Jihad Yang Sebenar Adalah Menyampaikan Rahmah Ke Seluruh Alam

0
56
views

 

Jihad melalui penjelasan, penyampaian dan keterangan serta hujah Al-Quran merupakan keutamaan di era Mekkah, hingga Al-Quran menamakannya sebagai “jihad yang besar” dalam firmanNya surah Al-Furqan ayat 52:

(وَجَاهِدْهُمْ بِهِ جِهَادًا كَبِيرًا)

“Dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al-Quran dengan jihad yang besar”

Jihad pada ketika itu, termasuk jihad diri, jihad melawan nafsu dan syaitan dan sebagainya yang dipanggil jihad diri melalui tazkiah.

Kemudian mula turunnya ayat jihad (perang) untuk mempertahankan diri daripada kezaliman dan memperjuangkan hak juga kebebasan beragama dalam surah al-Hajj.

Kemudian turun selepasnya banyak ayat mengenai jihad secara umum dan beberapa ayat mengenai jihad peperangan secara khusus.

Banyak lagi ayat yang menyentuh mengenai hal ini, sebahagian daripada kita menyangka bahawa satu “Ayat Pedang” di bawah membatalkan 140 ayat-ayat lainnya mengenai keamanan, kedamaian dan kebebasan.

فَإِذَا انْسَلَخَ الْأَشْهُرُ الْحُرُمُ فَاقْتُلُوا الْمُشْرِكِينَ حَيْثُ وَجَدْتُمُوهُمْ وَخُذُوهُمْ وَاحْصُرُوهُمْ وَاقْعُدُوا لَهُمْ كُلَّ مَرْصَدٍ ۚ فَإِنْ تَابُوا وَأَقَامُوا الصَّلَاةَ وَآتَوُا الزَّكَاةَ فَخَلُّوا سَبِيلَهُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ غَفُورٌ رَحِيمٌ

“Apabila sudah habis bulan-bulan Haram itu, maka bunuhlah orang-orang musyrikin itu dimana saja kamu jumpai mereka, dan tangkaplah mereka. Kepunglah mereka dan intailah ditempat pengintaian. Jika mereka bertaubat dan mendirikan sholat dan menunaikan zakat, maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi maha Penyayang.” (Surah at-Taubah : 5)

Majoriti ulama menolak sama sekali dakwaan ini.

Tidak terdapat nas yang benar dan jelas dalam Al-Quran dan Sunnah mengkhususkan ayat yang mengatakan: “Ayat Pedang” (At-Taubah: 5) ini membatalkan (nasakh) ayat-ayat lain yang membawa mesej kebebasan beragama dan tiada paksaan padanya seperti firman Allah surah Al-Baqarah ayat 256:

(لَا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ)

“Tiada paksaan dalam agama”

Sesungguhnya toleransi, keamanan, dan keadilan merupakan asas dalam hubungan Islam dengan manusia lain.

Perkara ini turut ditekankan oleh Sheikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya mengenai jihad juga kitab “Nasakh dalam Al-Quran”, kitab Dr Mustafa Az-Zalami yang berkisar mengenai nasakh dalam Al-Quran, dan juga kitab yang ditulis oleh Sheikh Dr Ali Qaradaghi sendiri bertajuk “نحن والآخر”, kajian mengenai hubungan muslim dan orang lain.

Manakala dalam satu Hadis:

بعثت بالسيف حتى يعبد الله وحده لا شريك له…

“Aku diutus bersama pedang hingga Allah disembah semata yang tiada sekutu bagi-Nya”

Hadis ini merupakan hadis dhoif (lemah) menurut para muhaqqiq. Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi berkata: “Jika kita meneliti sanad hadis, dan apa yang terkandung padanya. Dan jika perhatikan pada matan dan kandungannya, kita akan dapati hadis ini adalah hadis munkar”.

Ia juga tidak selari dengan apa yang ditetapkan oleh Al-Quran, khususnya dalam ayat yang menceritakan mengenai pengutusan Nabi Muhammad. Al-Quran tidak pernah menyebutkan walapun sekali mengenai pengutusan Muhammad Raulullah dengan pedang.

Tetapi Allah menggandingkan pengutusan Rasul dengan membawa hidayah, agama yang benar, kerahmatan, penawar dan nasihat kepada manusia.

Maka firman Allah dalam surah al-Anbiya’ ayat 107:

(وما أرسلناك إلا رحمة للعالمين)

“Dan tidak kami utuskan kamu (Muhammad) melainkan menjadi rahmah buat seluruh alam.”

Ayat ini meyebutkan bahawa Allah mengutuskan Rasul sebagai rahmah kepada sekalian alam dan tidak dikatakan kepada “mukminin” sahaja malahan “pada sekalian alam”, serta beratus-ratus ayat yang membawa makna ini. Sepertimana juga Allah menyuruh supaya berdakwah dengan hikmah dan peringatan dan diskusi yang baik

Maka sebenarnya, ayat-ayat mengenai peperangan dan kekerasan digunapakai pada situasi peperangan sahaja.

Manakala ayat mengenai kebebasan, toleransi, rahmah adalah timbangan asas kerana ummah ini adalah ummah yang dipertanggungjawabkan untuk berdakwah dengan hikmah dan peringatan dan diskusi yang baik.

Ummah ini adalah ummah yang diutuskan kepada ummah manusia untuk berdakwah dan membawa hidayah.

Penulis : Sheikh Dr Ali Muhyeaddin Al-Qaradaghi, Setiausaha Agung Kesatuan Ulama Islam Sedunia
Terjemahan : Siasah Rahmah – SR

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply