” Kalau Tuhan Tu Adil, Kenapa Masih Ada OKU Kat Dunia Ni? ” – Usaid Asmadi

0
4
views

DSC_0412

Menurut Akta Orang Kurang Upaya 2008, “OKU termasuklah mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi dengan pelbagai halangan, boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam  masyarakat”.

(Sumber: Portal Rasmi Jabatan Kebajikan Masyarakat)

Atau jika didefinisikan secara mudah adalah manusia yang tidak seperti manusia yang sempurna samada fizikal atau mental atau kedua-duanya. Mereka ini berlainan dengan manusia sempurna. Perlukan peralatan yang berbeza dan cara ‘approach’ yang berbeza.

Didalam portal Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, mengklasifikasikan kepada tujuh kategori OKU:

  1. Kurang Upaya Pendengaran
  2. Kurang Upaya Penglihatan
  3. Kurang Upaya Fizikal
  4. Masalah Pembelajaran
  5. Kurang Upaya Pertuturan
  6. Kurang Upaya Mental
  7. Kurang Upaya Pelbagai

(Sumber: http://www.spa.gov.my/kategori-orang-kurang-upaya-oku-)

043dd8e6c6bd41b7ab1839c0c0fa629eBagi sesetengah manusia, mereka seringkali merasakan OKU ini menyusahkan mereka. Kalau mereka itu buta, kita terpaksa papah dirinya ketika melintasi jalan.

Jika OKU ini naik kerusi roda, kita terpaksa angkat dirinya dan kerusi rodanya menaiki tangga. Jika dia tiada kaki, kita terpaksa bantu dia untuk bangun mendapatkan tongkatnya.

Jika dia tiada tangan, kita terpaksa tolong suapkan makanan ke dalam mulutnya. Jika OKU ini bermasalah pada mentalnya, pasti memeningkan kepala kita.

Begitulah seterusnya.

ALLAH ZALIM KERANA CIPTAKAN OKU?

Lantas timbul persoalan; Kenapa Allah ciptakan manusia yang akan menyusahkan manusia lain? Kenapa Allah ciptakan manusia yang akan menyusahkan diri manusia itu sendiri?

Tidakkah dengan cara penciptaan begini menunjukkan Allah itu bersifat zalim?

Jika kita lihat pada sisi pandang yang saya sebutkan diatas, pasti kita akan mula meragui kasih sayang dan cinta Allah kepada hamba-hambaNYA.

Tapi sebenarnya, jika kita lihat pada sisi pandang yang berbeza, kita akan nampak betapa kasih dan cinta Allah kepada kita!

image

Bak kata Dr. Maszlee Malik dalam satu pengisian;

“Kerana cintanya Allah kepada OKU, maka Allah ciptakan kita. Dan kerana cintanya Allah pada kita, maka Allah ciptakan OKU!”

TANDA CINTA?

Kenapa tanda cinta Allah kepada OKU dengan cara menciptakan kita yang sempurna?

Kehadiran OKU pastinya memerlukan bantuan daripada orang lain. Maka, Allah ringankan beban OKU dengan menghadirkan manusia-manusia sempurna seperti kita untuk membantu memudahkan hidup mereka.

Tidakkah itu tanda kasih dan cinta Allah kepada hamba-hambaNYA yang OKU? Jika benar Allah itu zalim, pasti Dia tidak akan ciptakan kita. Dan biarkan mereka ini hidup terumbang ambing dengan kelemahan mereka.

Kenapa tanda cinta Allah kepada kita dengan cara menciptakan OKU yang serba kekurangan?

Tidakkah kita nampak betapa Allah sedang membuka pintu-pintu untuk kita beramal dan berbakti? Tidakkah kita nampak yang Allah sedang memberi kita ruang untuk berjalan menuju ke pintu syurga?

Berbakti kepada OKU adalah satu amal bakti yang begitu besar nilainya di sisi Allah. Kenapa kita tidak menggunakan ruang yang sedang Allah beri kepada kita?

Ruang untuk beramal begitu banyak dengan kehadiran OKU ini dalam masyarakat kita. Tinggal kita sahaja mahu merebutnya atau tidak.

Kita lah yang kena fikirkan apa solusi terbaik kepada masalah-masalah yang melanda OKU. Dan kitalah yang perlu bertindak mengikut kapasiti yang kita mampu.

Dan tidakkah kita mampu menjadikan mereka sebagai suatu pelajaran untuk kita dalam kehidupan seharian kita? Bukankah ini tanda cinta Allah kepada kita?

APA SEPATUTNYA OKU MENGAJAR KITA?

OKU sebenarnya sedang mengajar kita tentang nilai manusiawi yang sepatutnya ada dalam diri kita. Manusia yang tiada nilai manusiawi ibarat manusia yang dirinya kontang daripada sifat prihatin dan mengambil berat.

Kita tidak boleh menafikan kewujudan masyarakat OKU ini di dalam kehidupan kita. Mereka juga berhak untuk menikmati hidup sebagai seorang manusia.

Kehadiran OKU sepatutnya membuatkan kita kembali bermuhasabah diri. Apakah benar masih hidup nilai manusiawi dalam diri kita? Adakah kita prihatin dengan nasib OKU?

Adakah kita sudah mula menyumbang sesuatu membantu OKU?

Maka tanyakanlah kembali pada diri, siapakah yang sebenarnya zalim?

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply