Instruction Book

0
92
views

Instruction Book

Jika sudah terteranya “Islam” di atas kad pengenalan kita, maka Alhamdulillah kita adalah seorang insan yang menganut agama suci Allah. Dan beruntunglah bahawa kita adalah umat Nabi Muhammad SAW.

Jika kita sememangnya beragama Islam, maka tunjukkanlah keperibadian seorang Muslim. Berpakaianlah kamu seperti seorang Muslim. Bertuturlah kamu seperti seorang Muslim. Berakhlaklah kamu seperti seorang Muslim. Ingatlah sahabat-sahabatku, agama Islam itu agama yang indah lagi suci. Maka jika kita sudah memeluknya, lindungilah Islam daripada segala pandangan negatif.

Betul sahabat. Jika kita terbuat silap ataupun membuat sesuatu perkara yang melanggar syariat Islam, kita sudah memberi perspektif buruk terhadap agama yang suci itu kepada “not-yet Muslim”. Mereka tidak akan mengatakan “Beginikah sifat seorang Muslim?”, malah mereka akan mempertikaikan ajaran Islam dan mungkin akan berkata “Beginikah ajaran Islam?”. Nauzubillahi minzalik.

Islam itu agama yang terpuji, agama yang suci, agama yang indah dan agama yang benar! Janganlah kerana kita yang membuat kesilapan, agama Islam pula yang mendapat cacian. Islam tidak pernah bersalah, tetapi Muslim yang selalu membuat kesalahan. Kita sebagai seorang Muslim sepatutnya menunjukkan ajaran Islam yang sebenar di hadapan “not-yet Muslim”. Supaya mereka boleh tertarik dengan ajaran Islam dan mungkin akan memeluknya. InsyaAllah. Amin.

Apabila ditegur, mungkin akan dijeling dan didebat sedangkan insan itu beragama Islam. Kononnya kubur lain-lain, sifat orang lain-lain dan alasan paling hebat yang pernah mereka gunakan adalah “Life doesn’t come with instructions” (Hidup ini tiada panduannya).

Astaghfirullahal’azim. Sahabat-sahabatku. Renung ke langit dan fikirkan sejenak. Siapakah yang mengucapkan ayat-ayat ini?

 

“Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Quran dan As-Sunnah.”

 

Tergamak mereka menidakkan wasiat terakhir Rasulullah SAW. Al-Quran dan As-Sunnah adalah panduan hidup kita.

Pendapat saya mengenai kata-kata hikmat itu (konon), tidak sepatutnya dipraktikkan oleh orang yang beragama Islam. Ianya seperti membantah kebenaran Al-Quran dan As-Sunnah. Seperti mana Allah SWT bersabda dalam surah Al-Isra’ ayat ke-9 yang bermaksud:

 

“Sesungguhnya Al-Quran ini memberikan petunjuk kepada jalan yang lurus dan memberi khabar gembira kepada orang Mukmin yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.”

Allah SWT juga berfirman dalam surah Al-Baqarah ayat ke-185 yang bermaksud

 

“Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk itu dan membezakan antara yang benar dengan yang salah.”

Sudah terbukti bahawa Al-Quran dan As-Sunnah itu adalah petunjuk dan panduan hidup setiap umat Nabi Muhammad SAW. Islam adalah agama yang lengkap, jadi tidak perlu mengatakan bahawa hidup memang tiada panduan. Islam sudah memberi panduan hidup tetapi Muslim sahaja yang malas untuk mempelajari panduan hidup itu. Wallahualam.
Firman Allah dalam surah Az-Zariyat ayat ke-55 yang bermaksud

“Sentiasalah memberikan peringatan bahawa sesungguhnya peringatan itu akan membawa manfaat kepada orang beriman.”

 

Semoga bermanfaat.
Assalamualaikum.

 

Penulis : Muhammad Faris Nazrin bin Khairun Nazir

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply