Keindahan Cinta, Indahkah?

0
139
views

keindahan cinta

Keindahan Cinta | CINTA. Istilah ini amat popular. Ia mudah dikata tetapi sukar difahami. Tatkala melafaz istilah ini, ia mencetuskan pelbagai makna dan perasaan buat seseorang. Ada getaran di suara apabila menyebutnya, ada gambaran indah di layar minda apabila mengingatinya dan ada perasaan berbunga di hati tatkala menghayatinya.

Semua orang tahu bahawa cinta teragung itu ialah cinta kepada Allah.Mencintai sesuatu itu pula mestilah kerana Allah. Tetapi kenapa “pengetahuan” yang sudah sedia tersebar ini masih menyaksikan ramai manusia mensia-siakan peraturan cinta oleh-Nya? Ya, manusia sering tahu secara tepat tetapi tidak faham secara jelas. Cinta yang asalnya suci dan bersih boleh tercemar apabila disalurkan kepada jalan jalan yang mendekati zina.

Persoalan yang sering bermain di fikiran remaja Islam pada hari ini…

Adakah bercouple itu salah? Saya akan katakan, ya. Adakah ianya haram? Saya akan diam dahulu. Adakah bercinta itu salah? Saya katakan TIDAK.

Apa itu cinta ? Apakah pula yang sepatutnya kita faham tentang cinta?

Imam Ibn Qayyim al-Jawziyyah mencoret dalam catatannya Rawdah al-Muhibbin wa Nuzhah al-Mushtaqin ( Taman orang yang cinta dan rindu) bahawa ada lebih 60 istilah yang dikaitkan dengan cinta.

Antaranya ialah al-mahabbah ( kasih sayang ) ,al-tatayyum ( perhambaan ),al-sabwah (rindu yang cenderung kepada kebodohan ), al-ishq (asyik), al-hawa ( keinginan ) dan banyak lagi.

Berkata Prof.Syeikh Yusuf al-Qaradawi apabila ditanya tentang cinta sebelum bernikah: ‘Saya ingin tegaskan apa yang sering saya katakan.Saya tidak menyetujui apa yang dilaungkan segolongan orang tentang pentingnya bercinta sebelum berkahwin kerana cara seperti ini dikhuatiri mengundang bahaya dan terjebak dalam syubhat.’(Wanita dalam Fiqh al-Qaradawi)

Adakah ada jodoh buat diriku?

Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Allah yang maha Esa. Tetapi bagaimana kita mengetahui dia memang ditakdirkan untuk kita? Allah SWT mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan.

Dua manusia yang rasa mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan emosi , spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan?

Kita semua akur dengan selera dan kehendak naluri insan terhadap pasangan idaman. Kita sedari bahawa sifat pasangan yang dianjuran Islam merupakan satu bentuk ‘ilmu dalam pencarian’ yang lazim diketahui umum. Bahkan lelaki yang jahat sekalipun biasanya berharap untuk mendapatkan isteri yang solehah.

Namun hakikatnya pertimbangan akhlak mulia yang disarankan agama biasanya tewas apabila ukuran fizikal telah mengkaburi mata. Lelaki kebiasaannya akan memilih wanita yang cantik walaupun lidahnya menuturkan keinginan mendapatkan isteri yang solehah. Solehah seorang wanita sering kali tewas bila wajah tidak semanis budi. Itu hakikatnya nafsu lelaki.

Kebanyakan mereka pada hari ini, inginkan pasangan yang sempurna seperti Rasulullah, tetapi dirinya tidak sesempurna Saidatina Khadijah.Mana mungkin kita akan mendapat pasangan yang soleh atau solehah andai diri tidak menjadi soleh atau solehah terlebih dahulu.

Baca : Calon Menantu Pilihan Ibu

Orang yang mempersiapkan diri dengan peribadi muslim insyaAllah akan dianugerahkan bait al-muslim (rumah tangga muslim).Orang yang berusaha menjadi soleh,InsyaAllah akan dimudahkan Allah mendapat orang yang solehah.

“(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia.”  (Surah An-Nuur, 27)

Lelaki dan wanita saling memerlukan…

Kerana Allah melihat bahawa Adam kesepian, saat Adam sedang lena tidur, Allah mengambil rusuk Adam dan menciptakan Hawa. Semua LELAKI mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, tidak lagi merasakan sakit di hatinya…

Namun, andai tiada jodoh di dunia, cinta fitrah yang terpelihara akan terus mendapat barakah dengan meneguk lazatnya “redha” pada ketentuan-Nya.

Sama-samalah menjadi remaja yang memelihara kesucian diri. Remaja yang membina kualiti fardhu Muslim insyaAllah akan dianugerahkan oleh Allah dengan Baitul Muslim. Baitul Muslim ini pula akan mencorakkan satu generasi masa depan yang hebat untuk membina masyarakat Muslim seterusnya negara dan khalifah.

Perkahwinan bukanlah matlamat cinta. Ia Cuma alat untuk lebih mudah mendapat cinta-Nya. Sama ada cinta fitrah itu dianugerahkan perkahwinan atau tidak, Ia tidak dapat menghalang seseorang untuk mendapat cinta Allah. Dialah sebenar-benarnya hakikat cinta!.

Baca : Perkahwinan Bagi Saya Ibarat Solat Berjemaah

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud : “ Allah berasa takjub kepada pemuda yang tiada baginya rindu yang cenderung kepada kebodohan.” (Riwayat Ahmad).

Manisah Binti Jahari

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply