Jangan Cepat Hukum Hidup Orang Lain

0
264
views

Jangan Cepat Hukum Hidup Orang Lain

Jangan Cepat Hukum Hidup Orang Lain | Satu hal yang saya lebih pelajari apabila ‘membaca’ kehidupan orang lain ialah, jangan terus menghukum seseorang yang kita lihat pada zahirnya begini dan begitu.

Apatah lagi jika kita tidak pernah mendekati orang tersebut, yang kita langsung tidak kenali dan kita hanya mendengar desas desus mengenai si fulan atau fulanah, dan terus kita menghukum dia dengan pelbagai andaian yang bermain di minda. Kerana kita tidak pernah tahu, bahawa bebanan apa yang sedang ditanggungnya dalam jiwanya yang tersembunyi itu.

Adalah tidak adil jika kita terus menghukum, bukan?

Dan apakah apabila ada seseorang datang kepada kita, menceritakan kisah kehidupannya yang mungkin boleh menjadi perkara yang buruk atau baik, maka kita terus mencelah dia dengan makian? Jangan. Bukan begitu Islam dan Rasulullah mengajar kita.

Kawan, bukankah datangnya dia berkongsi bebanan jiwanya adalah kerana dia mempercayai kita, dan di dalam hatinya itu pasti terkandung harapan untuk mendapat sokongan moral dari kita sekurang-kurangnya. Kalau tidak mampu memberikan sokongan dari segi wang ringgit, maka berikanlah sokongan semangat padu kepadanya.

ALLAH Mengajar Kita Erti Hidup

Saya terfikir, apabila ada orang datang kepada kita dan berkongsi masalah, itu mungkin jadi petanda bahawa Allah Ta’ala sedang mengajarkan kita erti hidup. Dan Allah mahu kita menimba pengalaman dari kisah-kisah kehidupan orang lain.

Dan ternyata, membantu mereka yang datang berkongsi rasa itu bukanlah sia-sia, melainkan memang Allah Ta’ala telah aturkan kebaikan untuk dia yang berkongsi, dan untuk kita yang mendengar. Secara tidak langsung juga, Allah sedang mengajarkan kepada kita erti sabar dalam membantu dan berhadapan dengan orang-orang di sekeliling.

Dan antara perkara penting yang perlu dingati ialah bahawasanya perjalanan hidup ini adalah seperti bola. Mungkin hari ini kehidupan kita lebih baik dari orang lain. Dan mungkin esok pula, kehidupan kita akan lebih rendah dari orang lain.

Justeru, rasa kebersamaan dalam kehidupan orang yang memerlukan walaupun sekecil-kecil pertolongan dari kita itu sebenarnya bukan sesuatu yang hina. Jika kita membuka jiwa kita akan merasai kelapangan hidup,kerana kita tahu, datangnya manusia yang mengadu kepada kita itu adalah salah satu cara Tuhan mengajar kita.

Mengenai Tanggungjawab Sebenarnya

Semua orang boleh membaca. Malah ramai orang boleh berkata-kata.

Tapi berapa ramai dikalangan kita sendiri yang sanggup untuk membantu berkongsi rasa, dan menyedarkan ‘orang ramai’ yang keliru, atau masih lemah di jalan kehidupan yang baru bagi mereka agar mereka dan kita juga boleh turut kembali kepada-Nya dengan kefahaman makna hidup ini yang sebenarnya? Berapa ramai? Boleh tolong jawab?

Hakikatnya tidak ramai.

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” – al ‘Imraan : 104

Bila kita membantu seseorang itu untuk mendapat kekuatan agar dapat berdiri dan berjalan kembali di jalan kehidupan setelah lama terduduk leka, ia bukanlah bermakna kita ini mahu mengambil kerja Tuhan untuk membuatkan dia jadi seseorang yang solehah, atau menjadi seseorang ustaz atau ustazah.

Tetapi, membantu orang lain itu sebenarnya hakikatnya membantu diri kita sendiri. Kita hanya jalankan tugas sebagai seorang manusia yang berperikemanusiaan, tugas seorang manusia kepada manusia yang lain. Dan yang penting sebenarnya, kita menyahut seruan Tuhan di dalam al-Quran.

Saya kadang-kadang kecewa melihat sesetengah pihak yang lebih suka ‘kondem’ orang lain yang mahu berubah hanya kerana mereka itu menyangka sudah berada di jalan Tuhan lebih lama. Atau mereka mengaku mereka itu golongan intelek.

Mereka ‘membantu’, tapi dengan cara makian dan kejian terhadap orang yang keliru dan hilang arah tujuan dalam hidup. Perasaan benci yang mereka lemparkan itu, seolah-olah orang lain yang berbuat dosa sudah pasti neraka tempatnya. Sungguh saya kecewa!

Ternyata ‘golongan intelek’ ini masih tidak faham erti kehidupan sesama manusia yang sebenarnya. Kerana jika mereka faham, mereka sudah pasti tidak akan menghina orang-orang yang masih bertatih untuk menuju jalan Tuhan, apatah lagi mencaci keji.

Kerana Islam tidak mengajarkan sifat-sifat buruk yang begitu. Tetapi Islam mengajarkan bahawa, tunjukkan jalan bagi mereka yang mencari jalan, dan jalanlah bersama-sama.

Dakwah itu bukanlah bererti mengkhabarkan kepada seluruh alam bahawa kitalah yang terbaik. Tapi dakwah itu adalah seperti ajakan atau seruan yang mengatakan, “mari, kita sama-sama keluar dari dalam bilik yang gelap ini ke luar sana yang lebih bercahaya.”

Kepada yang mahu berubah, teruskanlah niat anda dengan melangkah perlahan-lahan. Carilah kawan-kawan yang soleh dan solehah. Dan kepada mereka yang sudah dapat berdiri di jalan Tuhan, pimpinlah tangan kawan-kawan yang lain untuk berjalan bersama-sama.

Bukanlah berjalan di jalanan yang jauh itu lebih seronok berteman?

Penulis : Suhana binti Amiril

Blog Penulis : cintailahi.com 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply