maknaya kita tidak memilih islam sebagai cara hidup pilihan kerana manusia hanya memilih yang terbaik. Ada kemungkinan kita memilih islam hanya sekadar warisan atau menjaga kepentingan diri dan keluarga. Di sinilah kata kunci keimanan dan keyakinan kita kepada Allah sebagai satu-satunya ilah kita. Baharulah kita mampu menelan bulat-bulat bahawa islam itu lengkap dan sempurna.

 

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan deen-mu untuk kamu dan telah Aku sempurnakan nikmatKu ke atasmu dan telah Aku ridhoi Islam menjadi deen-mu..” (Al-Ma’idah: 3)

Surah al-Maidah adalah surah terakhir yang diturunkan Allah kepada Rasulullah. Ada juga khilaf mengatkan bahawa surah al-Fath adalah surah yang terakhir. Deen adalah cara hidup. Bukan sekadar agama ritual seperti yang banyak difahami oleh masyarakat. Allah SWT mengatakan bahawa Dia sempurnakan cara hidup orang mu’min setelah dibangunkan islam di dalam jasad dan roh muslim selama 23 tahun di bumi Makah dan Madinah.

 

Dengan kefahaman bahawa islam adalah sempurna dan lengkap untuk dijadikan cara hidup serta meyakini bahawa islamlah yang terbaik, barulah benar asas kefahaman islam kita. Ini akan menentukan tindak tanduk kita seterusnya, keutamaan-keutamaan kita akhirnya membasahi emosi, hati dan jasad kita dengannya. Dengan kefahaman dan pembangunan yang holistik ini, barulah islam akan terus diangkat dimuka bumi ini dan tidaklah ada lagi salah faham terhadap islam. Seperti mana hadis Rasulullah SAW bersabda;

 

lslam itu terbina atas lima perkara: Bersaksi bahawa sesungguhnya tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa sesungguhnya Muhammad itu adalah Utusan Allah, Mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji ke baitullah dan menunaikan puasa pada bulan Ramadhan.

(Hadis riwayat al-lmam al-Bukhari dan al-lmam Muslim)

 

Islam bukanlah hanya 5 rukun islam itu sahaja. Lihatlah hadis di atas yang mengatakan islam terbina ‘di atas’ 5 rukun islam itu. Maka 5 rukun itu adalah tiang serinya kepada bangunan islam itu sendiri seperti mana yang digambarkan oleh Syeikh Abu Hasan Ali An-Nadawi. Bagaikan rumah. Pabila tiada tiang, maka tiadalah rumah. Tetapi tidak pula ianya dipanggil rumah jika yang ada hanyalah tiang. Di atas tiang itulah segalanya berkenaan islam seperti yang dihuraikan oleh Syeikh Imam Syahid Hasan Al-Banna di dalam Usul 1 dari Usul Dua Puluh. Daripada sebesar-besar perkara dalam memimpin manusia hinggalah kesekecil-kecil perkara di dalam tandas, islam menyediakan panduannya yang sejahtera.

 

Abdul Rahman bin Yazid ra berkata, “Seorang lelaki bertanya kepada sahabat Salman Al-Farisi ra, ‘Adakah Nabi kamu mengajarimu tentang setiap perkara termasuk yang berkaitan dengan buang air besar?’ Salman ra menjawab, ‘Benar, Baginda melarang kami menghadap kiblat ketika membuang air besar atau air kecil, melarang kami menggunakan tangan kanan ketika beristinjak (yaitu bersuci setelah buang air), melarang kami dari menggunakan kurang dari tiga biji batu untuk beristinjak dan melarang kami dari menggunakan najis dan tulang ketika beristinjak’.” (Riwayat Tarmuzi – Hasan Sahih)

Cukup islam memberi panduan dalam setiap perkara di dalam kehidupan samada kepimpinan, kerakyatan, undang-undang, ketenangan hati, kekuatan material dan fizikal, kekeluargaan, pendidikan, kesihatan, ekonomi, sosial, kehormatan, wanita, akhlak, hubungan dengan Allah Taala dan sebagainya.

 

Sentiasalah kita berpesan dan mengingati diri kita dalam tindak tanduk dan pemikiran kita bahawa Allah telah berfirman;

 

“Barangsiapa yang menggantikan nikmat Allah (dengan yang selainnya) setelah ia dikaruniakan  dengannya, sesungguhnya Allah amat keras siksaannya”. (Al-Baqarah: 211)

Cukuplah dengan Allah dan Islam.

Aku redha bahawa Allah adalah tuhan aku, dan aku redha bahawa islam adalah cara hidup aku.

 

 

Ahmad Sufian Abdullah

University of Manchester

Ijazah dan tahun graduasi: Mechanical Engineering [Meng], 2009

Pekerjaan terkini: PhD Candidate, year 2

Related posts:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

CommentLuv badge