Jangan Sampai Ramadhan Kali Ini Hanya Syok Sendiri – Semut Hitam

0
184
views

Pernah atau tidak kita bertanya kepada diri kita sendiri, sejauh manakah kita benar-benar meraikan kehadiran Ramadhan atau persoalan yang lebih penting lagi, sejauh manakah kita benar-benar menghargai kehadirannya?

Jika benar kita menghargai Ramadhan, kita bukan sekadar bersungguh-sungguh beramal untuk meraih segala ganjaran yang digandakan sewaktu Ramadhan, bahkan kita turut serius memikirkan tentang keberkesanan amal-amal yang telah kita lakukan itu dan kelangsungannya setelah Ramadhan pergi nanti.

Keberkesanan dan kelangsungan amal sewaktu Ramadhan ini jarang-jarang sekali kita muhasabahkan. Seringkali kesungguhan beribadah kita akan berlalu sepertimana berlalunya bulan Ramadhan. Konsistensi dan kesannya kepada kehidupan seharian pula meninggalkan tanda tanya kepada kita.

Sepertinya kepuasan beribadah hanya dirasai setahun sekali iaitu cuma sewaktu bulan Ramadhan sahaja.

Ramadhan individualistik.

entrepreneur_article1

Sedar atau tidak, sebenarnya Ramadhan kita bersifat Ramadhan individualistik kerana impak Ramadhan terhenti setakat kita sahaja, tidak semestinya mengesani orang lain.

Kita sudah merasa puas dengan bertambahnya ibadah kita seorang tanpa berfikir adakah ibadah rakan sebilik kita turut bertambah?

Kita bersemangat untuk mengimarahkan bulan Ramadhan yang hadirnya cuma setahun sekali, tetapi adakah keluarga kita juga turut memiliki perasaan yang sama atau biasa-biasa sahaja?

Adakah kita sudah berusaha untuk mengajak orang terdekat kita untuk sama-sama megimarahkan Ramadhan? Percayalah, Ramadhan ini lebih indah dan bermakna jika dirayakan bersama.

Ramadhan ulangkaji.

Ramadhan yang kita lalui saban tahun sebenarnya umpama siri ulangkaji sahaja.

Muhasabah Ramadhan yang dihayati masih lagi muhasabah yang sama, hanya berkisar penghayatan tentang kesusahan orang susah yang tidak merasai makanan dan peri pentingnya mempunyai rasa syukur.

Maka jadilah Ramadhan kita Ramadhan yang lesu dan tiada pembaharuan. Hanya Ramadhan tentang lapar dan dahaga sahaja.

Untuk Ramadhan kali ini, cuba kita lontarkan beberapa persoalan yang lebih kritis kepada diri sendiri untuk kita renung sedalam-dalamnya.

Contohnya jika benar Ramadhan yang berkesan itu mampu mengubah seorang manusia kepada yang lebih baik, mengapa sehingga hari ini masih berlaku peningkatan secara terus menerus statistik kes pembunuhan, kes pecah amanah, masalah sosial seperti zina, buang bayi dan sebagainya?

bribe

Mengapa masih ramai gelandangan dan anak-anak orang miskin yang tidak terbela hak pendidikan mereka?

Mengapa Islamophobia masih berleluasa?

Mengapa masih berlaku lagi penindasan terhadap umat Islam di Palestin, Syria, Rohingya dan lain-lain?

Bilakah dunia ini akan aman jika benar kita menganggap Ramadhan sudah memberi perubahan kepada diri kita?

Apa tindakan kita selama ini setelah mengetahui betapa tenatnya dunia?

Sudahkah kita bertindak atau masih lagi menunggu orang lain untuk memulakan?

Di sini, keberkesanan Ramadhan kitalah yang patut kita persoalkan. Persoalan-persoalan sebegini akan membuatkan kita berfikir betapa banyaknya tanggungjawab kita terhadap ummah yang masih belum langsai.

Hidup ini tidak cukup sekadar beribadah siang dan malam kerana tugasan memakmurkan muka bumi mengikut acuan yang ditetapkan Allah itu juga merupakan tanggungjawab kita.

Ramadhan itu berkesan apabila kita mula bertindak. Kerana iman yang benar itu buktinya melalui amal dan tindakan. Semoga Allah membantu kita untuk menjadi ummatan wasato (umat pertengahan) yang cakna dan menjalankan tugasan sebaiknya.

 

 

 

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply