Kakak Pulang

2
153
views

Kakak Pulang

Kakak Pulang | Hari ini Aina tidak betah duduk. Apa yang dibuatnya semua tidak kena. Dia sudah lama menghitung detik. Kalendar tepi pintu ditatap pula hari-hari.

Apa tidaknya, kakaknya akan pulang ke kampung hari ini. Kakak sudah lama tidak menjejakkan kaki ke kampung. Hanya suaranya sahaja sayup-sayup di corong telefon apabila kakak menelefon emak.

Aina rindu kakak. Sejak kakak pergi ke Mesir untuk menimba khazanah ilmu di sana setahun lepas, Aina sudah tidak punya teman. Dahulu, kakak yang paling setia melayan karenah Aina. Tiap-tiap malam kakak akan membacakan kisah lipur lara pada Aina sampai Aina terlelap. Aina rindu saat itu.

Dari anjung rumah, Aina lihat kereta biru bapa sudah masuk halaman rumah. Melompat Aina dari tangga rumah berlari mengejar kereta biru itu. Bapa sudah pulang mengambil kakak di stesen bas. Sudah tentu kakak ada dalam kereta biru itu.

Pintu kereta dikuak. Senyuman kakak terasa seakan-akan bulan purnama. Manisnya mengalahkan kuih penjan yang emak selalu buat untuk bapa. Kakak kelihatan lebih kurus sejak setahun lepas. Kata emak, hidup di sana susah. Mungkin itu sebabnya.

Malam itu, makan malam terasa lebih meriah dari biasa. Kakak tak henti-henti berceloteh sejak petang tadi. Ada saja kisah suka duka hidup di Mesir diceritanya. Emak pula semangat sungguh menyediakan bermacam-macam juadah kesukaan kakak sehingga meja makan pun tak mampu menampungnya.

‘Kakak, bapa selalu risaukan keadaan kakak. Hari-hari ada saja berita rusuhan di televisyen’ Bapa mula menutur kata dengan hati-hati. Ada riak risau terlukis pada wajah bapa.

Aina juga risau. Sejak berita rampasan kuasa Presiden Morsi berdegar-degar di kaca televisyen, Aina tak pernah lupa menonton perkembangan semasa Mesir di saluran-saluran televisyen kerajaan. Aina risau keselamatan kakak.

Tapi, kakak senyum sahaja. Matanya redup membayangkan ketenangan yang tak bertebing. Petang tadi, Aina lihat kakak sudah pakai tudung labuh. Namun, Aina tak kisah. Kakak lebih manis begitu.

‘Bapa usah risau. Kakak baik-baik sahaja,’ Lembut kakak memujuk.

‘Alhamdulillah negara kita tak macam Mesir. Rusuhan sana, rusuhan sini’ tambah emak.

Kakak tergamam seolah-olah kata-kata emak ada cacatnya. Kakak tak suka negara kita aman? Semua orang risaukan kakak.

‘Kakak selalu kagum dengan orang Mesir. Mereka berani berjuang menegakkan yang haq dan menolak yang batil meski darah jadi taruhan. Mereka berani mengejar syahid tatkala pesta Ramadan hebat berlangsung,’ Kakak menutur hati-hati. ‘Mereka tidak berjuang untuk diri mereka sendiri. Mereka mahu anak cucu menikmati keadilan suci dari demokrasi sejati,’

‘Sayanglah begitu. Bulan Ramadhan orang sibuk beribadah. Mereka pula berbunuh-bunuhan di jalanan,’ protes emak.

‘Apa yang harus dirisaukan? Bukankah kematian semasa puasa itu kematian yang terbaik? Kita yang patut cemburu pada mereka kerana mereka akan berhari raya di syurga,’ jawab kakak. Nadanya masih lagi lembut.

Emak tak lanjut membangkang dan ayah tak pula menambah. Sunyi mula menghurung meja makan. Aina tak tahu apa yang emak dan bapa fikirkan. Kadangkala daya fikir orang dewasa terlalu kompleks untuk Aina fahami.

Malam itu, kakak teman Aina ke kamar tidur. Kakak mahu membacakan cerita untuk Aina. Aina gembira sungguh. Kakak masih lagi seperti setahun yang lalu. Anehnya, kakak tak pula memilih buku Cinderella, Rapunzel, Bawang Putih Bawang Merah, Mahsuri, Pak Kadok mahupun Pak Pandir seperti selalunya. Kakak mengeluarkan buku sirah sahabat. Beli di Mesir katanya.

Malam itu kakak bercerita tentang Khalid al Walid. Hebatnya Khalid al Walid sehingga Rasulullah saw memanggilnya dengan julukan Saifullah (Pedang Allah). Tatkala baru seminggu memeluk Islam, dia dikerah menjadi jeneral perang memimpin lasykar Muslimin ke medan laga. Anehnya, Allah tidak mengizinkannya syahid di bawah kilatan pedang namun dia pulang menghadap Ilahi ketika berada berada di atas pembaringan.

Aina terpegun mendengar cerita kakak. Kakak kata itulah hero kita. Hero kita bukan seperti watak-watak fiksyen di layar kaca kerana nama mereka sudah termaktub dalam kitab-kitab sirah silam. Mereka tetap manusia biasa namun mereka hidup dengan memberi pulangan pada dunia secara luar biasa. Kerana mereka Islam sampai pada kita. Maka, pada merekalah kita harus ambil inspirasi, bukan pada Batman, Spiderman mahupun Superman.

Kisah Khalid al Walid begitu memberi kesan pada Aina, sehingga nama Khalid al Walid sentiasa diulang ucap sehingga dia masuk ke alam mimpi. Dalam mimpi itu, Aina berada di medan laga. Dari kejauhan dia melihat Khalid al Walid sudah menjulang panji. Tentera Muslimin pula sedang bersiap siaga di perbatasan. Namun, tatkala semboyan dilaungkan, tak semena- mena Aina terjaga dari mimpi.

Esoknya, Aina dan kawan-kawannya berkumpul di ‘markas’ mereka, iaitu di bawah pokok kelapa tepi bendang. Kebiasaannya mereka akan berkumpul di situ untuk merancang permainan untuk hari itu. Namun, hari itu suasananya lain sekali. Aina pantas menukilkan kisah Khalid al Walid dihiasi semangat yang

memercikkan api-api kehidupan. Kawan-kawanya juga ikut semangat apabila mendengar cerita Aina.

‘Jadi, apa yang harus kita buat sekarang?’ laung Ridwan. Suaranya begitu kencang sekali.

‘Kita harus berjihad, macam orang Mesir,’ balas Aina penuh semangat juga.

‘Macam mana kita harus berjihad?’ soal Aisyah. Dahinya berkerut penuh tanda tanya.

Soalan itu membuatkan Aina terfikir. Di Malaysia sekarang, tiada siapa yang sibuk-sibuk membuat demonstrasi. Semuanya sibuk mengejar ibadah tatkala Ramadan sudah merangkak ke hujungnya. Ketika Aina diam seribu bahasa dan sahabat- sahabatnya masih menanti butir jawapan penuh kesabaran, tiba- tiba muncul sekujur tubuh sedang menunggang basikal dengan riang ria. Namanya Soma, anak tauke getah kampung itu. Dari jauh, kulit hitamnya kelihatan begitu berkilat sekali.

’Saya tahu, dahulu Khalid al Walid berperang menentang orang- orang kafir tanpa gerun. Sekarang ini kita harus hapuskan orang-orang kafir yang berada di Malaysia,’ bentak Aina. Suaranya kedengaran garang sekali.

Ajaibnya, kawan-kawannya ikut terpengaruh. Mereka mengerti bahawa Aina sedang bercakap tentang Soma. Soma masih lagi menunggang basikal penuh girang tanpa mengerti bahaya yang menanti.

‘Kita akan bertindak sekarang. Sekarang saya ada sudu dan garpu. Kita akan cungkil matanya satu-satu’ ujar Ridwan disusuli ketawa kecil bernada jahat.

‘Betul tu. Kita akan campak basikal Soma dalam bendang dan pukul badannya dengan pelepah kelapa,’ tambah Nurin. Matanya

meratah tubuh Soma tak ubah seperti singa yang sedang kelaparan.

Selepas kiraan sepuluh, kelima sahabat itu membuka langkah untuk berlari menerkam Soma. Sudah tentu Soma terpingga-pingga melihat mereka. Namun, setelah dia melihat ada sinar dendam kesumat dalam mata mereka berlima, dia dapat mengagak bahaya sudah mendekat. Soma langsung memberhentikan basikal, membetulkan arah dan terus memecut laju dengan basikalnya sepantas kuda-kuda. Mereka sudah gila agaknya, fikirnya.

‘Jangan lari,’ jerkah lima sahabat itu. Namun, jeritan itu membuatkan dia memecut dengan lebih laju lagi. Laju dan laju, sehingga akhirnya dia bertemu dengan satu tubuh dan terus bersembunyi di belakangnya.

Lima sahabat itu terpana. Itu kakak, jerit hati Aina. Mengapa kakak ada di sini tatkala mereka sudah hampir menjayakan misi berani mereka. Aneh, lain benar ekspresi kakak hari ini. Dahi kakak berkerut seribu dan tangannya dicekak pula pada pinggang.

‘Aina, apa yang Aina cuba buat sekarang?’ ujar kakak, tegas.

Aina tak mampu bersuara. Dia tak mengerti mengapa kakak bertindak bertentangan dengan lafaznya sendiri yang diucap sejak semalam? Mengapa kakak melindungi Soma? Mengapa kakak?

‘Sekarang, permainan sudah tamat. Hari sudah lewat. Mari kita pulang ke rumah,’ ujar kakak lagi. Nadanya masih tegas.

Mereka bersurai. Soma sudah pulang ke rumah dengan selamatnya.  Aina termanggu-manggu. Kakak langsung tidak memberikan apa-apa jawapan kepada tindakannya.

Malam itu, kakak, emak dan Aina solat berjemaah di rumah. Bapa sudah ke masjid dan akan berdiam di situ sehingga Isya’. Usai

solat Maghrib, kakak bangun mendirikan solat sunat disusuli dengan tilawah. Suara kakak merdu sekali. Berkat belajar di bumi Mesir barangkali.

Selepas solat Isya’, kakak menghampiri Aina dan bertanyakan peristiwa petang tadi. Aina serba-salah namun dia tetap jua memulakan hikayat. Usai bercerita, kakak senyum. Senyuman kakak yang manis umpama suria itu meredakan ketegangan dalam dada Aina namun masih belum cukup untuk merungkai setiap pertanyaannya.

‘Jadi, itulah apa yang Aina faham tentang jihad?’ duga kakak.

Aina mengangguk lesu. Kakak tergelak besar.

‘Patutlah ramai orang ada sindrom Islamophobia sekarang. Rupa- rupanya ada orang yang masih lagi keliru rupanya,’ Kakak masih lagi menyambung gelak.

Aina tertunduk malu. Mukanya merah padam.

‘Aina,’ Kakak sudah memperlahankan tawanya. Kemudian, bibirnya menguntum senyum.

‘Jihad kita tak sama dengan jihad Khalid al Walid. Sebelum mengambil hujah dari sirah, kita perlu ada kefahaman yang menyeluruh dan mendalam tentang sirah itu sendiri,’ Kakak mula menerangkan satu demi satu.

‘Sebab tentera Muslimin bertempur dengan Musyrikin Mekah ketika itu bukan hanya sekadar label kafir yang ada pada orang Quraisy Mekah, tetapi disebabkan pihak Quraisy tegar menentang dakwah Islamiyah sehingga mereka sanggup bermandikan darah semata-mata untuk memastikan dakwah tidak dapat berkembang luas. Maka, pihak Muslimin perlu melakukan tindak balas defensif untuk menghindarkan tentangan Quraisy itu,’ terang kakak panjang lebar.

‘Kesimpulannya, bukan semua orang kafir itu kita tentang. Soma tak buat apa-apa untuk menyakiti Aina bukan?’ Kakak cuba mencari jawapan dari kata mata Aina. Aina menggeleng.

‘Maka, Soma bukanlah lawan kita. Jihad Aina lebih besar lagi tahu?’ ujar kakak lagi.

Aina membulatkan matanya. Kalau Soma bukan lawannya, perlukah dia berjihad lagi? Kakak mula mengalih posisi menghampiri meja belajar Aina. Kakak menatap meja kayu kecil itu, meraba-raba permukaannya seketika sebelum mencapai sebuah buku latihan Aina. Kakak menyelak buku latihan itu satu persatu sehingga sampai ke halaman yang terakhir sebelum menutupnya kembali. Kemudian, mata kakak beralih dari buku latihan itu kepada mata kecil Aina.

‘Tahu kenapa kakak sanggup belajar jauh-jauh? Sebab ilmu itu tunjang kekuatan peradaban Islami. Orang Muslim yang dapat menjulang keunggulan peradaban di bidang ilmu dan teknologi mampu memberi manfaat yang besar dalam dakwah berbanding orang biasa, orang yang gagal dalam kehidupan ilmiahnya atau yang tidak lulus dalam ujian sekolah,’

Aina terpana. Belum pernah lagi dia mendengar ucapan sebegitu besar lagi mendalam. Selama ini, dia sering diberitahu bahawa dia perlu belajar rajin-rajin supaya dia boleh masuk universiti hebat-hebat di luar negara macam kakak, dapat kerja bagus-bagus dan boleh hidup senang. Namun, rupa-rupanya dimensi ilmu lebih luas lagi dari sekadar digerakkan untuk manfaat seorang diri.

‘Tiada keunggulan tanpa ilmu. Mahasiswa Islam tidak akan dapat berbakti pada Islam secara maksimun jika dia tidak unggul di sekolah,’ Kakak seakan-akan berucap pada dirinya sendiri.

‘Kakak,’ barulah Aina berani membalas biara setelah berteleku

bisu mendengar hujah-hujah kakak. Kakak memalingkang wajahnya. Mata mereka bertemu.

‘Aina akan bersama-sama kakak dalam jihad ini,’ ujarnya. Tegas.

Kakak senyum.

Amal Asyura

http://amalasyura.wordpress.com

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

2 COMMENTS

  1. just nak tolong betulkan sikit..typo rasanya. it should be saifullah not khalilullah.

    in overall, this inspired me so muchh! ^_^

Leave a Reply