Kesan Maksiat Peribadi Terhadap Dakwah Dan Jemaah – Fakhrur Radzi

0
185
views

Kesan-Maksiat-Peribadi-terhadap-Dakwah-dan-Jemaah

Melihat sebahagian tentera Muslimin yang sedang mengutip ghanimah tinggalan tentera Quraisy di kaki bukit, seorang pemanah melaung dari atas Bukit Uhud;

“Apa yang kamu semua lakukan? (dituju kepada kumpulan pemanah) telah sampai pertolongan Allah dan Rasulnya!”.

Beliau kemudian lari turun ke kaki Bukit Uhud meninggalkan posisi sebagai pemanah. Sebehagian besar mengikut. Peringatan sang ketua, Abdullah bin Jabir untuk tetap di posisi masing-masing seperti mana arahan Rasul sebermula perang tadi tidak diendahkan. Dari 50, hanya sepuluh orang termasuk Abdullah bin Jabir yang masih setia dan patuh pada arahan Baginda yang sangat jelas.

“Jangan turun dari bukit ini sehingga aku datang.”

Peluang keemasan itu tidak disiakan Khalid alWalid. Dengan pantas beliau menyusun tentera berkuda dan menakluk Bukit Uhud yang menjadi himayah (pelindung) kepada tentera Islam sebelumnya.

Hari itu, bertepatan seminggu selepas Hari Raya AidulFitri tahun ketiga Hijrah, sebuah pengajaran terpahit perlu dihadapi tentera Islam. ‘They learn the hard way.’ Sorakan di kaki bukit Uhud di awal peperangan tiba-tiba berubah teriakan duka. Implikasi akhirnya terlalu berat. Sekitar 70 sahabat Rasulullah yang gugur syahid. Termasuk Mus’ab bin Umair, Duta ke Madinah dan Hamzah bin Abdul Mutalib, pakcik baginda yang tercinta.

Semuanya kerana silauan ghanimah yang menerobos masuk ke dalam hati sebahagian kecil tentera Islam. Ternyata akibat kesilapan kecil dari sebahagian kecil tentera Islam, membawa kepada pengakhiran yang sangat sangat menyakitkan.

Perbuatan sebahagian tentera Islam itu, sampai ditegur Allah dalam surah Ali Imran pada ayat ke 152.

وَلَقَدۡ صَدَقَڪُمُ ٱللَّهُ وَعۡدَهُ ۥۤ إِذۡ تَحُسُّونَهُم بِإِذۡنِهِۦ‌ۖ حَتَّىٰٓ إِذَا فَشِلۡتُمۡ وَتَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى ٱلۡأَمۡرِ وَعَصَيۡتُم مِّنۢ بَعۡدِ مَآ أَرَٮٰكُم مَّا تُحِبُّونَ‌ۚ مِنڪُم مَّن يُرِيدُ ٱلدُّنۡيَا وَمِنڪُم مَّن يُرِيدُ ٱلۡأَخِرَةَ‌ۚ ثُمَّ صَرَفَڪُمۡ عَنۡہُمۡ لِيَبۡتَلِيَكُمۡ‌ۖ وَلَقَدۡ عَفَا عَنڪُمۡ‌ۗ وَٱللَّهُ ذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Dan demi sesungguhnya, Allah telah menepati janjiNya (memberikan pertolongan) kepada kamu ketika kamu (berjaya) membunuh mereka (beramai-ramai) dengan izinNya, sehingga ke masa kamu lemah (hilang semangat untuk meneruskan perjuangan) dan kamu berbalah dalam urusan (perang) itu serta kamu pula menderhaka (melanggar perintah Rasulullah) sesudah Allah perlihatkan kepada kamu akan apa yang kamu sukai (kemenangan dan harta rampasan perang). Di antara kamu ada yang menghendaki keuntungan dunia semata-mata dan di antara kamu ada yang menghendaki akhirat, kemudian Allah memalingkan kamu daripada menewaskan mereka untuk menguji (iman dan kesabaran) kamu dan sesungguhnya Allah telah memaafkan kamu, (semata-mata dengan limpah kurniaNya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melimpahkan kurniaNya kepada orang-orang yang beriman. (152)

Terlihat dua perkara yang perlu kita perhatikan dari teguran Allah tersebut. Pertama, Allah menggunakan perkataan وَعَصَيۡتُم (bermaksiat) ke atas perbuatan sebahagian pemanah terhadap arahan Rasulullah. Dr Abdul Karim Zaidan dalam bukunya ‘المستفاد من قصص القران للدعوة والدعاة‘, menjelaskan kemaksiatan adalah disebabkan melebihkan dunia dan perhiasannya berbanding matlamat akhirat.

Beliau menegaskan lagi, bagi sebuah jemaah dakwah, perlunya perhatian yang mendalam terhadap kepentingan-kepentingan lain yang menjadi matlamat sebahagian anggota jemaah. Mereka yang terlibat perlu dinasihati dan diperbaiki agar ia tidak merosakkan tujuan utama jemaah dakwah tersebut.

Kedua, jumlah pasukan pemanah yang ‘bermaksiat’ hanyalah 40 orang sahaja. Maksudnya, jumlah mereka jika dinisbahkan kepada seluruh tentera Islam yang ikut Perang Uhud adalah sekitar 5.7%. (Jumlah asal tentera yang keluar dari Madinah menuju Medan Uhud 1000, 300 pulang di pertengahan jalan setelah dihasut oleh Abdullah bin Salul, sang munafiq.)

Hakikat ini memberi kita suatu pengajaran penting. Betapa kemaksiatan yang dilakukan sebahagian kecil dari individu, mempunyai implikasi besar terhadap kehidupan manusia sekelilingnya termasuk jugalah dalam gerak dakwah. Dosa dan maksiat individu ternyata boleh menggugah keberlangsungan sesebuah jemaah dakwah.

Seharusnya pengajaran pahit yang dirasai tentera Uhud suatu ketika dahulu, menjadi pedoman buat kita hari ini. Bagi aktivis dakwah yang sudah menggabungkan diri dalam barisan dakwah, berhati-hatilah menjaga diri dari maksiat dan dosa. Kita harus sedar, kesan kepada maksiat dan dosa lisan, mata dan hati itu, bukan sahaja terkena pada diri kita sendiri, bahkan juga akan mempengaruhi barisan dakwah.

Dan perlu diingat, kemaksiatan bukan sahaja bermaksud melanggar sesuatu yang terlarang dalam syariat, bahkan lalai dalam ketaatan juga tergolong dalam bentuk kemaksiat. Saat kita bermalasan dalam tilawah dan qiamullail, tidak berdisiplin dengan zikir harian dan solat berjemaah, sedikit sebanyak akan melunturkan rasa ‘izzah kita dihadapan umat dan musuh Islam.

Penulis : Fakhrur Radzi

Artikel Yang Berkaitan :

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply