Katakan Ya Pada Peraturan

0
22
views

Katakan Ya Pada Peraturan

Katakan Ya Pada Peraturan | Lokman memerhatikan pantulan wajahnya pada cermin di dalam bilik air. Dia mendengus apabila menyedari potongan rambutnya tidak sekata. Ini semua gara-gara rambutnya melepasi telinga ketika pemeriksaan mingguan. Rambut Lokman hanya terlebih satu sentimeter sahaja, itupun sudah dianggap melanggar peraturan sekolah. Sebagai denda, guru disiplin menggunting rambut Lokman dengan suka hati.

Anda pernah mengalami situasi seperti ini, dibelenggu dengan peraturan dan menerima hukuman sekiranya tidak mematuhinya? Pernahkah anda rasa mahu hidup bebas dan mengikut kehendak sendiri? Atau pernahkan anda terfikir bagi menghapuskan peraturan yang membuatkan anda rasa terkongkong?

Peraturan itu membebankan! Semua perkara ada peraturan. Ayah melarang anda keluar rumah selepas jam tujuh malam. Kalau tidak, elaun bulanan dipotong. Di sekolah, buku peraturan setebal komik Upin & Ipin. Kalau tidak mematuhinya, nama anda dimasukkan ke dalam buku rekod disiplin. Sehingga ke universiti dan memasuki alam pekerjaan, semuanya ada peraturan. Malah, sesebuah negara juga mempunyai undang-undang. Sekiranya anda dibuktikan bersalah, anda tidak terlepas daripada menerima hukuman.

Apa perasaan anda sekarang? Anda rasa peraturan itu perlu dihapuskan? Nanti dulu! Anda tidak perlu terburu-buru dalam membuat keputusan.

Kehidupan ini tidak sah kalau tiada peraturan. Allah juga sudah menetapkan supaya anda mematuhi segala perintah dan meninggalkan larangan-Nya. Peraturan dan undang-undang yang digubal bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak tetapi bagi memberi kemudahan, panduan dan peringatan. Cuba bayangkan apa yang terjadi sekiranya tiada peraturan dalam dunia ini?

Ada pelbagai masalah akan timbul sekiranya peraturan dimansuhkan. Sekiranya Allah membiarkan anda hidup tanpa peraturan, maka maksiat dan jenayah akan berlaku dengan sewenang-wenangnya. Tiada lagi pahala dan dosa serta syurga dan neraka. Ini amat bertentangan dengan fitrah kejadian alam.

Anda perlu patuh kepada perintah Allah yang menjadikan manusia dan seisi alamnya. Tidak cukup dengan itu, Allah memberi rezeki dan pelbagai nikmat kepada setiap hamba-Nya. Malah, sekiranya anda istiqamah dalam mentaatai Allah, anda dijanjikan kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Allah itu sangat menyanyangi anda.

Cuba anda cari pula mana-mana negara atau sekolah atau keluarga yang tidak mempunyai undang-undang. Adakah anda menjumpainya? Tidak ada, bukan? Ulil Amri adalah ketua bagi sesebuah negara atau negeri atau universiti atau sekolah atau keluarga. Peraturan yang telah ditetapkan oleh mereka perlu dipatuhi selagi tidak bertentangan dengan ajaran Islam.

Wahai orang yang beriman, kamu perlu mentaati perintah Allah, Rasulullah dan Ulili Amri (orang-orang yang mempunyai kuasa) di antara kamu. Kemudian, sekiranya kamu berselisih pendapat tentang sesuatu hal, maka kamu perlu kembali ke jalan Allah (al-Quran) dan Rasulullah (sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Maka, yang demikian itu lebih elok (bagi kamu) dan lebih baik kesudahannya. (Surah an-Nisa’: 59)

Peraturan itu penting bagi menjamin keharmonian dalam hidup bermasyarakat. Ini bagi mengelakkan keadaan huru-hara dan menggalakkan anda menjadi orang yang taat dan berdisiplin. Dalam masa yang sama, anda dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama saudara muslim.

Secara keseluruhan, peraturan mendidik anda supaya menjadi muslim yang taat dan berdisiplin. Sekiranya anda berjaya mematuhi peraturan Allah, maka anda berjaya sebagai muslim yang patuh. Begitu juga halnya di rumah, sekolah, universiti, tempat kerja dan negara. Malah, anda sendiri boleh menetapkan peraturan kepada diri sendiri bagi melatih diri menjadi insan yang taat.

Norfarahin Athirah binti Ab Rahim

http://putihatauhitam.blogspot.com

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply