Ke Manakah Hilangnya Pelindung Wanita Hari ini? – Dr Harith Roslizar

0
685
views

Jijik, geram & loya mungkin perasaan ramai dari kita mutaakhir ini.

Pembongkaran kes jenayah rogol lelaki terhadap wanita di Malaysia semakin hari semakin banyak dan ini amat menggusarkan. 

Sebenarnya, degupan jantung kita sepatutnya sudah terhenti pada kali pertama kita mendengar peristiwa sebegini, kerana ia merupakan “a case of one too many”.

Apatah pula apabila ia melibatkan jenayah rogol seorang ayah terhadap anak perempuannya, kita semua wajib merasa perlu untuk melakukan sesuatu. Ia adalah jenayah terhadap kemanusiaan itu sendiri!

Meneliti laporan akhbar bahawa jenayah tersebut dilakukan sebanyak 3 kali setiap hari selama 7 bulan, termasuk sepanjang bulan Ramadhan, menyebabkan kita, tidak dapat tidak, harus bertindak sekarang!

Penjenayah sudah hilang akal, apakah kita juga sama?

Tanyakan, 

Di manakah hilangnya nurani seorang ayah?
Di manakah hilangnya nurani seorang lelaki?

Mencari punca kepada permasalahan ini, memerlukan suatu kajian menyeluruh lagi mendalam, namun ia bukan alasan untuk kita sebagai sebuah masyarakat beragama dan bermoral untuk mengambil sikap acuh tidak acuh dan berdiam diri.

Tanggungjawab berada di tangan kita semua!!

kredit

Dua saranan saya mudah :

Pertamanya, saranan untuk dilaksanakan di peringkat individu.

Buat para lelaki, binalah pada diri kesedaran dan pesan-pesankan pada teman tentang peranan dan tanggungjawab anda sebagai pelindung wanita – mana-mana wanita.

Bagi kaum wanita, carilah keberanian untuk menjaga diri anda dari kezaliman seorang lelaki dan keluarkanlah diri jika anda berada di dalam perangkap tersebut.

Tiada istilah ketaatan, kepada suami atau ayah, di dalam keadaan mereka sendiri bermaksiat kepada Tuhan dan melakukan jenayah terhadap manusia.

Keduanya, saranan untuk dilaksanakan di peringkat masyarakat & negara.

Bagi pemimpin agama dan negara, menjadi tanggungajwab anda untuk mengangkat kesedaran tentang isu ini sehingga ia benar-benar menjadi “conscience of the masses” ataupun “conventional wisdom” bahawa lelaki seharusnya mengambil peranan sebagai pelindung wanita.

Khutbahkan, press-conferencekan, anjurkan diskusi kesedaran di dalam masyarakat, masjid, pejabat dan kementerian anda!

Bagi pengelola sistem kehakiman dan keselamatan (polis) pula, anda wajar untuk memastikan keadilan mudah ditegakkan dan langkah-langkah pendidikan dan pelaksanaan keselamatan diperluaskan bagi melindungi kaum wanita.

Kita sudah tiada pilihan.

Institusi paling asas dan penting di dalam sejarah kemanusiaan, yakni institusi kekeluargaan, sedang dimamah oleh orang yang diamanahkan menjadi ketua keluarga itu sendiri!

Jikapun ia bukan fardh ain, maka sudah pasti ia fardh kifayah agar kaum wanita hari ini, akhirnya kembali dilindungi.

Hakikatnya, makna besar tentang salah satu misi kemanusiaan di dalam Al-Quran sudah tertanggal dari masyarakat kita hari ini, ar-rijaalu qawwamuna ala an-nisaa – lelaki itu sebenarnya adalah pelindung kepada wanita (An-Nisaa 34)!

Sampai bila lagi boleh kita biarkan situasi songsang ini berterusan?

Apakah sehingga ia menyerang ahli keluarga dan kenalan dekat kita sendiri?

Pelindung wanita hari ini sudah pun hilang bersama dengan hilangnya kemanusiaan. Menjadi tugas saya dan anda untuk kita mengembalikannya!

Sebar-sebarkanlah pesan ini,
Dr Harith Roslizar
Sydney, Australia
13 Ogos 2017

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply