Kerana Selimut Kebatilan Itu Melenakan

0
113
views

kebatilan

Bilakah hari kiamat? Jawapannya, entah. Tak ada siapa yang tahu, selain dari Penguasa hari kiamat itu sendiri.

Tapi, tahukah kita, dalam tempoh masa sebelum datangnya goncangan maha dasyat yang melenyapkan segala sesuatu itu, secara terus-terusan jalan-jalan lurus menuju Allah akan digangu-gugat oleh lubang-lubang najis kebatilan. Dan kita..kita yang merangkak, berjalan atau berlari di atas jalan itu ni, bila-bila masa saja boleh jatuh terjunam, terhumban, tersembam atau apa sajalah aksi yang seumpama dengannya, ke dalam lubang kebatilan itu.

Itu dia. Syaitan memang betul-betul buat kerja dia, kan? Ya. Dan mereka SANGAT berdisiplin dan komited dengan kerja mereka ni. Mereka tak main-main, mereka tak sambil lewa.

Habis mana perginya manusia-manusia yang komited dan disiplin pula menegakkan jalan hak? Mana perginya jiwa-jiwa yang sungguh-sungguh tak mahu terjunam ke dalam lubuk kebatilan, dan terhumban ke neraka, mana perginya?

Lena. Mereka ini lena. Terus terlena kerana, penggera yang membangunkan mereka dari tidur panjang itu, mereka jauhi. Sebaliknya, mereka semakin kemas menyelimutkan diri mereka dengan kehangatan dan keindahan palsu noda kemaksiatan dan kebatilan.

Mimpi indah mereka semakin rancak. Asyik sekali. Padahal mereka sebenarnya sedang seronok diketawakan disebalik tepukan girang sang syaitanirrajim yang meneruskan tipudaya. “Nah, lihatlah anak-anak keturunan Adam tu, yang asalnya diciptakan sebagai khalifah tu, mereka dengan jayanya kena tipu dengan kita.” Barangkali, ini lah dialog sang iblis. Cis sungguh.

Kenapa tidak..cuba sajalah cerita, hari ini, sedikit atau tidak bilangan orang yang memandang kolot penuh sinis pada benda-benda yang berunsur agama? Alim sikit, mesti kena perli.

“Ala kau tak payah nak jadi ustaz sangat la kan..” dialog biasa.

Pergi surau masjid sikit, kena ketawa. Solat, puasa, sedekah, pergi usrah, hai..pun kena kata macam-macam. Padahal tuntutan ibadah tu. Tapi, yang cara barat sana tu, yang terang-terang dilarang dalam Quran, ditegah oleh Rasul, hah yang itu pula dipandang hebat. Itulah yang Cool. Itulah yang Style. Semua mahu jadi begitu, semua mahu ikut begitu. Tak cukup buat sendiri, eh diajaknya pula kawan-kawan. Ah, semakin tersengih lebarlah syaitan, dia boleh duduk goyang kaki!

TENAT. Rata-rata fikiran kita umat islam ini sudah tenat diracuni, sehinggakan yang batil itulah yang kita pandang indah. Ulang suara, YANG BATIL ITULAH YANG KITA PANDANG INDAH.

Sedar ke tidak ni? Eh, kenalah sedar! Ini bukan perkara main-main!

Kerana sekarang, sudah tercapailah apa yang diimpikan oleh penjajah kafir, yaitu untuk hasilkan generasi-generasi yang berstatus munafik, yang mana  islam nya mereka hanya pada nama, tapi akhlak dan cara hidup mereka tak mencerminkan islam, bahkan hati mereka mengingkari Allah.

Hilangnya minat untuk mendalami ilmu agama. Hilangnya kepedulian pada permasalahan ummat. Hilangnya rasa bimbang akan kesudahan di hari kiamat, malah, terasa mati itu jauh.

            “sesungguhnya mereka memandang siksaan itu jauh (mustahil). Sedangkan kami memandangnya dekat.” Al maarij 70: 5-6

Bangunlah. Bangunlah dari mimpi. Bimbang ‘terlajak tidur sampai ke senja’, parah nanti.

Jadi, mana penggeranya? Apa penggeranya?

Apalagi kalau bukan tarbiyyah. Yaitu didikan mengenal Tuhan, didikan menghayati dan menghidupi satu-satuya cara hidup (agama) yang diiktiraf oleh Allah ini, didikan mencari jalan menjejak pintu syurga dan menyelamatkan manusia dari dipanggang hidup-hidup dalam api jahannam. *gulp. Juga, didikan yang membawa manusia itu kembali dekat dengan kitab suci alquran – kitab yang Allah turunkan untuk menerangkan segala yang gelap, supaya kita selamat.

“Dialah yang menurunkan kepada hambaNya keterangan-keterangan Al-Quran yang terang nyata, kerana Dia hendak mengeluarkan kamu dari gelap-gelita kepada cahaya yang terang-benderang. Dan (ingatlah) sesungguhnya Allah Maha Belas, lagi Maha Mengasihani, terhadap kamu.” Al hadid 57:9

Bila mana manusia-manusia lain berbondong-bondong hanyut ke dalam arus kebatilan, kenapa tidak kita pilih untuk menentang arus, menjadi yang lain dari yang lain, melawan kebiasaan dan seterusnya menjadi yang luar biasa? Ya, luar biasa. Apa gelaran yang ‘famous’ tu, ahha, SUPER SAIYA. Ya, kenapa tidak? Sedangkan kita mampu. Dan semua ini tidak akan dapat kita capai, melainkan dengan melalui lorong-lorong tarbiyyah.

Tidak ada jalan lain. Untuk mengubah keadaan sekeliling, kita perlu mengubah diri kita. Dan untuk mengubah diri kita, kita perlukan tarbiyyah. Ibaratnya, hendak mengubah haluan gerabak-gerabak kereta api itu adalah sememangnya mustahil selagi kepala kereta api tu sendiri tak ubah haluannya dulu.

“allah takkan mengubah nasib sesebuah kaum melainkan kaum itu sendiri mengubah apa yang ada di dalam diri mereka” Ar raad: 11

Mengubah Diri

Selagi ruhi-ruhi tidak disuap dengan makanan nya yaitu tarbiyyah, selagi itulah jasad-jasad gagah, muda, perkasa, atau apa-apa sajalah sifat yang bersaudara dengan nya ini seolah tidak bermanfaat apa-apa pun kepada sesiapa pun. Sebabnya, “jika buruk daging itu (hati) maka buruk lah seluruh tubuh itu.” Kata Nabi saw. (hadith Bukhari & Muslim)

Dan, jika ruhi-ruhi ini tidak disuap makanannya dengan berterusan, main ponteng-ponteng, main skip-skip, main lari-lari, maka menjadi pulalah seorang individu muslim itu sentiasa terdedah kepada bahaya futur dan turunnya kadar iman. Iyalah, pokok, kalau tak disiram dan dibaja dengan konsisten, jawab nya penuh cacat la tumbesaran dia. Hidup penuh segan silu, mati pula tak mahu-mahu. Nak dipetik buat ulam tak dapat, nak hias di tebing tingkap malu pada jiran. Aduh. Jadi, apalah gunanya lagi?

Mari, kejar tarbiyyah, kejar sungguh-sungguh. Kerana tarbiyyah itu, mampu mencelupkan kita ke dalam sibghah Allah! Mampu menulenkan keislaman dan keimanan kita, kemudian membawa kita ke dalam kesejahteraan. Dan yang paling penting, dengan melalui lorong-lorong tarbiyyah, kita mampu mencantas segala tipu daya dan agenda keji syaitanirrajim yang bercita-cita hendak mengangkut kita beramai-ramai menjadi kawan dia di dalam julangan api neraka nanti.

“masuklah ke dalam islam (kesejahteraan) dengan sepenuhnya, dan janganlah kamu mengikut jejak langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.” Al baqarah 2: 208

Islam tidak akan dimuliakan di muka bumi, selagi setiap satu dari umat nya tidak memuliakan islam itu di dalam diri mereka sendiri. Selimut kejahiliyyahan pula tidak akan dibuang, selagi penggera tarbiyyah tidak dibunyikan.

Jadi, mahu tunggu apa lagi? Pilihan di tangan kita.

Biar hingga nanti bila ditanya, mana perginya manusia-manusia yang komited dan disiplin menegakkan jalan hak? Mana perginya jiwa-jiwa yang sungguh-sungguh tak mahu terjunam ke dalam lubuk kebatilan, dan terhumban ke neraka, mana perginya?

“DI SINI.” Kita menunjuk dada.

Eushahida Raffar
http://eushahidaraffar.com/

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply