Kerana Manisnya Ukhuwah

0
245
views

kerana manisnya ukhuwah

Iman telah menyatukan kita di bawah satu akidah yang sama. Satu ikatan yang menyatukan seluruh umat Islam walau berbeza warna kulit, bahasa, bangsa mahupun negara. Penyatuan ini telah melahirkan rasa berkasih sayang, cinta, saling bertolak ansur, nasihat menasihati, saling mengingatkan dan saling bermaafan antara sesama saudara. Itulah ukhuwah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu (yang berselisih) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat.” (Al-Hujurat, 49: 10)

Ukhwah itu tidak akan wujud tanpa iman. Begitu juga, keimanan seseorang itu tidak akan sempurna tanpa ukhuwah. Sepertimana tiada persahabatan tanpa takwa dan tiada ketakwaan tanpa persahabatan.

Dari Anas R.A dari Rasulullah S.A.W, sabdanya yang bermaksud:

“Tiga perkara sesiapa yang ada padanya, maka dia akan dapat merasai kemanisan iman; Allah dan Rasul-Nya lebih dicintai olehnya daripada yang selain keduanya. Bila dia mencintai seseorang, tidak ada sebab kecintaan itu melainkan kerana Allah. Dan dia membenci untuk kembali kepada kekafiran setelah diselamatkan oleh Allah dari kekafiran itu, sebagaimana bencinya kalau dilemparkan ke dalam api neraka.”

[Muttafaq ‘Alaih]

Kita mampu merasai kemanisan iman sekiranya kita menyayangi dan mengasihi sahabat kita kerana Allah. Alangkah bahagianya mereka ini. Tidak inginkah kita mengecapi kemanisan iman itu? Sudah tentulah mahu, bukan? Jadi marilah kita berbagi rasa cinta dan saling menyayangi hanya kerana Allah.

Ukhuwah ini memang pelik. Ia mampu menyatukan mereka yang datangnya daripada pelbagai latar belakang keluarga ke dalam satu pertautan hati untuk tujuan yang sama. Masing-masing saling menghargai persamaan yang dimiliki dan saling meraikan perbezaan yang ada.

Sungguh, mereka yang bercinta hanya kerana Dia lain gayanya. Yang selalu membuatkan diri ini jatuh cinta dengan ukhuwah ini. Betapa ukhuwah fillah itu sangat manis.

Kerana manisnya ukhuwah, kita semua bersaudara di atas nama akidah. Kerana manisnya ukhuwah, marilah kita sama-sama membina rasa cinta sesama saudara. Ukhuwah kita ini tidak mengenal perbezaan warna kulit, bahasa dan bangsa. Selagi kita berpegang kepada ajaran Allah Yang Satu, selagi itulah kita ini bersaudara. Selagi itulah kita ini boleh bercinta dan mencintai. Dengan syarat, cinta kita itu hanya kerana Dia.

 

Jadikan untaian doa ekspresi rindu

Jadikan ungkapan rabitah pengikatnya

Agar ukhuwah kita makin manis dan menggebu

Semoga ukhuwah kita ini sampai ke syurga

 

Wan Nadzipah Maharah

Penulis Buku Kerana Manisnya Ukhuwah di http://bit.ly/manisukhuwah

Penulis blog peribadi di http://aim4daendlessliving.blogspot.com/

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply