Ketaatan Yang Ikhlas

0
4
views

ketaatan
Ketaatan. Mendengar kata. Menurut perintah.
Satu nilai yang amat susah untuk kita berikan kepada yang lain dan teramat senang untuk kita berikan kepada diri kita sendiri. Kerana itulah, nafsu adalah musuh terbesar dalam diri seorang manusia.

Manusia yang taat yang melampau kepada perintah nafsunya akan meletakkan dirinya dalam keadaan yang huru-hara.

Lihat apa yang terjadi pada seorang manusia yang terlampau taat pada hartanya.
Lihat apa yang terjadi pada seorang pemerintah yang taat pada nafsu kejamnya.
Perhatikan apa yang terjadi pula pada penjenayah yang taat pada nafsu jenayahnya.

Dunia kini sudah menjadi huru-hara dek kerana telah memberikan ketaatan pada hal yang salah dan tidak memberikan ketaatan kepada hak yang sepatutnya. Dunia ini semakin kaya dengan putar belit dan mainannya kerana lautan manusia memilih untuk taat kepadanya. Dan akhirnya, seorang manusia itu punah kerana ketaatannya !

Mari kita renung kembali apa erti ketaatan yang sebenarnya.
Taat yang berasal dari perkataan tha’at bererti tunduk dan patuh. Malah, nilai taat ini juga akan dilihat dari bagaimana seseorang itu menyiapkan perintah yang diperintahkan kepadanya. Secara logik akal, nilai taat ini hanyalah untuk orang-orang yang berakal.

Kata tha’at juga punya kaitan rapat dengan perkataan tathawu’ dan tathawwu’ yang bermaksud berusaha keras. Selain itu, kata tha’at juga mempunyai kaitan dengan perkataan istatha’a yang bererti mampu untuk mengerjakan sesuatu.

Kesimpulan yang awal, nilai ketaatan ini bukanlah sama seperti nilai-nilai yang lain. Nilai taat ini sudah cukup gah untuk berdiri dengan sendirinya ! Bagi seorang Muslim dan mukmin, nilai ketaatan kita kepada Allah akan dihisab melalui dua cabang yang utama iaitu : mentaati SEGALA perintah-Nya dan menjauhi SEGALA larangan-Nya.

Ketaatan seorang mukmin yang sebenar adalah tunduk dan patuh, tanpa rasa terpaksa akan SEGALA perintah dan menjauhi SEGALA larangan Allah S.W.T dalam keadaan dia mampu untuk berbuat demikian serta akan berusaha keras untuknya.

Kata taat banyak kali disebutkan di dalam Al-Quran dengan menggunakan pelbagai jenis lafaz. Antaranya :

” Taatlah kepada Allah”
” Taatlah kepada Allah dan Rasul”
” Dengarkanlah dan taatlah”
” Patuhlah kepada Rasul”

Kita ambil satu contoh :

Katakanlah, “Taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya. Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir.” (3:32)

Atau dalam ayat yang lain :

Peliharalah dirimu dari api neraka yang disediakan bagi orang-orang kafir. Taatlah kepada Allah dan Rasul, agar kamu diberi rahmat. Bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.(3:131-133)

Inilah nilai ketaatan yang sebenar. Menyahut sepenuhnya ketika dipanggil. Menunduk sepenuhnya ketika mendapat arahan.

Tanpa bantahan.
Tanpa keluhan.
Tanpa banyak alasan.
Ketaatan adalah satu nilai penting dalam sebuah kehidupan.

Meskipun ketaatan adalah satu pilihan yang diberikan kepada manusia, sama ada seorang manusia itu ingin taat atau tidak, ingin taat sepenuhnya atau tidak, manusia akan tetap terikat dengan satu ketaatan !

Ibarat layang-layang yang terikat pada talinya, seperti itu jugalah satu ketaatan. Ketaatan itu yang akan menjaga dan memandu kehidupan ke arah jalan yang dipilih. Tanpa tali ketaatan ini, seorang manusia itu akan terbang ke merata-rata tempat sehinggalah tersangkut di mana-mana dahan pokok dan apabila ditiup angin, akan terbang kembali.

Hidup tanpa ketaatan tiada arah yang tetap. Arah hidupnya mudah sekali berubah kerana sifat ketaatan adalah seperti prinsip. Hidup seorang manusia yang tidak mempunyai prinsip ibarat layang-layang yang terputus talinya.

Arakiannya, terdapat banyak jenis ketaatan di atas muka bumi ini. Secara amnya, hanya terbahagi kepada dua iaitu taat kepada Allah dan Rasul-Nya serta taat kepada manusia. Taat kepada manusia terbahagi kepada lebih banyak cabang. Contohnya taat kepada kedua ibu bapa, taat kepada guru, taat kepada suami, taat kepada majikan dan taat kepada pemerintah.

Terlalu penat bukan hidup ini hanyalah bersimpang-siurkan sebuah ketaatan. Ketaatan pada yang haq akan beroleh rahmat dan ampunan manakala ketaatan yang batil pula sebaliknya.

Ketaatan adalah satu bentuk tanggungjawab yang mana akan sentiasa kita diuji dengannya. Kerana ketaatanlah syaitan dan iblis dikeluarkan dari syurga dan mereka telahpun berjanji untuk merosakkan seluruh keturunan ummat manusia dengan cara meruntuhkan nilai ketaatan dalam diri seorang muslim.

Tiada satu pun ketaatan yang disukai oleh syaitan dan iblis. Golongan ini amat memusuhi orang-orang yang taat kepada yang haq. Betapa mahal nilai sebuah ketaatan bukan !

Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W : Siapa sahaja yang tunduk dan patuh kepadaku, bererti tunduk dan patuh kepada Allah. Dan siapa sahaja yang maksiat kepadaku bererti maksiat kepada Allah.

PENATKAH SEBUAH KETAATAN ?

Taatlah selagi mampu kerana kewajipan taat itu sebatas pada kemampuan berdasarkan kaedah umum di dalam surah Al-Baqarah ayat 286: ” Allah S.W.T tidak akan membebani manusia melainkan sesuai dengan kemampuannya.”

Dalam sebuah hadis, Ibnu Umar R.A berkata, ” Kami melakukan baiat kepada Rasulullah S.A.W. untuk senantiasa mendengar dan mematuhinya, kemudian beliau bersabda kepada kami, ‘ Sesuai dengan kemampuanmu.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Kita yang memilih sama ada untuk bersenang-lenang atau berpenat-penat dengan sebuah ketaatan. Kita sedia tahu bahawa taat adalah indikasi kedua selepas iman bagi amal soleh dan diterimanya amalan seseorang.

Seorang manusia boleh sahaja merosakkan nilai ketaatan itu dengan maksiat dan ketidakikhlasan dalam beramal. Maksiat dan ketidakikhlasan hanyalah akan memberi impak yang negatif, maka untuk meneutralkannya kembali kepada impak yang positif, seorang manusia wajib menukar cara hidupnya.

Menjadi seorang manusia yang taat !
Ketaaatan akan menjaga hati dan akal pemikirannya, malah seluruh anggota tubuh badannya.

Ketaatan akan membersihkan hatinya daripada hilang yakin terhadap Allah, serta membersihkan pemikirannya daripada memikirkan hal-hal yang remeh serta tidak perlu. Ketaatan akan memperbaharui nilai amal ibadat seorang hamba.

Di kala ketaatan akan mempositifkan segenap sisi dalam kehidupan kita, maka akan adakah lagi elemen negatif seperti penat dalam memberikannya ?

Sebagai manusia memang kita akan penat kerana kita makhluk hidup yang menggunakan tenaga. Ketaatan itu sendiri tidak penat, yang penat itu hanyalah anggota badan. Jangan biarkan ketaatan diri anda berehat juga seperti anggota tubuh badan anda.

Jangan sesekali membiarkan ketaatan diri anda lemah dan lesu.

SEPENUHNYA ATAU SEPARUH SAHAJA ?

Sungguh mulia bukan orang-orang yang mampu menyahut panggilan Allah untuk taat kepada-Nya.

Kepunyaan Allah-lah apa yang terdapat di langit dan bumi dan kepada-Nyalah dikembalikan semua urusan. Maka beribadah dan bertawakallah kepada-Nya. Tuhanmu sekali-kali tidak akan lalai dari apa yang kamu kerjakan. (Hud:123)

Maka, orang yang benar-benar menghargai ketaatan akan sepenuhnya taat. Dia akan membina dirinya dengan nilai ketaatan yang baik. Dia akan berusaha meletakkan dirinya sebagai seorang hamba yang taat sepenuh masa.

Penuh atau separuh bergantung kepada keadaan iman seseorang. Meletakkan ketaatan hanya pada sesetengah perkara adalah salah bila Allah meminta untuk kita taat sepenuhnya kepada Dia. Apatah lagi meletakkan ketaatan pada perkara-perkara yang dilarang oleh Allah!

Mari kita hayati semula firman Allah yang berbunyi :

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (51:56)

Ayat di atas menunjukkan satu pengabdian hamba yang taat. Yang Maha Menciptakan layak untuk meminta begitu kepada yang diciptakan.

Mari kita renungkan kembali, apakah layak kita mengabdikan hanya separuh dari hati, sebahagian dari anggota tubuh badan kita kepada-Nya ?

Dalam ketaatan tidak ada pilihan.
Tiada pilihan untuk tidak mahu taat.
Tiada pilihan untuk taat hanya pada sesetengah perkara.

Kita terpilih untuk menjadi hamba yang taat. Dan kita taatlah sepenuhnya. Begitulah kehambaan kita.

KETAATAN PARA DUA’T

Taatnya kita pada jalan dakwah ini, malah pada setiap marhalah dakwah ini adalah semata untuk menegakkan risalah Islam. Inilah rukun baiah kita dengan dakwah.

Taatnya kita juga mempengaruhi amal dakwi yang kita kerjakan. Mana mungkin lahirnya ustaziyatul alam tanpa para dua’t yang sentiasa taat.

Taat bukanlah satu perkara yang patut kita remeh-temehkan. Demi bertahan dengan lama dalam jalan yang terlampau panjang ini memerlukan ketaatan yang padu. Makna taat dalam manhaj dakwah

Yang saya maksudkan dengan taat adalah melaksanakan perintah sesegera mungkin, baik dalam keadaan sulit(‘usr) mahupun mudah (yusr), baik dalam keadaan semangat (mansyath) mahupun enggan(makrah).

Memberi ketaatan pada dakwah dan jemaah adalah satu mujahadah yang besar bagi kita. Bagi yang muda, banyak perkara yang kita hendak pertahankan, banyak idea yang kita cadangkan, melaju kesemua gerak kerja kita. Sampai pada satu tahap, di mana perkara yang kita pertahankan tidak boleh dipertahankan, idea kita semua ditolak, gerak kerja kita diperlahankan, kita mula memberontak.

Berkurang sudah paksi ketaatan. Tetapi inilah hakikat yang sedang berlaku pada kita.

Bagi yang tua, banyak perkara yang perlu mereka pelihara, banyak idea yang perlu pertimbangkan berdasarkan hikmah dan pengalaman mereka, gerak kerja mereka juga melaju seperti kita sebenarnya meskipun kita merasakan lambat.

Mungkin kita masih kurang faham akan nilai ketaatan. Atau sengaja meremehkan nilai ketaatan. Kita masih meletakkan ego, kehendak,sifat, kerenah, kepentingan diri kita sendiri di tempat yang tinggi. Tambahan lagi, masih ada perkara yang kita fikirkan tidak logik untuk kita taat.

Sukar untuk kita menjadi jundi yang taat tetapi ketaatan itulah antara sumber pahala kita yang tidak seberapa. Terimalah seadanya ketaatan kecil ini sebagai satu latihan sebelum kita terserempak dengan ketaatan yang lebih besar.

Andai kata kita tidak mampu pada satu hari nanti untuk memenuhi ketaatan dalam jalan dakwah ini, kita beristighfarlah. Andai kita terlalu penat satu hari nanti, kita berehatlah seketika menikmati gambaran indahnya syurga. Andai kita tidak mampu lagi pada satu hari nanti untuk taat, kita kenanglah betapa gembiranya mereka yang telah syahid dalam ketaatan.

ketaatan 2

Dakwah pada marhalah ini adalah jihad dengan penuh kesungguhan, amal yang berkesinambungan untuk mencapai tujuan serta ujian dan cubaan yang hanya dapat ditanggung oleh orang yang jujur. Yang menjamin kejayaan pada marhalah ini adalah ketaatan total. ( kata Imam Hassan Al Banna mengenai taat dalam marhalah tanfidz)

My Little Pencil

http://mylittlepencil.wordpress.com/

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply