Kenapa hanya Rm 2?

0
2
views

Kenapa hanya Rm 2?

Kenapa hanya Rm 2? | Baru-baru ini, saya terlibat dalam kemalangan jalan raya. Kereta Wira saya mengalami kerosakan yang agak teruk. Alhamdulillah, saya selamat dan begitu juga dengan para penumpang yang lain (termasuk seorang bayi berusia 6 bulan!).

 Walau macam mana sekalipun, hakikatnya adalah duit perlu dikeluarkan juga. Yang dilanggar perlu dibayar, kereta perlu dibaiki. Jika tidak dibaiki, tak boleh pergi kerja. Tak pergi kerja, tak dapat gaji. Tak dapat gaji, makanan tak mampu dibeli.

 Namun begitu, tak semua yang ada duit beribu-ribu untuk dikeluarkan pada saat itu juga. Di sinilah bermulanya tekanan minda yang bukan calang-calang.

 Membuat pinjam kepada siapa?

 1) Bank? Lambat approve. Lagipun gaji rendah, hutang rumah dan kereta masih ada. Interest bank pun tinggi.

 2) Keluarga? Mereka pun tak ada duit.

 3) Sahabat? Sama sahaja.

 4) Along? Cepat lulus, cepat dapat duit. Tapi bahaya. Bunga terlalu tinggi. Nyawa mudah melayang.

 Jadi, apa yang perlu dibuat?

 Inilah kuasa duit. Ia tidak semestinya menjadi kegilaan semua, tetapi apabila ia diperlukan, ia boleh membuat seseorang itu menjadi gila.

***

 Baru-baru ini, seorang penganggur telah dijatuhkan hukuman penjara akibat mencuri Rm 2 daripada tabung masjid. Saya tertarik dengan kes ini, kerna ia mendapat perhatian daripada pelbagai jenis manusia. Ramai yang menyatakan rasa kasihan, ada juga yang menyokong keputusan tersebut. Kata mereka, curi tetap curi, ajar dia!

 Sekiranya anda merujuk kembali persoalan “membuat pinjaman kepada siapa?” tadi, bolehkah sekiranya kita menambah dua lagi pilihan?

 5) Mencuri/merompak. Dapat duit segera. Risiko tinggi. Memudharatkan orang lain.

 6) Meminjam daripada badan Islam yang sentiasa diwar-warkan sangat mulia dan menjaga kebajikan umat Islam.

 Saya berminat dengan pilihan yang keenam ini, insyaAllah.

***

 Masjid kini telah banyak kehilangan fungsi yang dahulu kala terdapat padanya ketika zaman Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. Masjid menjadi simbol Islam itu sendiri. Pentadbiran negara, perkongsian ilmu, penyebaran Islam, perkongsian kasih sayang dan banyak lagi perkara mulia telah dikaitkan dengannya.

Kini?

 Kebanyakan masjid di Malaysia masih lagi menjadi simbol umat Islam, tetapi simbol apakah?

 Simbol keeksklusifan!

 Sekadar tempat untuk umat Islam bersujud sambil berserban. Tempat mengadakan akad nikah. Tempat orang luar negara datang mlawat. Tempat melimpahan wang ahli jemaah untuk penghawa dingin dan perhiasan yang melampau. Tempat untuk mengadakan jamaun-jamuan. Dan tempat yang sekali setahun memberi hadiah kepada yang memerlukan menjelang sambutan hari raya. Inilah masjid kita.

 Berbalik kepada kes mencuri Rm 2 tadi, mengapa hanya mencuri Rm 2 dan bukannya satu tabung? Mengapa tidak meminta sedekah sahaja, sedangkan cara tersebut amatlah mudah untuk memperoleh ‘pendapatan’ Rm 50-100 sehari?

 Barangkali sebab dia merasakan masjid itu adalah simbol Islam yang penuh dengan kemuliaan?

Barangkali dia ingin meminjam wang yang diberikan oleh Ummah untuk masjid gunakan pada perkara yang bermanfaat buat Ummah?

Barangkali dia ingin memohon pada ahli masjid tetapi dia merasa segan atau lebih teruk lagi mereka menolaknya?

Barangkali sebab masjid kini dilihat berlumba-lumba nak buat kebajikan yang ada majlis besar dan dipandang mulia oleh masyarakat sahaja hingga mereka yang benar-benar terdesak dipandang hina?

 Banyak kebarangkali, tapi pasti mampu membuat seseorang itu berfikir,

 “Kenapa hanya Rm 2?”

p.s. Segala coretan mengenai yang tertuduh hanya terpakai sekiranya dia benar-benar mencuri. Kita serahkan segalanya pada yang Maha Mengetahui dan Maha Adil. Wallahua’lam.

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply