Kepura-puraan di Bulan Ramadhan?

0
2,805
views

Err… Nak saya ulang tajuk? Kepura-puraan di bulan Ramadhan? Haa….!

Pastinya kita merasa taksub dan takjub di bulan Ramadhan yang mulia ini, apabila kita lihat masjid yang kosong, lalu kita pejamkan mata, kemudian kita buka semula mata kita dan melihat tiba-tiba ramai orang Islam yang memenuhi ruang-ruang dalam masjid yang kebiasaannya hanya dipenuhi oleh kekosongan dan kesunyian. Disebabkan merasa pelik dan ajaib, kita pun terfikir, dari manakah semua orang Islam ini datang? Turun dari langit kah? Terbang dari Marikh kah? Atau berenang dari Pulau Bermuda kah? Persoalan yang timbul adalah, di manakah mereka sebelum ini? Kemudian, persoalan yang lebih cepumas pula timbul. Di manakah kita sebelum ini? Jeng jeng jeng….

Bulan Ramadhan adalah bulan rahmat. Ia adalah bulan berkat. Bulan diturunkan Al-Quran. Bulan adanya malam seribu bulan. Bukankah itu meremangkan bulu roma dan menggetarkan jiwa siapa-siapa yang mendengarinya? Di bulan ini, pastinya setiap orang mempunyai peningkatan dalam amalan mereka, tidak kira banyak atau sedikit. Kalau sebelum ini, mungkin hanya berus gigi sehari sekali, kemudian di bulan Ramadhan ini dua hari sekali. Uhuk3. Jadi, perubahan secara tiba-tiba ini mungkin sahaja menimbulkan persoalan dalam benak fikiran rakan-rakan sekeliling kita, “Eh, kenapa kau tiba-tiba rajin ke masjid ni? Mesti sebab nak usha anak Pak Senin yang baru masuk tadika tu kan?”

Kepura puraan di Bulan Ramadhan?
Adakah ini wajah kita?

Adakah kita ini bertopeng-topeng?

Apabila orang lain mempersoalkan keikhlasan kita lantaran peningkatan amalan kita di bulan yang penuh dengan bonus dan promosi pahala ini, kita pun mula meragui adakah kita betul-betul lakukan kerana Allah ataupun ada bihun di dalam sup? Walhal Ramadhan itu memang disediakan sebagai medan untuk meningkatkan amal. Walhal ianya adalah medium terbaik dalam menganjakkan diri dalam perubahan. Sedarlah wahai teman! Apabila kita dapat rasakan perubahan dalam diri kita semasa Ramadhan ini, bukankah itu satu tanda kasihnya Allah pada kita?

Cuba fikirkan. Selama ini, banyak sahaja dosa yang kita lakukan, banyak sahaja amalan kita tinggalkan, banyak sahaja kebaikan yang kita lalaikan, namun adakah Allah hanya membiarkan? Tidak! Dia masih memberikan kita peluang. Peluang untuk kembali kepadaNya. Peluang untuk sujud dengan rasa hina. Peluang untuk membaiki karat-karat di dalam jiwa. Peluang untuk merasai nikmat menjadi hamba semula. Bukankah Allah Maha Penyayang? Dia mempertemukan lagi kita dengan Ramadhan. Bukankah Allah Maha Pengampun? Pastinya dosa kita akan diampunkan andai kita benar-benar bertaubat memohon ampunan dengan hati yang ikhlas. Yang penting, jangan pernah berputus asa dalam memohon ampunan dariNya. Kerana lebih utamanya bukanlah Allah ingin ampunkan kita atau tidak, tetapi sama ada kita ingin memohon ampun dari Allah atau tidak.

Katakanlah:

“Wahai hamba-hambaku yang telah melampaui batas terhadap diri sendiri janganlah berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesunguhnya dialah jua yang Maha Pengampun; lagi Maha Mengasihani.” Az-Zumar: 53

Biarpun sebelum bulan Ramadhan kita malas dan culas dalam membuka Al-Quran walau sesaat, tetapi dalam bulan Ramadhan, kita dapat habiskan satu juzu’ satu saat (Biar betul?). Biarpun bilangan solat kita hanya sekadar cukup syarat sebelum Ramadhan, tetapi semasa Ramadhan, kita solat ‘terlebih syarat’. Biarpun sebelum Ramadhan kita nak dengar pengisian Islami pun terasa nak muntah, tetapi di bulan Ramadhan kita mampu bersorak geli dan bersemangat besi setelah menghadiri usrah, tazkirah, dan ceramah.

Biarpun semua itu terjadi, usah kita rasa ianya seakan sebuah hipokrisi. Namun, anggaplah ianya sebagai satu anjakan paradigma pada diri. Tanamkan azam dan sucikan tekad di dalam hati. Katakan yang kita ingin berubah menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Walaupun orang lain fikir yang ini semua adalah hipokrisi, biarlah kita sendiri tahu apa yang kita benar-benar ingini, yakni sucinya sekeping hati.

Apa yang kita sudah amalkan di bulan Ramadhan, eloklah sekiranya kita latih diri agar istiqomah melakukannya. Kalau terasa tidak mampu pun, usah dibiarkan amalan kita itu jatuh mendadak, sehingga jadi lebih teruk daripada sebelumnya. Marilah kita berdoa sebanyak-banyaknya kepada Allah, moga diberikan hati yang istiqamah dalam meneruskan amalan-amalan baik yang kita lakukan di bulan ini sehingga ke 11 bulan yang berikutnya, sepertimana doa yang Rasulullah ajarkan kepada kita,

“Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku untuk selalu taat kepada-Mu.”

p.s: Laitatul Qadr semakin mendekati. Bukankah ini peluang yang sangat kita nanti-nanti? Ayuh sucikan diri. Karena Allah menyukai orang-orang yang membersihkan diri.

Leave a Reply