Ketika Ombak Datang Memalu

0
4
views

Ketika Ombak Datang Memalu

Perasaan rindu mula terbit di hati. Tak sabar Farhan untuk bertemu dengan keluarganya setelah berada di perantauan selama 3 tahun. Dia boleh membayangkan situasi di KLIA di mana ahli keluarganya (terutama orang tuanya) menunggu dia dengan sabar sambil memegang sepanduk yang tertulis namanya. Tersenyum sinis apabila dia membayangkan situasi tersebut. “Agak ekstrem,” bisik hati kecilnya.

Di sebelahnya adalah seorang sahabat yang sering mendampinginya ketika berada di Beijing. Azim namanya. Pada Farhan, Azim ialah seorang sahabat yang setia dan ramah.

Tidak pernah dia mendapat sahabat seperti itu yang sering memberi peringatan kepadanya ketika dia tersalah memilih ‘jalan’.

Azim bukan calang-calang orangnya. Waktu mereka bertemu buat pertama kali di KLIA 3 tahun yang lalu, Azimlah orang yang paling cepat bermesra-mesraan dengan ibu bapa

Farhan. Akhlaknya terpuji, sering tersenyum dan lembut budi bahasanya. Kadangkala membuatkan Farhan berasa segan dengannya. Maklumlah, Farhan adalah seorang yang penyegan.

“Apa yang kau nak buat di Malaysia nanti?” tiba-tiba Azim menyapa.

“Entahlah. Aku tak fikir habis lagi,” Farhan membalas.

“Alahai, penat saja kita berusrah di Beijing selama 3 tahun. Kau masih tak dapat tetapkan matlamat hidup kau?” Azim berseloroh.

Farhan mencebikkan bibirnya. Azim memang terkenal dengan gurauannya. Tetapi Farhan tidak pernah terguris hatinya dengan gurauan Azim. “Tak adalah sampai macam itu

sekali! Aku plan nak bawa usrah sendiri. Macam kau tarik aku masuk usrah dulu,” kata Farhan sambil menggosok-gosok bahu Azim.

Azim tersenyum manis. Jelas ketenangan yang terpapar pada wajah Azim. “Farhan, aku harap apa yang aku sampaikan kepada kau selama ini akan memberi manfaat kepada hidup kau di dunia dan di akhirat. 3 tahun terasa amat singkat tetapi begitu cepat kau berubah,” katanya.

Terharu Farhan mendengar pernyataan Azim. Dia turut senyum dengan tenang. “Ini semua…” Farhan bersandar “… ketentuan Allah SWT. Dan Allah menghantar seorang naqib kepada aku untuk aku kembali ke pangkal jalan. Kau seorang naqib yang hebat. Usah pudarkan semangat dakwah kau. Jangan kau lupa kata-kata aku ni,” Farhan menasihati Azim.

Ahli-ahli usrah yang lain telah pulang ke Malaysia 2 minggu yang lalu. Farhan dan Azim terpaksa pulang lewat kerana Azim terpaksa mengulang peperiksaan akhir akibat tersekat di dalam kesesakan lalu lintas ketika ingin ke tempat peperiksaan. Farhan tidak sanggup untuk membiarkan sahabatnya keseorangan di negara asing jadi dia mengambil keputusan untuk menunggu Azim untuk menyelesaikan peperiksaannya.

Kerana ukhuwah, mereka tidak sanggup membiarkan salah seorang daripada mereka untuk berada dalam kesusahan. Itulah persahabatan yang sebenar mengikut ajaran Islam.

Mereka memahami bahawa setiap orang yang beriman adalah bersaudara.

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat” (Al-Hujuraat:10)

* * *

Akhirnya mereka telah sampai ke tanah air yang tercinta. Kelihatan wajah-wajah yang dirindui sedang menunggu mereka di tempat menunggu. Ayah, ibu, abang dan kakak Farhan melambai-lambai ke arah Farhan apabila dia sudah muncul di pintu gerbang. MasyaAllah!

Kegembiraan Farhan tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Syukur alhamdulillah.

Farhan meluru ke arah mereka dan mendakap ibu bapanya yang dikasihi. Mengalir air mata ibunya disertakan dengan kesyukuran. Bayangkan! Seorang ibu yang tidak bertemu dengan anaknya selama 3 tahun dan bertarung dengan kerinduan dan kepiluan. Begitu juga dengan ayah Farhan yang jelas kelihatan kerinduannya terhadap Farhan pada mukanya.

Dari jauh Farhan melihat Azim juga sedang memeluk ibu bapanya. Azim dulunya mempunyai seorang abang kembar. Tetapi Allah SWT lebih menyayanginya dan memanggil abang kembarnya sewaktu mereka berumur 17 tahun. Kini, Azim hanya mempunyai adikberadik usrah yang makin lama makin rapat hubungan ukhuwah di antara mereka. Kerana kematian abang kembarnya, Azim menjadi lebih matang dan lebih bertanggungjawab terhadap anak-anak usrahnya.

Azim mendekati Farhan dan mendakap erat sahabat baiknya itu. “Ingat, Allah menyayangi orang yang bertaqwa dan berjuang di jalanNya. Kau jangan lupakan Dia. Jangan biarkan Jahiliyah menarik kau kembali ke dalam dunianya,” bisik Azim ke telinga Farhan.

Farhan mengangguk. Dia kemudiannya menepuk belakang Azim dan melepaskan dakapannya.

Kedua-duanya tersenyum sinis, tidak mempercayai bahawa mereka akan terpisah setelah 3 tahun bersama.

* * *

“Farhan?” sapa lembut ibunya setelah tiba di rumah.

Farhan tertidur di dalam kereta kerana keletihan. Kelopak mata dibuka secara perlahanlahan.

Akhirnya, rumah kampung yang sederhana besar tetapi mempunyai landskap yang cantik telah berada di dalam darjah penglihatannya. “Kita dah sampai,” sambung kakaknya pula. Farhan keluar dari kereta dengan menggalas beg komputer ribanya.

Terdapat dua orang wanita yang sedang berbual di halaman rumah sebelah. Sepertinya membicarakan tentang masalah negara, ataupun sedang hangat bergosip tentang orang lain.

Apabila mereka terlihat Farhan keluar dari kereta, mereka mengangkat tangan. Lantas Farhan mengucapkan salam kepada mereka. Selepas menjawab salamnya, dua orang wanita itu kembali berbual tetapi kali ini berbisik-bisik.

Farhan cuba untuk memasang telinga dan mendengar perbualan mereka. “Tak tidur malamlah anak-anak kita nanti. Farhan dah balik. Diakan selalu pasang radio kuat-kuat?

Sampai aku pun tak boleh nak tidur,” kata salah seorang wanita itu. Seorang lagi mengangguk dan mengeyakan kawannya. “Iyalah! Kenapalah Allah meletakkan ujian seperti ini kepada kita? Kenapalah perlu berjiran dengan dia, ya?”

Hati Farhan berkecamuk apabila mendengar perbualan wanita-wanita tersebut. Ya, dia akui bahawa dahulunya dia seorang yang nakal dan selalu memasang radio dengan kuat.

Tetapi itu adalah sejarah lampaunya. InsyaAllah dia tidak akan mengulanginya lagi.

Sepatutnya seorang jiran memelihara nama dan maruah jirannya yang lain. Tetapi sekarang dia pula yang menjejaskan maruah orang lain. Harap pegar, pegar makan padi. Dia mengendahkan wanita-wanita tersebut dan masuk ke dalam rumah.

Matanya melihat suasana bilik tidur yang sudah lama tidak digunakan. Tersusun rapi dan bersih. Sudah tentu ibunya yang telah membersihkan bilik tidur tersebut semasa ketiadaannya. Memori lama disingkapi. Terbayang dirinya yang terdahulu berbaring di atas katil sambil membaca komik “Marvel”. Subhanallah. Begitu cepat masa berlalu. Begitu banyak masa yang dibazirkan dan dia berasa rugi kerana tidak menggunakan masa dengan baik sedangkan kematian sedang menunggu.

“Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orangorang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” (Al-‘Asr: 1- 3)

Farhan meletakkan begnya di kerusi lalu merebahkan tubuhnya ke atas katil sambil merenung ke arah siling. Kepenatan kian meruncing dan dia semakin mengantuk. Tetapi matanya agak sukar untuk terlelap memandangkan hatinya masih merindui sahabatsahabatnya yang lain. “Apa yang mereka lakukan? Mereka sihat ke? Macam mana dengan iman mereka?” Berbagai-bagai soalan yang tiba menakluki jiwa.

Dia menoleh ke kanan dan terlihat patung-patung anime kecil yang pernah menjadi koleksinya. Subhanallah, dia tidak menyangka bahawa patung-patung tersebut masih berada di situ. Terangkat kepalanya untuk mendapatkan pemandangan yang jelas. Rupa-rupanya koleksi komiknya juga masih tersusun rapi di rak buku. Dia menutupkan mata dan menghembuskan nafasnya yang berat.

Dia menanggalkan cermin mata lalu meletakkannya di atas meja lampu. Matanya ditutup dengan rapat, cuba untuk melupakan semua perkara yang dilihatnya sebentar tadi.

Akhirnya, dia dibawa ke dalam dunia mimpi. Tertidur juga akhirnya.

Keesokan harinya ibu Farhan, Maimunah, terdengar bunyi bising seakan-akan orang sedang mengemas rumah di bilik Farhan. Lalu dia mengambil keputusan untuk mengintai perlakuan anaknya. Kelihatan Farhan sedang memasukkan kesemua komik-komiknya ke dalam sebuah kotak kosong. Rak buku menjadi lengang dan hanya buku-buku rujukan SPM sahaja yang ditinggalkan.

“Farhan! Farhan buat apa tu?” sapa Maimunah.

“Oh, mak. Tak ada apa-apa. Farhan cuma nak kosongkan rak buku ini saja. Penuh sangat. Naik runsing Farhan tengok,” kata Farhan.

“Nak buang ke?”

“Yalah,” sambung Farhan sambil mengemas.

Maimunah menggeleng-gelengkan kepala sambil menghembuskan nafas. “Apalah Farhan ni. Dulu sanggup menghabiskan beratus-ratus ringgit untuk beli komik Marvel tu.Sekarang nak buang pula?” Maimunah masuk ke dalam bilik dan merehatkan punggung di atas katil Farhan. “Patung-patung anime tu pun bukannya murah. Gundam, Bleach, Naruto.

Semuanya mahal-mahal. Kenapa nak buang?” sambung Maimunah.

Farhan tersenyum melihat wajah ibunya yang kebingungan. “Tak apalah mak. Farhan dah tak nak semua benda ini. Bukannya bawa apa-apa faedah kepada Farhan pun. Lagi best kalau baca al-Qur’an, mak. Banyak sejarah-sejarah di dalam al-Qur’an yang lagi menarik ceritanya,” kata Farhan.

Maimunah terkejut mendengar pernyataan Farhan. “Eh, sejak bila Farhan jadi macam ustaz ni? Bukan ke Farhan belajar bahasa Mandarin di Beijing?” tanya Maimunah. Farhan terketawa apabila mendengar soalan ibunya. Farhan meletakkan timbunan terakhir ke dalam kotak lalu duduk di sebelah Maimunah.

“Mak, selagi kita berstatus Muslim, selagi itu kita kena berpegang teguh dengan al-Qur’an. Bukan para ustaz sahaja. Kalau begitu, para ustaz sajalah yang Islam. Kita bagaimana?Allah pun dah kata bahawa al-Qur’an diturunkan untuk menjadi rujukan kepada manusia,” kata Farhan.

“Hmm… Yalah. Mak setuju. Elok juga Farhan buang komik-komik tu. Mak pun dah tak tahan sebab asyik membuang habuk saja di rak buku,” balas Maimunah. “Tadi kawan Farhan ada call. Dia kata nak jumpa dengan Farhan sebelum malam Tahun Baru nanti”

“Oh ya? Siapa mak?” Farhan bertanya.

“Kawan sekolah Farhanlah. Si Izwan tu”Izwan, seorang rakan sekelas Farhan sewaktu di bangku sekolah menengah. Izwan adalah seorang yang rapat dengan Farhan. Dia jugalah yang sering mengajak Farhan untuk pergi ke Comic-Con dan Cosplay bersamanya. Masa muda mereka dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti yang menghiburkan. Ke mana sahaja Izwan pergi, ke situ jugalah Farhan berada.

Farhan mengenali keluarga Izwan yang kaya dan murah hati. Bapanya adalah seorang Dato’ dan memiliki sebuah syarikat sendirian berhad di Kuala Lumpur manakala ibunya adalah seorang pemilik salun rambut dan kedua-dua ibu bapanya sering berbisnes di luar negeri. Izwan adalah seorang anak bongsu. Kakak dan abangnya telah berkahwin dan berpindah keluar dari rumah.

Ketiadaan ahli keluarga untuk membimbing Izwan menyebabkan dia menjadi seorang yang tiada tempat bergantung dan bebas melakukan apa sahaja yang dia mahukan.

Alhamdulillah, dia tidak pernah melakukan apa-apa jenayah cuma dia asyik ke bandar untuk bersosial dengan rakan-rakan lelakinya yang lain.

Farhan tertanya-tanya sama ada Izwan telah berubah ataupun tidak. Jika tidak, dia mahu menyuntikkan kefahaman Islam ke dalam diri Izwan. Entah-entah, Izwan sudah menyertai usrah seperti Farhan ketika dia di Beijing. Kemungkinan Izwan telah berubah dan menjadi seorang Muslim yang baik.

* * *

Astaghfirullahal’azim. Perkara yang Farhan paling khuatiri sedang berada di hadapannya. Izwan telah tiba di rumahnya dengan berpakaian yang kurang memuaskan hati.

Seluarnya pendek sehingga menampakkan lutut dan di lehernya digantungkan dengan seutas rantai besi yang berbuahkan sekeping token helang. Pergelangan tangannya dihiasi dengan gelang yang berwarna-warni. Farhan beristighfar beberapa kali.

“Yo Beijing man! Ni hao ma?” katanya dengan bangga.

Untuk mengelakkan hatinya daripada tercalar, Farhan mengangkat tangan dan mengukirkan senyuman. “Assalamualaikum Izwan! I’m fine dude!” katanya dengan menyelitkan gaya percakapan orang Barat.

Ucapan salamnya tidak dijawab oleh Izwan. Dia mendekati Farhan lalu berjabat tangan serta berlaga bahu antara satu sama lain. Subhanallah, ini bukanlah gaya orang Islam yang sebenar. Tetapi demi merapatkan hubungannya dengan Izwan, Farhan terpaksa mengadaptasikan stail Izwan buat sementara waktu supaya dia berasa selesa dengan Farhan.

“Balik juga kau ke Malaysia. Ingatkan dah tak nak balik,” kata Izwan.

“Eh! Mestilah aku nak balik. Tak larat aku tinggal di negara orang lama-lama,” kata Farhan sambil ketawa.

“Siapa suruh kau pergi? Kesian kat aku. Aku rindukan kau tahap super saiya tahu tak?”

Farhan tersenyum. Walaupun Izwan seperti itu tetapi dia tetap merindui dan mengasihi Farhan seperti ahli keluarganya sendiri. Farhan terasa sebak kerana Izwan berperangai seperti itu. Tidak sanggup untuk dia melihat sahabat karibnya tenggelam ke dalam dunia Jahiliyah.

Sifat Jahiliyahnya haruslah dibanteras sebelum ianya menjadi lebih kronik.

“Macam mana kehidupan kau di Beijing? Seronok?” Izwan bertanya.

“Alhamdulillah seronok. Banyak benda yang aku belajar di sana. Dan aku memahami erti kehidupan yang sebenar,” Farhan menjawab.

“Oh okaylah tu. Aku pun…” sambil mengeluarkan sebatang rokok dari kotaknya “… dah bosan duduk di Malaysia. Makin lama makin mahal harga barang di sini. Minyak dan tol pun sudah naik harga. Kadang-kadang aku terpaksa fikir dua tiga kali untuk ke bandar,”

sambungnya lagi.

“Izwan merokok? Sejak bila dia pandai merokok?” bisik hati kecil Farhan. Asap berkepul-kepul menuju ke langit Ilahi. Astaghfirullah, mengapa manusia sanggup mencemari udara bersih yang dikurniakan oleh Allah SWT?

“Kau nak?” Izwan menawarkan sebatang rokok kepada Farhan. Farhan menggelenggelengkan kepalanya. “Dude, sejak kau tak ada, aku keseorangan. Rindu sangat pada kau. Alhamdulillah kau dah balik. Terubat juga rindu aku ni,” katanya. Farhan tersengih. Dia mengeluarkan asap dari mulutnya. Jijik pula Farhan melihat perbuatan itu. Dia hanya mampu melihat. “Aku plan nak bawa kau ke KL malam ni. Maklumlah, malam Tahun Barukan? Aku nak melepak di bandar dengan kau. Teringin pula aku nak tahu kehidupan kau di Beijing,” dia menyambung.

“Banyak benda yang akan aku ceritakan kepada kau. Tapi kau kena janji dengan aku yang kau akan fokus,” Farhan bersuara.

“Eh! Mestilah! Kau sahabat aku. Mestilah aku fokus mendengar cerita kau!” balas Izwan. “Kau tak nak rokok ni ke? Sedap! Cubalah satu!” dia menyambung.

“Udara lagi sedaplah,” sindir Farhan.

“Alah, sekali-sekala beb! Bukannya selalu. Tak apa, kau ambil satu…” Izwan berkata sambil memasukkan sebatang rokok ke dalam kocek pada kemeja Farhan “… nanti kau ceritakan tentang pengalaman kau mencuba sebatang rokok. Boleh?” kata Izwan.

Farhan mengambil kembali rokok ke dalam koceknya dan mengerutkan dahinya.

Subhanallah, Farhan terasa jijik memegang benda haram tersebut. “Okaylah Farhan. Aku nak ke luar kampung sekejap. Malam ini aku akan ambil kau di sini. Jumpa lagi!” kata Izwan sambil ke keretanya lalu memandu pergi dari situ.

Rokok tersebut masih berada di dalam genggaman Farhan. Dia memandang keji pada benda itu. Dia berasa tidak puas hati dengan kerosakan akhlak sahabatnya itu.

“Astaghfirullahal’azim, apa yang kau dah buat pada kawan aku, Syaitan!?” dia berbisik keras lalu melemparkan rokok tersebut ke dalam tong sampah yang berdekatan.

* * *

Sedang asyik Farhan membaca majalah dakwah sambil berbaring, tiba-tiba abangnya,Fahmi, meluru masuk ke dalam biliknya. “Farhan, kejap ya? Angah nak cari sesuatu,” katanya.

Farhan mengangguk dan sambung membaca.

Jarak umur Farhan dan Fahmi hanyalah setahun. Jadi mereka agak rapat dan akan melakukan sesuatu aktiviti bersama-sama. Tetapi sejak Fahmi melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia dalam bidang Perakaunan, mereka jarang berjumpa dan alhamdulillah dapat bertemu kembali dan dapat meluangkan masa bersama selepas Farhan pulang ke tanah air kerana Fahmi sedang bercuti.

Fahmi mencari dan membelek buku-buku di rak tetapi dia tidak menjumpai buku yang diingini. “Eh? Farhan. Mana komik-komik Farhan?” dia menyapa. Farhan menutup bukunya dan bangkit dari tempat baringannya. Fahmi kebingungan. “Farhan dah buang. Nampak semak jika dibiarkan,” kata Farhan. Fahmi terkesima. Bukannya dia perlukan komik tersebut tetapi dia terkejut dengan tindakan adiknya. “Eh? Ya ke? Kenapa Farhan buang? Bukan Farhan sayang sangat dekat komik-komik itu ke?” tanya Fahmi.

Farhan tersenyum dan memandang tepat ke arah Fahmi yang masih lagi kebingungan.

Soalan yang sama diajukan oleh kakaknya, Fazira, dan ibunya, Maimunah, pada hari itu.

Aneh sangatkah jika dia membuang perkara-perkara yang lagha di dalam biliknya?

“Angah pun baca komik juga ke?” Farhan bertanya.

“Adalah juga. Semasa Farhan tak ada di rumah, Angah ada juga baca komik-komik itu.

Tapi untuk mengisi masa lapang saja,” kata Fahmi.

Farhan terdiam apabila mendengar penjelasan dari Fahmi. Dia memikirkan bahawa dialah penyebab Jahiliyah di rumahnya tersebar kepada ahli keluarganya. Dari situ dia telah membuat satu konklusi bahawa Jahiliyah adalah kontra bagi Dakwah Islamiah. Cara penyebaran adalah sama cuma kesannya berbeza. Ianya bermula daripada satu dan akhirnya akan jadi seribu. Farhan harus memberikan mereka penawar sebelum ianya menular.

Farhan menghulurkan majalah yang dibacanya tadi. “Nah, Angah baca majalah ini sajalah”

“Ini majalah apa? Majalah “Jom!”? Dia cerita pasal apa?” banyak pula soalan yang diajukan.

“Seronok juga baca majalah ni. Satu-satunya majalah yang dapat memotivasikan penggerak-penggerak dakwah di sini. Kita rasa kita dah Islam, tetapi majalah ini menjelaskan tentang Islam yang sebenar. Barulah kita boleh pertikaikan sama ada kita sudah memahami Islam ataupun tidak,” jelas Farhan.

“Oh. Kiranya majalah Islamlah ya?”

Farhan mengangguk sambil tersenyum. Fahmi membelek-belek setiap helaian pada majalah tersebut. Sungguh tekun dia membaca walaupun sedang berdiri. “5 Kepentingan Syahadah. Bagus juga topiknya. Okay! Terima kasih Farhan. Nanti Angah pulangkan. Nak baca sekejap,” kata Fahmi dengan ceria.

Kesyukuran mula membelai jiwa Farhan. Tak sangka abangnya akan menerima ajakannya untuk membaca majalah yang lebih berfaedah daripada majalah yang hanya menceritakan aib orang lain dan memaparkan perkara-perkara yang lagha. Alhamdulillah.

* * *

Pada malam tersebut, Farhan bercadang untuk menceritakan pengalamannya berusrah di Beijing kepada Izwan. Dalam masa yang sama, dia cuba untuk menceritakan tentang sirah Nabi Muhammad SAW dan para sahabat dalam menegakkan syiar Islam di bumi Mekah pada satu ketika dahulu. Izwan adalah seorang sahabat yang paling setia terhadap Farhan. Jadi, Farhan berharap agar dia tidak akan melarikan diri daripadanya.

Terdengar bunyi kereta di luar rumah. Izwan telah pun sampai untuk membawanya ke Kuala Lumpur. Pada ketika itu ibu dan bapa Farhan tiada di rumah kerana terpaksa melawat sahabat mereka yang sakit di Segambut. Farhan bergegas ke luar rumah. Akan tetapi langkahnya terhenti apabila dia terlihat seorang perempuan di dalam kereta.

Perempuan itu bertudung tetapi memakai pakaian yang ketat dan berlengan separuh.

Perempuan tersebut sedang mengenakan bedak dan gincu pada wajahnya. Izwan keluar dari kereta untuk mendapatkan Farhan. Dia tersenyum gembira melihat kelibat Farhan di pintu rumahnya.

“Farhan!” dia mengangkat tangan. “Dah sedia untuk pergi?”

“Dah,” Farhan menjawab “Tapi siapa perempuan di dalam kereta kau tu?”

“Oh! Itu girlfriend aku, Arianna. Aku nak perkenalkan dia kepada kau,” kata Izwan dengan bangga.

Farhan menggelengkan kepalanya dan beristighar dengan suara yang rendah. Dia mengeluh dan keluhannya didengari oleh Izwan. “Kenapa Farhan? Kau ni sihat ke tidak?” dia bertanya. Farhan tersenyum dan menepuk bahu Izwan.

“Izwan, aku nak cakap sikit dengan kau boleh?” tanya Farhan bernada lembut.

“Cakap apa?” Izwan membalas.

“Izwan. Aku sebenarnya merindui kau seorang. Aku tak rindukan Arianna. Aku ingatkan malam ini hanya kau dan aku saja yang akan ke bandar. Teringat memori lama kita bersama. Pergi ke mall bersama-sama, pergi ke kedai bersama-sama, dan pergi ke sekolah bersama-sama. Hanya kita berdua dan tiada orang lain pada ketika itu. Aku rindukan suasana itu sebenarnya,” Farhan cuba memujuk Izwan untuk menghantar Arianna pulang.

“Tapi Farhan… Aku tak boleh tinggalkan dia. Aku sayangkan dia. Dia nak tengok bunga api dengan aku malam ini,” Izwan mencelah.

Farhan mengeluh sekali lagi dan kali ini dia meletakkan telapak tangannya di atas kepala Izwan. “Aku nak tanya, kau tahu apa maksud ‘zina’?” dia bertanya. Izwan kelihatan terkejut mendengar persoalan Farhan. Matanya terbeliak dan mulutnya separa terbuka. “Eh!

Astaghfirullah! Kami bukan berzinalah. Kami couple saja. Tak pernah masuk bilik berduaduaan lagi. Lagipun, sudah menjadi fitrah manusia untuk berpasangankan? Abraham Maslow dan pakar-pakar psikologi yang lain pun sudah mengesahkannya. Kalau tidak, macam mana manusia ingin memuaskan kehendak dia?” Izwan menempelak.

“Izwan, ‘zina’ bukan bermaksud mengadakan hubungan seks sahaja. Berdua-duaan juga adalah zina sebenarnya. Allah sudah berfirman dalam surah Al Isra’ ayat yang ke 32 yang bermaksud

“Dan janganlah kamu mendekati zina! Sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji. Dan suatu jalan yang buruk”.

Jika Allah sudah berkata begitu, kenapa kita perlu mendengar penjelasan ideologi orang Barat? Matlamat orang kafir Barat adalah melihat orang Islam termakan dengan kata-kata mereka dan kemudiannya membawa kita jauh dari Islam,” terang Farhan.

“Tapi Farhan. Aku sayangkan dia. Aku cintakan dia,” kata Izwan.

“Kalau kau cintakan dia, kau takkan rosakkan dia dengan perlakuan zina sebelum perkahwinan. Kau takkan jatuhkan maruah dia di hadapan orang lain dan terutamanya dengan nafsu kau. Aku tahu yang kau perlukan kasih sayang. Tapi, kasih sayang bukan sahaja boleh diperolehi dari seorang perempuan. Sahabat seperti aku pun boleh memberikan kasih sayang kepada kau. Betul tak?”

“Hmm… Aku pun rindukan kau sebenarnya. Tapi Arianna yang nak sangat tengok bunga api dengan aku. Dia pun tak kisah kalau kau join sekali. Tak apalah. Nanti aku cakap dengan dia”

“Kau cakap dengan dia elok-elok. Kalau dia tetap berdegil dan dia nak juga pergi ke KL,aku akan batalkan rancangan aku untuk ke sana. Maaflah, aku tak biasa pergi bersama perempuan,” kata Farhan.

Izwan masuk ke dalam kereta dan berbicara dengan Arianna. Pada mulanya Arianna kelihatan tenang. Tiba-tiba matanya terbeliak dan mulutnya sudah mula bersua. Dia menggelengkan kepala, menuding jari ke arah Izwan dan mencekak pinggangnya serta menjegil matanya ke arah Farhan sambil menunjuk-nunjuk.

Ternyata bahawa Izwan telah kalah dalam pendebatannya bersama Arianna. Walaupun kekecewaan melanda di hati, Farhan tetap memupukkan kesabaran dalam diri. Izwan menghampirinya dengan ekspresi wajah yang kurang menyenangkan. Sedih, pilu, patah seribu.

Itulah antara emosi Farhan yang dapat diungkapkan. “Maaflah Farhan. Dia nak pergi juga ke KL. Aku terpaksa bawa dia ke sana kalau tidak dia akan meninggalkan aku. Aku tak nak kehilangan dia,” Izwan berbicara. Sekali lagi emosi Farhan bermain-main di kepala. Dia mengeluh dan menundukkan kepalanya. Arianna kelihatan puas melihat Farhan seperti itu.

Menyampah pula Farhan melihat memek mukanya.

“Tak apalah Izwan, kau pergi saja dengan dia. Aku akan tinggal di sini sehingga mak ayah aku balik. Aku tengok kau dah banyak berubah. Aku sebenarnya sedih melihat kau jadi macam ini. Dulu kau lain, tapi sekarang kau dah berubah sangat. Aku rindukan kau. Rindu sangat,” Farhan bersua pilu.

“Farhan, maafkan aku. Aku perlukan dia dalam hidup aku. Kalau ada masa lapang, kita lepaklah bersama lagi ya? Aku pun rindukan kau. Aku sayangkan kau juga. Tapi buat masa sekarang, aku perlukan dia,” Izwan berkata.

“Kalau kau sayangkan aku, kau akan mengajak aku masuk ke syurga bersama kau.

Bukan dengan cara macam ini,” Farhan menempelak.

Izwan tersentak mendengar kata-kata Farhan. Mereka berdua terdiam sementara. Izwan menggaru-garu kepalanya. Akhirnya Farhan bersuara juga. “Tak apalah. Aku minta maaf jika selama ini akulah penyebab kau kesepian. Aku minta maaf jika aku bukanlah sahabat yang baik kepada kau. Pergilah kepada dia dan bawa dia ke KL. Aku akan tetap berada di sini menunggu saat untuk kau bersama dengan aku,” kata Farhan.

“Farhan…”

“Satu sahaja nasihat aku kepada kau. Dunia ini bersifat sementara. Begitu juga dengan perempuan yang ada di dalam kereta kau itu. Tak lama lagi dia pun akan pergi buat selama-lamanya.

Jika kau sayangkan dia, dia akan mati. Tapi jika kau sayangkan Allah, Dia tak akan mati. Assalamualaikum…” kata Farhan lalu masuk ke dalam rumah dan menutup pintu.

Situasi di luar menjadi gelap apabila pintu ditutup dan menghalang cahaya di ruang tamu untuk menyinari kegelapan di luar. Keadaan menjadi sepi, hanya deruman enjin kereta sahaja yang dapat didengari.

“…” Izwan tertunduk “Waalaikumussalam…”

* * *

Seminggu telah berlalu dan kelibat Izwan masih tidak kelihatan. Hiba di hati kian terasa dan telah menjajah emosinya. Tidak terputus doa Farhan supaya Allah menghantarkan taufiq dan hidayah kepada sahabatnya. Emosi Farhan kian meruncing dan dia perlukan Azim untuk meluahkan perasaannya. Sewaktu di Beijing, Azim adalah tempat untuk dia mengadu dan mencari nasihat supaya dapat berdiri teguh dalam dakwah dan tarbiyah.

Ada juga Farhan datang mengunjungi rumah Izwan. Malangnya setiap kali dia ke situ,tiada orang yang akan menyahut salamnya. Rumah Izwan seakan-akan rumah besar yang telah ditinggalkan. Teringat pula pada zaman persekolahan mereka. “Farhan! Kejap! Aku tengah pakai kasut!” Itulah suara Izwan yang pernah bergema setiap kali Farhan ke rumahnya untuk pergi ke sekolah bersama-sama dengannya. Kini, suasana sepi menghantui panorama rumah besar itu. Izwan juga telah jauh kehanyutan. Kenapa Jahiliyah begitu kejam?

Dia tahu bagaimana rasanya ketika berada di dalam dunia Jahiliyah. Dirinya terasa bahagia tetapi kebahagiaan itu tiada maknanya. Setelah dia mendapat tarbiyah dan mengetahui matlamat hidup yang sebenar di Beijing, kebahagiaan itu lebih membahagiakan daripada kebahagian ketika berada dalam keadaan jahil. Kerana pentarbiyahan juga, Farhan berasa jijik dan benci terhadap perbuatan maksiat yang sedang berleluasa di sekitarnya.

Jahiliyah tidak akan berhenti mencari jalan untuk menjatuhkan umat Islam. Sebahagian Muslim tahu bahawa perbuatan itu salah dan mengingkari syariat Islam tetapi mereka tetap melakukannya atas dasar ingin memuaskan kehendak dan nafsu sedangkan hidup bersyariat lebih menenangkan dan dapat melindungi kita daripada melakukan kesalahan. Selalunya, orang yang bergelumang dengan kemaksiatan tidak memikirkan tentang kehidupannya di akhirat. Mereka lupa bahawa kehidupan di dunia adalah sementara dan akan berakhir suatu ketika nanti.

“Allah meluaskan rezeki dan menyempitkannya bagi sesiapa Dia kehendaki.Mereka bergembira dengan kehidupan di dunia, padahal kehidupan dunia itu (dibandingkan dengan) kehidupan akhirat, hanyalah kesenangan (yang sedikit)” (Ar-Ra’d: 26)

Farhan melihat dirinya pada cermin. Refleksi melambangkan dirinya sekarang, tidak akan sesekali memantulkan sejarah hitamnya. Dia selalu berbuat sedemikian untuk memotivasikan diri sekiranya dia terasa lemah dan hampir didakap oleh Jahiliyah. Dalam kes ini, harapannya untuk memulihkan Izwan hampir malap. Tetapi jika dia tidak bertindak ke atas Izwan, dia tidak akan mengubah apa-apa. Jika dia mampu berubah, maka Izwan juga mampu berubah!

Kring… Kring…

Telefon bimbitnya berbunyi. Terpapar nama “Azim Beijing” pada skrin telefonnya.

Lantas dia mengangkat panggilan sahabat baiknya itu.

“Assalamualaikum Farhan!” sapa Azim keriangan.

“Waalaikumussalam! Apa khabar kau sekarang Azim?” balas Farhan.

“Alhamdulillah sihat sahaja. Eh, aku rindu kat kaulah. Jom liqa’ dengan yang lain?” ajak Azim.

Liqa’? MasyaAllah, ianya adalah saat-saat yang Farhan tunggukan. Sudah lama dia tidak berusrah dengan sahabat-sahabatnya yang lain. Pasti akan terubat rindunya terhadap mereka. Farhan bersetuju. Akhirnya dia menggapai kunci kereta dan pergi ke tempat yang diputuskan bersama Azim.

* * *

Mereka berjumpa dan berkumpul di Kuala Selangor. Selepas makan mi udang di restoran, mereka berusrah di tepi pantai bersama-sama. Azim, Kamal, Luqman dan Mujahid sedang menceritakan kisah hidup mereka selama 1 minggu pulang di Malaysia dan pengajaran yang mereka perolehi daripada kisah tersebut. Alhamdulillah, kisah-kisah hidup mereka tidak mempunyai permasalahan yang besar.

“Haa! Cerita kau pula, Farhan. Aku tengok kau dari tadi senyap saja. Pelik pula.

Selalunya kaulah yang pertama akan memahami ibrah dari sesuatu kisah,” kata Mujahid.

“Tafaddhal! Jangan malu-malu. Macam tak biasa dengan kami saja,” Kamal berseloroh.

Farhan tertunduk dan tersenyum. Perlukah dia menceritakan tentang sahabatnya itu?

Tidakkah akan mengaibkan Izwan jika dia menceritakannya? “Aku…” sambil memandang wajah sahabat-sahabatnya “… dah buang semua komik dan patung anime aku. Aku dah tak nak Jahiliyah datang bertenggek di rumah aku,” katanya.

“MasyaAllah!” semua kelihatan kagum selepas mendengar kata-kata Farhan. Kecuali Azim. Dia memerhatikan tindak tanduk Farhan yang kurang menyenangkan. Dia tahu bahawa Farhan sedang menyembunyikan sesuatu. Dia meletakkan tangannya di atas bahu Farhan lalu berbisik “Farhan, kau okay ke?” Farhan menoleh ke arahnya dengan wajah yang lemah tetapi masih tersenyum. Dia mengangguk.

“Mari? Kita berbincangn di sana?” ajak Azim. “Kamu semua duduklah di sini. Aku dan Farhan nak ke sana sementara. Nanti kami datang balik,” kata Azim lagi. Lalu Azim dan Farhan berdiri di sebelah batu besar sambil menikmati ketenangan bayu laut yang datang menyapa tubuh mereka.

“Farhan? Kau ada masalah ke?” tanya Azim.

“…” Farhan mengeluh “Entahlah Azim. Sahabat sekolah aku dulu. Dia dah melencong ke arah lain,” jelas Farhan.

“Maksud kau…”

“Ya. Aku cuba untuk menasihatinya. Tetapi gagal. Sedangkan akulah orang yang paling rapat dengannya,” kata Farhan.

Azim tersenyum dan menggosok-gosok belakang Farhan. “Kau ingat lagi tak sirah Rasulullah SAW?” Farhan mengangguk. Masih segar di ingatannya. “Ketika Baginda cuba untuk mengislamkan bapa saudaranya, Abu Talib, yang sedang nazak. Tetapi Abu Talib tetap berdegil untuk meninggalkan pegangan nenek moyangnya kerana merasakan bahawa dunia itu lebih penting daripada akhirat. Rasulullah menangis dan merayu kepada Allah supaya memberikan Abu Talib hidayahNya tetapi… Kau ingat apa yang Allah katakan?” Azim bercerita.

Farhan mengangguk lagi. “Kau tak akan dapat memberi hidayah kepada orang yang kau sayang,” sebut Farhan. Azim mengangguk dan tersenyum. “Jadi itulah ibrah yang kita boleh petik daripada sirah tersebut. Tetapi tidak bermakna kau harus berputus asa.

Kau teruskan usaha kau kerana kau sendiri pun tak tahu sama ada Allah akan berikan hidayahNya kepada sahabat kau ataupun tidak. Yang penting kau berusaha dan bertawakkal. Allah berfirman dalam surah Ali-‘Imran ayat 160 yang bermaksud

“Jika Allah menolong kamu, maka tak adalah orang yang dapat mengalahkan kamu; jika Allah membiarkan kamu (tidak memberi pertolongan) maka siapakah yang dapat menolong kamu selain dari Allah? Kerana itu hendaklah kepada Allah sahaja orang-orang mukmin bertawakkal”.”

Farhan memandang ke arah ombak yang memukul pantai. Walaupun kelihatan ganas tetapi perkara itu telah menenangkan Farhan kerana dia memikirkan tentang kekuasaan Allah yang menjadikan ombak seperti itu. Azim turut memandang ke arah ombak dengan tekun.

Belaian angin yang meniup rambut mereka mententeramkan jiwa mereka. MasyaAllah.

“Seperti ombak…” bisik Farhan.

“Maaf?” tanya Azim.

Farhan mendekati gigi pantai di mana ombak akan tiba dan memukul tempat tersebut.

Dia mencangkung dan menulis perkataan “JAHILIYAH” pada gigi pantai tersebut. “Kau perhatikanlah!” jerit Farhan. Tak lama kemudian, ombak tiba dan meratakan persisiran pantai tersebut. Dan kemudiannya dia menulis pula perkataan “ISLAM” dan perkara yang sama berlaku sekali lagi. Azim mengerti dan tersenyum.

“Tulislah seberapa banyak perkataan di pantai ini. Ketika ombak datang memalu, maka lenyaplah tulisan itu. Itulah apa yang kita sedang alami, wahai sahabatku. Jahiliyah akan tetap datang bertandang untuk memudarkan Islam dalam jiwa kita. Janganlah kita terpedaya dengan hasutan itu. Dan sebaliknya, kitalah yang sepatutnya menjadi ombak dan memadamkan segala perbuatan Jahiliyah di sekeliling kita,” kata Farhan dengan bersemangat.

Kelihatan Farhan telah lebih bertenaga dan bersemangat. Terukir senyuman semangat pada bibirnya. Azim berasa bangga dengan perubahan Farhan yang bergitu komited dalam memerangi Jahiliyah di muka bumi ini. MasyaAllah.

Tiba-tiba ekspresi wajah Farhan berubah. Dia seakan-akan tergamam ketika memandang Azim. Azim kebingungan apabila melihat Farhan seperti itu. Dia menoleh ke belakang. Terdapat seorang pemuda yang berdiri tidak jauh dari lokasinya. Farhan datang mendekati Azim dan berdiri di sebelahnya.

“Assalamualaikum…” ucap pemuda tersebut.

“Waalaikumussalam,” jawab mereka serentak.

Pemuda itu ialah Izwan. Dia kelihatan berbeza sekarang. “Izwan… Macam mana kau tahu yang aku berada di sini?” tanya Farhan kebingungan. Izwan tertunduk keseganan. Dia mengerut dahi sambil menggaru-garu kepalanya. “Aku pergi ke rumah kau tadi. Aku cari kau.

Tapi mak kau beritahu aku yang kau ada di sini,” dia berkata.

“Mana Arianna?” tiba-tiba ego Farhan memuncak.

“Dia… Aku dah tinggalkan dia. Lepas saja aku tinggalkan rumah kau, aku terus clash dengan dia,” kata Izwan. Azim sedang beristighfar. “Tapi, aku tetap ke KL untuk tengok bunga api. Cuma di sana, masyarakat setempat telah membukakan mata aku. Teruk sangat.

Aku lihat sepasang lelaki dan perempuan yang bercumbuan, arak di merata-rata tempat, rokok,gengster dan macam-macam lagi. Pada ketika itulah aku sedar bahawa aku pun tidak kurang seperti mereka. Aku jadi takut. Aku lihat bangunan-bangunan yang tinggi dan menara-menara yang teguh. Malaysia cukup terkenal dengan pembangunannya. Tetapi, orang Islam di Malaysia tetap tergelincir dengan kemaksiatan. Aku rasa diri aku tidak berguna jika aku meneruskan perbuatan aku itu. Jadi aku tinggalkan tempat itu,” Izwan bercerita.

“Jadi, mana kau menghilang selama seminggu?” Farhan bertanya.

“Aku ke Shah Alam. Aku tinggal bersama abang aku buat sementara waktu. Tapi, hanya untuk tidur saja. Setiap hari aku ke Masjid Negeri untuk mencari ketenangan. Dari situ aku tahu bahawa hidup beragama lebih membahagiakan berbanding hidup bermaksiat.

Aku ke masjid pun atas niat untuk mencari ketenangan saja. Bukan untuk beragama. Tetapi, aku terlihat seorang pemuda seperti kau. Dia berjubah, berkopiah, baik tutur katanya dan sering tersenyum. Sepanjang aku di situ, dia tidak pernah terlepas 5 solat waktunya di masjid itu.

Jadi, aku cuba membuka hati aku untuk menerima Islam. Dan akhirnya, aku mendapat ketenangan,” sambung Izwan.

Farhan memuji-muji keEsaan Allah dalam diam. Dia menundukkan pandangannya.

Hatinya mulai sebak mendengar cerita Izwan yang kini sudah mendahagakan Islam. Air matanya hampir mengalir kerana bersyukur atas nikmat Allah yang telah mengabulkan doanya. “Izwan… Aku bangga dengan kau,” Farhan menemui kekuatan untuk berucap.

Izwan tersenyum. “Farhan, aku nak ajak kau…”

Farhan memandang ke arah Izwan. “Ya?”

“… Jom pergi ke syurga bersama-sama?”

Farhan meletakkan tangannya di dada sambil mengucapkan alhamdulillah. Tidak disangka-sangka bahawa sahabatnya telah terbuka hatinya untuk berubah dan berjihad di jalan Allah. Syukur ya Allah! Farhan menutup matanya dan mendongak ke langit seraya berkata;

“Zaijian Jahiliyah”

-TAMAT-

Penulis : Muhammad Faris Nazrin bin Khairun Nazir

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply