Kesan Puasa,Pada Badan Atau Pada Hati?

2
148
views

Kesan Puasa

Satu petang Ramadhan, di Mydin Subang USJ 1.
 
“Aih, seluar jeans saiz 26 dah muat? Bukan kau pakai 30 ke? Macam mana kau buat?”
 
“La kau ni, kan dah 3 minggu puasa. Sah la turun kilo. Hihi.”
 
“Eh gitu eh? Apesal aku tak turun pun? Maintain je. Kalau fluctuates pun, ada la sekilo dua. Tak ada la sampai seluar adik form 3 pun lulus aku nak sewa.”
 

*****

“Alright, malam ni jumpa dekat surau Casa. Masa terawih. Nak pakai seluar baru pun takpe, aku tahu kau masih teruja. Sampai 4 jeans kau pancing harini.”
 
“Eh! Sorry la, Aku tak pergi terawih la malam ni. Kita jumpa esok la ye? Kat kelas.”
 
“Eh, kenapa? Dah minggu last ni. Fasa lailatul qadar. Rugi tak datang. Lagipun, imam arab tu nak buat 20 rakaat malam ni.”
 
“Hee. Aku memang every year macam ni. Bila hujung-hujung bulan puasa ni aku dah tak join terawih dekat masjid, banyak kerjalah kat rumah nak prepare raya. Raya kan setahun sekali. Hehe.”
 
“Every year? Ish kau ni, langsung tak ikut prasarana puasa yang betul. Bukan ke sepatutnya, puasa tu beri impak pada hati, iman dan amalan? Bertambah ketaqwaan gittu haa. Bukan setakat impak fizikal je yang turun berkilo-kilo tu..”
“Erk…”
*****

KISAH di atas bukanlah kisah benar yang dialami penulis. Hanya rekaan dan imaginasi semata-mata. Namun, barangkali ia terjadi di kalangan kita, cuma mungkinlah tidak spesifik di Mydin Subang dan melibatkan seluar jeans saiz 26.

Sepertimana bunga akan mekar di kala musim bunga, seharusnya begitulah taqwa akan mekar di kala Ramadhan. Dengan syarat, puasanya mengikut prasarana.

Jadi apakah prasarana puasa itu?

Adakah setakat bangun sahur sebelum subuh dan tidak makan di siang hari selama 30 hari..Itu sahaja?

Kalaulah itu sahaja, patutlah Rasulullah saw berkata, ada orang yang berpuasa dan yang ia perolehi hanyalah lapar dan dahaga (ekstrak hadis).

Ruginya! Dapat lapar dan dapat dahaga sahaja…..

Jadi, tidak. Prasarana puasa yang sebenar ialah lebih dari itu. Puasa yang sebenar adalah menahan diri. Menahan diri dari mengikut nafsu. Di sudut perbuatan, percakapan, sehinggalah juga padasudut perasaan..semuanya perlu ditahan agar tidak berlebihan, apatah lagi menyanggahi syariat.

Sewaktu Ramadhan, seharusnya diri berusaha lebih keras untuk menghakis perkara lagha yang biasa dilakukan sebelumnya. Inilah masa untuk mengikis sebersih-bersihnya rasa malas, rasa suka marah, habit kuat tidur, kuat shopping atau kuat makan. Tidak perlu bercerita tentang maksiat. Seharusnya, usaha membuangnya jauh-jauh perlu lebih giat dilakukan ketika bulan puasa ini.

Begitu juga amalan-amalan sunat yang liat dijalankan sebelumnya, di bulan Ramadhan kali ini seeloknya sungguh-sungguh dihidupkan dalam rutin harian penuh semangat . Biar sebati dalam diri, agar melekat sampai lepas Ramadhan nanti. Amalan wajib pula dipercantikkan sebaiknya, agar lebih berseri-seri dan indah catatan amalan itu. Mudah-mudahan, mekar menguntumlah rasa taqwa dalam diri. Barulah ia dipanggil ‘impak’ dalam hati.

Sesuai benar dengan firman Allah S.W.T dalam surah al-Baqarah, ayat ke-183 (maksudnya):

Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.

Dari ayat ini dapat kita insafi bahawa seharusnya puasa itu menambah kualiti ketaqwaan kita, kerana, itulah tujuan ia disyariatkan ke atas kita sebagaimana orang-orang sebelum kita. Maka jika tidak tercapai target yang itu, kira tidak menjadilah puasa kita ini. Dapat lapar dan dahaga sahaja lah!

Ramadhan itu satu hadiah buat mukmin. Di dalamnya sarat dengan kerahmatan. Bagaikan mencurah-curah ke ladang gandum!

Di dalamnya juga ada melimpah-limpah keampunan. Seluas langit dan bumi, keampunan, kemaafan, peluang untuk dihapuskan segala dosa dan noda.

Dan di hujungnya? JUALAN ISTIMEWA HARI RAYA. Maka beratur panjanglah kita di kaunter pasar raya, berpusu-pusulah kita ke Mydin dan semakin sepilah barisan makmum terawih. Kasihan imam Arab itu. Erk..

Beginikah kita orang mukmin?

Mestilah tidak! Seharusnya, ketika di hujung Ramadhan kita perlu lebih galak berusaha untuk mengejar malam lailatul qadr. Bukankah bertemu malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu adalah matlamat kita? Bukannya raya itu yang menjadi fokusnya. Jika itu sahajalah tujuan kita, alangkah ruginya! Ini tidak. Kita ini, baru hari ke lima berpuasa, sudah di sana sini persediaan menyambut raya. Barangkali kalau Ramadhan itu makhluk yang ada jiwa, tentu ia tersinggung.

Bulan Ramadhan yang penuh keberkahan itu seharusnya menjadi titik tolak kepada perubahan diri kita. Ia seharusnya menjadi motivasi buat kita untuk menambah amalan-amalan kita, dan seterusnya istiqamah sehingga menuju bulan seterusnya. Begitulah seharusnya Ramadhan seorang mukmin!

Siapa yang beroleh banyak Ramadhan dalam hayatnya adalah sangat beruntung! Dalam sebuah hadis ada dikisahkan tentang dua sahabat. Seorang meninggal syahid di medan perang, seorang lagi meninggal bukan syahid di medan perang dan pada satu tahun berikutnya. Di hari akhirat, kelihatan yang meninggal bukan kerana syahid itu telah mendahului masuk ke syurga berbanding yang syahid tadi.

Apabila ditanya kepada Rasulullah saw mengapa demikian, baginda menjawab, itu adalah kerana si fulan (yang meninggal bukan kerana syahid di medan perang itu) telah melalui satu Ramadhan lebih dari si syahid, dan (amalnya di bulan Ramadhan itu) membezakannya bagai langit dengan bumi dengan sahabatnya yang telah syahid!

Bayangkan betapa dasyat impak Ramadhan jika dimanfaatkan sepenuhnya? Kerana itulah, bulan Ramadhan ini benar-benar adalah hadiah dari Allah.

Wallahua’lam.

eushahida

Eushahida Raffar.
24 Tahun.
Jurusan Sains Sosial, University of Tasmania.
Berasal dari Kuantan, Pahang.
IKRAM Australia.
Blog Penulis : eushahidaraffar.com

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

2 COMMENTS

Leave a Reply to Qema Cancel reply