Kekeringan Bekalan Dakwah – Muharikah

0
41
views

Dulu, saya selalu cari formula bagaimana untuk sentiasa membasahkan hati di saat tarbiyah saya mengalami fasa plateau atau garis panjang (stagnan).

Apatah lagi terkadang seminggu perlu bawa 3-4 usrah. Tak termasuk malam-malam perlu oncall dan hujung minggu yang bekerja.

Terkadang boleh dikatakan sebulan dua saya tak bertemu pun dengan rakan-rakan seangkatan dengan saya dalam program dakwah dan tarbiyah, kerana kekangan jarak mahupun masa.

Dan pernah saya kekontangan amat dahsyat bagaikan pasir sahara yang bertahunan tidak ada jirusan air hujannya, sehinggalah saya buntu untuk mencari jawapannya.

Dan saya mencari terus mencari. Mahu bertemu pelbagai formula.

Dahulu saya menyalahkan murabbi saya yang pada saya kurang peka kepada tarbiyah saya.

Juga kepada jemaah yang kurang endah akan perihal dakwah dan tarbiyah kami di negara sejuk di atas itu.

Sehinggalah saya belajar untuk mengenali dan memahami kekangan yang murabbi saya lalui. Dan saya belajar untuk tidak selalu komplen, (saya sangat banyak menulis emel dan mengadu banyak kali, huhuh!), dan saya belajar untuk menghargai kelebihan murabbi-murabbi saya.

Kerana kekuatan setiap individu dalam jemaah kita ini berbeza sekali. Kemudiannya saya cuba untuk mengadaptasikan diri dengan kekangan murabbi yang amat saya cintai kerana Allah.

Ini kerana dalam jemaah ini takkan dapat bertemu dengan titik kesempurnaan, kerana jemaah ini terdiri dari manusia-manusia yang penuh dengan kelemahan dan kekangan.

Kerana itulah, jemaah ini, berpadu pada rukun-rukun amal jamaie, bukan untuk kita merasai diri kita yang paling penting dan hebat, tetapi untuk memaknai kelemahan-kelemahan yang ada pada setiap individu dalam jemaah ini. Seterusnya, melengkapkan kekurangan yang ada itu.

Bukan mengutuk dan asyik komen sahaja.

Walaupun  akhirnya yang terkorban itu adalah diri kita sendiri!

dakwah-tunas

Kerana kita tak layak untuk mendabik dada, ataupun memandang kecil usaha-usaha orang lain, sehingga kita mengatakan mereka tak mengambil penting aspek dakwah dan tarbiyah.

Kerana fasa kehidupan kita dan mereka yang amat berbeza. Begitu juga dunia dan kehidupan yang mereka lalui yang amat berlainan sama sekali.

Sehingga kita teramat selfish dan merasai diri kita pula lebih utama dari orang lain, dan mungkin merasai jemaah ini amat rugi kerana tidak mementingkan orang seperti kita!

Kerana itu rukun usrah takkan pernah berubah.

Taaruf – Tafahum – Takaful

Bila kita mengenali, kita akan sangat memahami. Dan dari situ, kita akan saling melengkapi. Kerana tidak ada satu jiwa yang sempurna, melainkan ia pasti dilengkapkan dengan orang lain.

Begitu juga, ada hak-hak orang lain tak dapat kita penuhi seperti mana dahulu kita tak faham kenapa orang lain tak memenuhi hak mereka pada kita.

We cannot change other people. But we can change ourselves. Kita akan penat berharap orang lain berbuat perubahan, maka kitalah yang perlu buat perubahan tersebut!

Kerana itulah, apabila kita mula merasai kekeringan dalam dakwah, mungkin perlu kita berHENTI sejenak dari kerja-kerja dakwah, dan mula merefleksi diri kita sendiri.

Kerana dalam dakwah itu sendiri, ada bekalan yang sangat ampuh, malah cukup untuk menjadikan kita hidup untuk beberapa ketika sebelum mendapatkan taujihat seterusnya.

Refleksi diri kita:

1) cukup ikhlaskah aku dalam dakwah ini?

2) aku buat kerja dakwah ini, supaya aku dapat nama/dapat perhatian adik-adik/rasa cam best beri arahan pada orang, atau mmg purely untuk Allah.

3) sudah cukupkah istihgfar aku ?

4) adakah lengkap rakat-rakat solat malamku?

5) cukupkah bacaan quran aku sejuzuk?

6) adakah aku memuhasabahkan diriku setiap hari?

7) selama ini aku memberi pada orang lain, adakah peringatan itu untuk diri aku sendiri ataupun diri orang lain sahaja?

Dan bila kita memuhasabah balik diri kita, jelaslah, walaupun kita berada dalam lingkungan dakwah dan tarbiyah, walaupun program tarbiyah tak pernah berhenti setiap hari dan hujung minggu, kekeringan itu tetapi kita rasai. Mengapa?

Kerana, maksiat yang kita lakukan pada Allah.

Maksiat yang kita tak nampak pun. Malah tak sedar pun.

Mungkin kerana adanya riya. Mahupun ujub, mahupun sum’ah.

Ataupun lupanya kita pada Allah, kerana kita mengambil alasan, kita terlalu sibuk berdakwah. Sehingga kurangnya zikrullah dan bacaan Al-Quran kita.

Ataupun kerana bila kita berbuat sesuatu, kita tak sempat untuk mengoreksi niat kita, ikhlas lillahi taala.

Kerana rasa bekalan di hati itu, rasa basah dan sentiasa ada something itu adalah ‘iman’ yang mengisi hati kita.

Bekalan (dakwah) ini terdapat di dalam keimanan yang kuat dan ketaqwaan kepada Allah. Ini merupakan bekalan yang terbaik.

Syeikh Mustafa Masyhur dalam buku bekalan di jalan dakwah.

Sebab, apabila kita mengambil bekalan yang betul, kita takkan pernah kekeringan. Walaupun mungkin setahun kita tak mengikuti usrah ! ( fuh, kalau setahun tak ikut usrah, futurlah kan maknanya..heehhe)

Walaupun betul, mungkin dengan bersiar-siar sejenak, mahupun menghiburkan hati dengan shopping dan melayan lagu serta movie mampu terkadang mengisi hati kita, tetapi bekalan itu, bukan bekalan dari ilahi.

img_7175

Maka jika hati diisi dengan bekalan selain dari bekalan ilahi, maka ia bersifat semu, sementara dan fatamorgana. Effect dia hanya acute, bukan menyelesaikan pada jangka masa panjangnya.

Maka berbekallah saudaraku, dan berbekallah dari bekalan dari ilahi.

Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayah petunjuk), dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah ia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) ia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya?

(Surah Al-An’am: Ayat 122)

Seperti mana Musab bin umair, mahupun Abu Zar bin Ghifari, mahupun Abu Ubaidah serta Saad bin Abi Waqqas yang terputus bekalan tarbiyah begitu lama, namun tetap tangguh, tetap juga istiqamah dan rasa penuh hati mereka dengan iman.

Bagaimana mungkin mereka nak usrah setiap minggu atau setiap bulan setelah terpaksa membuka daerah baru islam yang perjalanannya berminggu-minggu dan berbulan-bulan dari Madinah?

Sedangkan dahulu tak mungkin wujudnya istilah usrah online mahupun website islami!

Kerana mereka sentiasa berbekal. Bekalan yang ampuh. Walaupun mereka terpaksa mengajar manusia lain setiap hari tanpa henti, tapi bekalan mereka tak pernah habis, malah segar sahaja setiap hari!

Kerana formulanya bukan setakat pada bahan-bahan tarbiyah. Walaupun amat penting kita mengikuti program-program tarbiyah untuk meningkatkan tsaqafah dan kefahaman di jalan dakwah.

Namun, acapkali kita kaget, walaupun program sangat banyak, diri kita tetap rasa kering dan tak meningkat.

Ataupun, apabila kita terputus bekalan murabbi akibat berada di pelusuk dunia yang takkan mungkin ada yang menetap di sana saban tahun.

Maka, apa sahaja bekalan yang ada?

Pertamanya adalah perasaan maiyatullah.Kebersaman dengan Allah. Inilah yang dinukilkan dalam buku bekalan di jalan dakwah.

Perkara pertama yang kita perlukan di jalan da’wah ialah perasaan ma’iyatullah (merasakan diri sentiasa bersama Allah) dalam setiap langkah, gerak-geri dan diam bahkan pada setiap detik.

Sesiapa yang Allah bersama dengannya, ia tidak akan kehilangan sesuatu pun. Sesiapa yang Allah tidak bersama dengannya, maka ia tidak mendapati melainkan kehilangan dan kesesatan. 

Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang beriman.

(Surah Al-Anfal: Ayat 19)

Seterusnya bekalan lain seperti yang kita semua sudah ketahui, bekalan Al-Quran, bekalan tafakur, bekalan sirah, bekalan puasa, bekalan solat, bekalan zakat, bekalan haji, bekalan qiyamulail, bekalan doa, bekalan zikir, bekalan jihad, bekalan sunnah, bekalan dakwah, bekalan ukhuwah dan bekalan amalan soleh.

Semuanya itu boleh kita ulang dan ulang membacanya dan sentiasa menghidupkannya dalam kehidupan kita.

Namun, saya tahu apa yang sedang kamu lalui. Jika kamu adalah qiyadah paling teratas di negaramu, tentulah bekalanmu begitu pantas surut kerana apa sahaja kamu dapat, terus akan kamu berikan pada anak binaanmu.

Apatah lagi tiadanya murabbi dihadapanmu untuk membimbingmu. Jika ada pun, kurang endah pada kamu, bukan kerana mereka mahu, tetapi kekangan menuntut mereka begitu.

Maka, di mana sahaja bekalan diri kamu dapat kamu isi? Seterusnya kamu tidak tahu apa lagi nak diberikan kepada adik-adikmu kerana kamu sudah mula merasai kamu menyampaikan ayat-ayat yang sama sahaja setiap minggu, kerana dirimu sendiri tidak ada peningkatannya.

image

Praktikalnya beginilah:

1) Apabila kekeringan melanda, beristighfarlah. Dan bertaubatlah. Moga cahaya iman itulah bekalan kamu paling untuk terus menerus menyampaikan risalah dakwah ini. Yang mengisi hati anak-anak binaanmu bukannya ilmu semata-mata, tetapi iman yang kamu kongsikan bersama mereka.

2) Berbekallah dengan membaca buku mahupun mendengar mp3.walaupun kamu sudah hafal bait-bait yang diucapkan dalam ceramah-ceramah tersebut. Sorotilah nota-nota lama kamu dan kamu akan dapati banyak bekalan baru di situ.

3) Banyakkan perbincangan dengan orang yang sudah lama dalam tarbiyah. Samada membaca penulisan mereka, menulis emel kepada mereka, ataupun berbincang secara berdepan mahupun maya. perbincangan qadhaya ( masalah) inilah terkadang mampu menjadi bekalan buat kamu.

4) Ikutilah apa sahaja program-program yang mampu kamu ikuti, samada secara online mahupun tidak.

5) Ghairahlah ketika mendapat bekalan baru. Ghairah dalam erti kata passionate= tolakan yang mendesah dan keseronokan yang membara di saat menerima bekalan yang baru. Seolah-olah seorang yang lapar, mendapatkan makanan tersedap di dunia. Dan berbekallah dengan sebaiknya.

6) Bersamalah Al-Quran sepanjang masa. Hayati dan tadaburi ayatnya. Bacalah tafsir, dan hiduplah bersama Al-Quran. Di situ, ada bekalan teramat ampuh, yang akan sentiasa meningkatkan diri kamu.

Fasa kekeringan itu adalah sebentar, seterusnya adalah fasa menikmati buah-buahan indah di taman syurga yang permai. Yakinlah, setiap keadaan yang kita lalui, Allah sudah tetapkan, untuk kita mengambil ibrah terhadap tarbiyah ‘direct’ yang Allah berikan buat kita.

Semoga, kamu akan temui kebasahan pada kekeringan hati kamu. Dan seterusnya mampu mengairi hati-hati manusia lain pula.

Insyaallah.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply