Kewajipan Berdakwah Dan Dakwah Kepada Non Muslim – Nur Afiqah Aris

0
268
views

1552_non-muslim

PENDAHULUAN

Soalan: Untuk apa kita dikumpulkan pada hari ini?

Jawapan:

Dari Abu Hurairah r.a. dari Rasulullah s.a.w “Ada 7 golongan manusia yang akan mendapat naungan Allah pada hari yang tidak ada naungan kecuali naunganNya (Hari Kiamat).” Salah satu golongan dari hadis tersebut adalah

‘Dua orang yang saling mencintai kerana Allah, sehingga mereka tidak bertemu dan tidak juga berpisah kecuali kerana Allah.’

Jelaslah dari hadis ini, berkumpulnya semua peserta dalam program tersebut adalah tidak lain tidak bukan hanya untuk bertemu dan berpisah kerana Allah yang di akhirnya nanti semua peserta mampu terus menyebarkan rahmat Islam ke seluruh alam iaitu termasuk menyampaikan rahmat Islam kepada masyarakat Non-Muslim.

Tuntutan dakwah kepada masyarakat Non-Muslim ini bukanlah eksklusif kepada sesetengah individu, badan kerajaan atau mana-mana badan bukan kerajaan.Tapi tuntutan ini menuntut semua individu Muslim untuk bersama menyebarkan dakwah ini.Bertepatan dengan firman Allah dalam Surah Ali-Imran ayat 110 yang bermaksud

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma`ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah.Sekiranya Ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka; di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”

Seterusnya, seminar ini memberi satu peringatan yang baik bahawa medan dakwah ini adalah medan amal yang terbaik untuk umat Islam beramal sebelum mampu menuai hasilnya di akhirat kelak.

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” (Al-Fussilat 41: 33)

Justeru, sebagai umat Islam kita patut merasa izzah (mulia) dengan Islam itu sendiri dan berasa rugi sekiranya dalam sehari kita masih tidak mampu menyampaikan walau hanya satu perkataan dakwah.Mengapa?Kerana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Buhari r.a yang bermaksud “Sampaikanlah dariku walau hanya satu ayat.”

Hj Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah
                                                   Hj Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah

Soalan: Siapa antara kita yang ada berkawan dengan Non-Muslim?

Peserta angkat tangan

Soalan: Tapi, berapa ramai pula antara kita yang sudah berusaha mengajak mereka (Non-Muslim) kepada Islam?

Kebanyakan peserta diam membisu.

Soalan: Jika belum pernah buat, apakah yang menghalang kita melakukan dakwah kepada mereka?

Adakah kerana kita rasa tidak sesuai untuk berdakwah dalam masyarakat majmuk? Atau adakah kerana kita tidak sedar ia wajib dan kita rasa tidak perlu untuk berdakwah kepada Non-Muslim?

Soalan demi persoalan diajukan oleh penceramah yang membuatkan peserta terus terpukul dan menyedarkan peserta bahawa tanggungjawab dakwah itu terletak di atas bahu setiap Muslim.

how-to-choose-good-friends-517x268-ps131220_cah_0617

TEKNIK BERDAKWAH

Soalan: saya nak berdakwah, tapi macam mana saya nak mulakan?

Jawapan: Mari kita belajar ‘Asas-asas Dakwah’ terlebih dahulu. Antara asas-asas dakwah yang sempat dicatatkan adalah:

  1. Sampaikan dakwah itu dengan penuh hikmah.

Penyampaian dakwah secara berhikmah ini memerlukan kita untuk memahami keadaan semasa terlebih dahulu sebelum kita mengajak kepada Islam.Selain itu, jika ada perdebatan yang berlaku dengan mereka sekalipun, perdebatan itu perlulah dijalankan dengan penuh hikmah.

Hal ini diharapkan agar di akhir perdebatan itu nanti mereka menjadi semakin dekat dengan Islam.Itulah capaian dakwah yang kita perlukan iaitu menyampaikan dakwah sehingga menjadikan mereka semakin dekat kepada Islam.

  1. Berdakwah atas kebenaran

Untuk teknik yang seterusnya ini adalah lebih menyentuh kepada keberkesanan dakwah yang diberikan sebelum, semasa dan selepas dakwah dilakukan.

Apa yang ingin disampaikan di sini adalah segelintir pendakwah hanya melakukan kerja-kerja dakwah atas kepentingan dunia atau melepaskan tanggungjawab dakwah sebegitu sahaja selepas Non-Muslim itu kembali kepada fitrah (masuk Islam, dengan izin Allah).

Jadi? Apa yang berlaku adalah kebanyakan mereka dalam proses untuk belajar, sekiranya ditinggalkan tanpa bantuan dan kaedah pembelajaran tentang Islam itu sendiri. Bagaimana mungkin mereka mampu faham Islam secara keseluruhannya.

Justeru, apa yang perlu dilakukan adalah kita perlu sentiasa melakukan follow-up terhadap Muallaf itu agar kefahaman mereka tentang Islam sentiasa berada dalam keadaan lebih baik seterusnya kebajikan mereka juga terjaga. Follow-up ini juga tidak dilakukan hanya kepada Muallaf, bahkan kepada semua Non-Muslim yang telah kita lakukan dakwah untuk kali pertama.

Keberkesanan dakwah yang dilakukan secara berterusan inilah yang di akhirnya menterjemahkan erti dakwah kita di atas kebenaran.Bagi menyampaikan kebenaran, mana mungkin kita hanya menyampaikannya hanya sekali. Oleh itu, langkah demi langkah perlu di susun untuk usaha follow-up  ini.

Antara usaha lain adalah perlunya kita menyediakan keperluan dari sudut tenaga pengajar atau tempat untuk menyampaikan dakwah secara berterusan seperti pembinaan sekolah di kawasan-kawasan Non-Muslim. Selain daripada menjaga mereka dari sudut kefahaman mereka kepada Islam, perlunya kita menjaga kebajikan mereka dari semasa ke semasa.

Selepas daripada kita tahu asas-asas dakwah yang juga kita panggil sebagai teori. Sekarang, kita perlu cuba untuk melaksanakannya secara praktikal. Dalam seminar kali ini, penceramah memberikan idea-idea yang cukup baik untuk memulakan bicara dengan Non-Muslim. Ianya adalah mulakan perbualan kita dengan soalan, contohnya:

Apa yang awak tahu tentang Islam?

Apa benda baik tentang Islam yang awak tahu?

Apa benda tak baik tentang Islam yang awak tahu?

Dari persoalan-persoalan inilah kita mampu mengenal pasti beberapa perkara yang di akhirnya mampu membantu kita menyampaikan Islam dengan lebih baik (dengan izin Allah). Antara perkara yang boleh kita kenal pasti adalah:

Apa perkara yang menghalang mereka untuk memeluk Islam?

Di mana tahap kefahaman tentang Islam yang ada dalam diri mereka?

Setelah perkara-perkara ini kita kenal pasti, jika sesuai untuk bertanya soalan terakhir ini, maka peluang untuk kita sampaikan Islam adalah lebih besar iaitu:

Jika awak banyak tahu tentang kebaikan yang ada pada Islam, apa yang menghalang awak untuk masuk Islam?

tidak-ada-paksaan-dalam-agama-laa-ikra-ha-fiddiin-syariat-islam-warta-ahmadiyah

Semua persoalan-persoalan yang kita ajukan kepada mereka adalah bukan satu bentuk provokasi, tapi satu medium yang menggalakkan mereka berfikir tentang Islam.Tanggungjawab kita adalah berusaha untuk sampaikan dakwah ini, dan hanya pada Allah jualah letaknya kunci untuk membuka hati-hati mereka menerima Islam.

Namun, ada beberapa perkara salah faham tentang Islam yang sering membelenggu masyarakat Non-Muslim.Antaranya adalah dengan akhlak segelintir Muslim yang kurang baik yang pada mereka telah mencerminkan Islam itu sendiri.

Perkara-perkara sedemikian perlu kita fahami dan belajar cara untuk memperjelaskan dengan baik kepada mereka. Tambahan, media-media massa yang menokok tambah tentang keadaan semasa yang menggambarkan keganasan-keganasan Islam, juga media massa yang sering membuat provokasi menggambarkan betapa teruknya akhlak-akhlak penganut Islam itu sendiri.

Hal-hal ini, menambah persoalan yang tidak terungkai dalam minda mereka sehingga di akhirnya mendengar sahaja nama Islam menjadikan mereka takut untuk mendekati. Sedangkan kita ingin membawa mesej menyebarkan rahmat Islam ke seluruh alam.

Tuntasnya, persoalan-persoalan yang bermain dalam kepala mereka yang masih berlum terjawab itulah memerlukan kita semua untuk membantu membuat pencerahan tentang Islam. Kita yang perlu ambil tahu apa yang mereka tidak tahu dan mencerahkan konflik-konflik yang sengaja dicetuskan oleh musuh-musuh Islam kepada masyarakat Non-Muslim agar menerima Islam sebagai satu rahmat terbesar yang Allah berikan kepada semua manusia.

susan-family

Soalan: Apakah sifat-sifat yang perlu ada dalam diri seorang pendakwah?

Jawapan: Antara sifat-sifat yang perlu ada dalam diri kita sebagai seorang pendakwah adalah:

  1. Ikhlas

Persoalan ikhlas ini nyata adalah satu persoalan yang utama dan pertama. Namun, ianya juga satu persoalan yang sangat susah untuk dijawab. Namun, apa yang diingatkan oleh penceramah adalah sekiranya sampai satu tahap dan keadaan kita rasa kita mula tidak ikhlas dengan pekerjaan atau amal yang dilakukan. Meninggalkan urusan itu bukanlah jalan penyelesaiannya. Tetapi, memperbetulkan niat itu adalah sebaik-baik cara. Semoga Allah terus menerima amal kita semua dengan sebaik-baik penerimaan.

  1. Akhlak

Selain daripada dakwah bil lisan (dakwah dengan kata-kata), dakwah bil hal (dakwah dengan akhlak) adalah satu capaian dakwah yang sangat berkesan yang terus sampai dan difahami oleh kebanyakan dari kita termasuk Non-Muslim.Justeru, sebagai individu Muslim, usaha dakwah yang paling mudah untuk dilakukan adalah dengan mengamalkan akhlak yang baik yang telah diajarkan oleh Rasulullah sendiri.Dalam sebuah hadis menegaskan hal ini yang bermaksud

“Aku (Rasulullah) diutuskan adalah untuk menyempurnakan akhlak yang baik”.Akhlak yang mulia dan indah itu boleh menjadi cerminan kepada Non-Muslim bahawa betapa indahnya Islam itu sendiri. Apabila Ummul Mukminun, Aisyah r.a ditanya oleh sahabat tentang akhlak Rasulullah, beliau menjawab “Akhlak Rasulullah itu adalah Al-Quran”.

Old and Young
Old and Young
  1. Kekuatan

Mengenal pasti potensi diri dan kekuatan yang ada dalam diri merupakan salah satu lagi cara untuk menyampaikan dakwah dengan lebih berkesan. Potensi dan kekuatan setiap dari kita adalah berbeza. Perbezaan ini kita rai dengan satu rahmat agar di akhirnya nanti kita akan mampu sentiasa saling melengkapi.

Ada individu yang kekuatannya adalah dia pandai berceramah, ada yang hebat dari sudut IT dan teknikal, ada yang hebat membuat penerbitan dan penulisan, ada juga yang diberi rezeki harta benda yang melimpah ruah dan banyak lagi kekuatan lain.

Justeru, kita perlu gunakan kekuatan-kekuatan yang kita ada ini untuk dakwah kepada Non-Muslim.Segelintir daripada kita mungkin tidak mahir untuk menyampaikan ceramah atau bercakap dengan Non-Muslim, tapi ianya bukan penghalang untuk kita tidak bergerak untuk berdakwah. Itu hanya bukan kekuatan kita, jadi, tugas sekarang adalah kita cari dan kenal pasti kekuatan kita agar di akhirnya nanti rahmat Islam akan terus tersebar (dengan izin Allah).

  1. Kelemahan

Di sebalik kekuatan kita, pasti ada kelemahan kita. Oleh yang demikian, kita boleh perbaiki kelemahan itu dari semasa ke semasa untuk terus menginfakkan diri kita ke dalam kerja-kerja dakwah.Ditegaskan di sini, janganlah sampai kelemahan itu menjadi alasan untuk kita meninggalkan dakwah ini.

Justeru, antara benda yang boleh dilakukan adalah dengan mencari bantuan untuk kita perbaiki kelemahan itu.Bantuan mungkin dari segi menambah ilmu dengan membaca atau menghadiri seminar-seminar dakwah seperti kali ini dan mungkin sahaja bantuan itu datang daripada kawan-kawan baik kita (dengan izin Allah).

Tambahan, untuk memperbaiki kelemahan kita dan menjadikan dakwah ini lebih berkesan adalah kita melakukan dakwah ini secara berjemaah. Nikmat melakukan kerja dakwah secara berjemaah ini seperti yang disebutkan Allah dalam Al-Quran

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh” (As-Saff: 4).

Akhir sekali, dengan usaha-usaha dakwah yang kita lakukan kerana Allah ini, teruslah berdoa agar Allah berkati usaha-usaha dakwah kita dan terus mengurniakan jalan-jalan penyelesaian terbaik dari sisiNya.

Semoga perkongsian daripada saya ini, mampu difahami oleh sahabat-sahabat pembaca seterusnya amal ini diterima oleh Allah menjadi salah satu amal terbaik di sisiNya.Akhir kata,

“Tabiat deen (agama) ini hanya akan dapat difahami oleh mereka yg telah menterjemahkan teori kepada jihad yg nyata.” (Thoriq Ahmad, 2010)

** Nota kaki:

Pada 24 Disember 2016 telah berlangsungnya satu Seminar Dakwah HARMONI yang telah berjaya mengumpulkan pelbagai peringkat golongan umur dan kerjaya seperti penjawat awam dan swasta bahkan turut sama adalah pelajar dari Universiti awam serta swasta.

Seminar ini telah berlangsung di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kelantan. Seminar ini dirasmikan oleh ustaz Mohd Shukri bin Mohd Nor, selaku Mudir/Pengetua Maahad Tahfiz Qur’an Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK). Beliau menggantikan Dr Haji  Nik Muhd Azlan Bin Abd Hadi, selaku Timbalan YDP MAIK yang tidak dapat hadir atas urusan kerja.

Disampaikan oleh: Hj Nicholas Sylvester Muhammad Abdullah(Pengerusi Hidayah Center Foundation)

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply