Kelompok Yang Disembelih

0
2
views

pengorbanan

Bismillahil azim..

Allahumma solli ‘ala Muhammad.

.

Sheikh Al-Bahi Al-Khuli telah menumpahkan fikiran dan perasaannya – untuk menyemai azam dan akhlak yang baik – ke atas sekumpulan pemuda yang diberikan tumpuan khusus untuk menjadi generasi pelapis dakwah Ikhwan satu ketika dahulu. Pemuda-pemuda ini merupakan lapisan teratas yang dipilih, sekaligus merupakan lapisan terbaik pada waktu itu.

Al-Bahi menumpukan sejumlah perhatian, masa dan tenaga, untuk membina pemuda-pemuda ini. Beliau telah menamakannya sebagai Katibah az-Dzabih, yang bermaksud, “kelompok yang disembelih”.

Pemilihan nama ‘Dzabih’ diambil daripada sebutan untuk Saidina Ismail bin Ibrahim Alaihimassalam. (Nabi Ismail)

Tentunya, kata “sembelih” dan Nabi Ismail bukanlah terpisah asing.

Kita sudah dikisahkan menerusi lisan para guru, malah di dalam Kitab Al Quran sendiri – surah as saffat – tentang peristiwa penyembelihan ke atas Nabi Ismail, semasa bapanya Nabi Ibrahim diperintahkan oleh Allah untuk berbuat yang demikian pada bulan Dzulhijjah.

Maka ketika anaknya itu sampai ke suatu peringkat umur, Nabi Ibrahim berkata “wahai anak kesayanganku! sesungguhnya aku melihat di dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu. maka fikirkanlah apa pendapatmu?”

anaknya menjawab “wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu, dengan izin Allah kau akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar (menghadapinya)”

as saffat 102

Apa yang cuba dimenifestasikan/disemaikan di dalam kelompok pemuda tadi menerusi nama Dzabih ini adalah sikap – ketundukan – Nabi Ismail terhadap perintah Allah agar lehernya disembelih.

Al-Bahi menghuraikan – lihatlah anak ini, menyediakan dirinya untuk disembelih.

Dengan mengatakan “wahai ayah, laksanakanlah apa yang diperintahkan kepadamu”, dirinya menolak terus kepentingan dirinya, seolah menafikan eksistensi dirinya, sebaliknya menumpukan seluruh dan segalanya kepada APA yang diperintah, dan SIAPA yang memberi perintah.

Sedangkan Ismail boleh saja mengatakan “lakukanlah kepada diriku apa yang diperintahkan kepadamu.”
Namun tidak.

Sepertinya – lupakan saja tentang diriku, yang penting sekarang adalah laksanakan perintah Allah.

Tambahan, anak ini menyambung pula dengan mengatakan dirinya akan baik-baik sahaja, DENGAN izin dan pertolongan Allah.

Tidak mendabik dada mengatakan dirinya berani dan sabar, sebaliknya, menggantungkan dan menyerahkan kepada Allah untuk memelihara dan menentukan apa saja buat dirinya.

Baik, tutup kisah sembelihan Nabi Ismail.

Kita dapat melihat, dari situ lah nama Dzabih dipilih. Dan dari situ juga kita dapat melihat betapa besar harapan dan usaha yang Al-Bahi curahkan di dalam membina dan membentuk kelompok pelapis Ikhwan itu tadi.

Dari kelompok binaan Al-Bahi ini, terhasilnya pemuda-pemuda yang memang benar telah melapisi perjuangan Ikhwan dengan memukau.

~

Tidak mustahil “Katibah az-Dzabih” sebegini masih boleh didapati pada masa sekarang. Kelompok yang ditumpahkan dengan fikiran dan perasaan yang menyemai azam dan akhlak yang baik – dengan izin Allah – akan melahirkan pemuda yang rela ‘disembelih’ pada zaman seperti sekarang.

Ya, zaman yang pemudanya tidak sedikit yang culas – hendak meninggalkan mukabuku demi menunaikan hak laungan azan pun payah.

Ia akan berubah. Tidak mustahil.

~~

Trivia:

Siapakah Sheikh Al-Bahi ini?

Beliau – seorang tokoh ulamak – satu ketika dahulu merupakan Ketua bahagian penyebaran dakwah di Maktab Idari Ikhwan Wilayah Barat. Banyak menghasilkan penulisan yang memukau, antaranya seperti kitab Adam Alaihi Salam, Tsarwah Fi Zilalil Islam, Al-Mar’ah Bainal Bait wal Mujtama’.

Salah satu penulisannya yang mashur adalah Tazkirat ad-du’at (catatan para pendakwah) telah dijadikan sebahagian daripada rasa’il ikhwanul Muslimin.

Mempunyai pengetahuan yang sangat dalam tentang alquran, serta arif dalam bidang tasawuf.

Untuk lebih trivia lagi:

Al-Bahi adalah merupakan murabbi pertama dan yang paling dikagumi oleh Dr. Yusuf Al Qardhawi – ulamak terkenal dan mantan mursyidul am Ikhwanul Muslimin. Al-Bahi lah yang telah – dengan izin Allah – menyentuh hati Yusuf Al Qardhawi untuk berintisab dengan tarbiyyah dan dakwah IM.

Al Qardhawi ada menceritakan, halaqah ruhiyah (usrah) mereka selalunya berlangsung sebelum subuh pada setiap hari isnin. Mereka akan bersolat subuh berjemaah seusai pertemuan. *ini khas untuk sesiapa yang merasakan usrah pukul 9 pagi itu adalah terlalu awal*

Dan ya, Yusuf Al Qardhawi adalah merupakan salah satu dari pemuda di dalam Katibah Az-Dzabih itu tadi.

..

Sekarang, di manakah generasi az-Dzabih kita?

http://eushahidaraffar.com – PenaAbid

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply