Kisah Pengembaraan Ustaz Kamilin Jamilin Mempelajari Bahasa Arab

0
277
views

Saya memulakan langkah mempelajari bahasa arab ini agak lewat berbanding rakan-rakan dari sekolah-sekolah agama lain yang ditakdirkan muda-muda lagi dah jadi ulama.

Ini kerana saya dahulunya tidak berminat pun untuk menceburi bidang pengajian Islam. Saya lebih risaukan Bahasa Inggeris saya kerana cita-cita saya yang ingin menjadi arkitek atau ahli ekonomi.

Saya lulus bahasa arab SPM pun barangkali disebabkan graf yang rendah sebab saya memang tak faham apa yang saya jawab dalam SPM, lebih kepada meneka sahaja dengan harapan ada “luck”.

Yep, semasa saya di kecil dahulu, saya memang pernah belajar sedikit subjek Nahu & Saraf dengan maulana Hussein bin Abdul Kadir al-Yusufi.

Tapi usia kecil ketika itu apalah sangat yang mampu saya serap, apatah lagi dengan ketiadaan hala tuju dan minat. Apatah lagi saya sering dirotan maulana Hussein sebab nakal dan “loklaq” dalam kelas.

Maulana Hussein & adiknya ustaz Yunus kalau rotan memang kuat bebeno, boleh berbirat! Part paling sakit bila dirotan di tapak kaki dan tapak tangan yang kadang-kadang terkena tulang jari!

Apapun jazahumullahu khayra kerana rotan mereka yang mendidik (walaupun saya susah dididik walau disebat hari-hari)

Apapun, setelah saya menukar bidang dari bidang seni-bina di UIA ke pengajian Islam di Madinah, baru saya ketika itu “terpaksa” untuk menerokai Bahasa Arab kerana ia merupakan bahasa perantaraan wajib baik dengan rakan-rakan mahupun dalam kelas.

Di Universiti Islam Madinah saya perlu masuk ke pusat bahasa dahulu setahun. Itupun bernasib baik sebab saya sempat hafal skrip jawapan dengan bantuan abang saya bagi soalan-soalan lazim semasa “interview” kelayakan bahasa arab (tajuknya: Ceritakan tentang negara kamu). Kalau tidak, mungkin saya dah kena 2 tahun.

Sebenarnya, runsing jugak memikirkan bagaimanalah aku mampu nak kuasai bahasa yang cukup unik dan susah ini?

Mana tak cuak, ketika di peringkat awal pengajian bahasa, saya dapati terdapat beberapa rakan yang sudah sedia mahir berkomunikasi dalam bahasa arab terutamanya dari beberapa negara Afrika, namun mereka sengaja tidak masuk ke peringkat fakulti lebih awal supaya dapat menambah tempoh pengajian mereka di sana.

Tidak kurang juga ada yang kelihatan baik kemahiran bahasa mereka walaupun asalnya mereka juga masuk ke pusat tersebut tanpa bahasa arab di dada.

[ 5 Sebab Kenapa Anda Perlu Berusaha Mempelajari Bahasa Arab ]

Lalu terlintaslah di benak ini:

“Mampukah saya bertutur baik seperti mereka?”,

“Berapa lamakah tempoh yang saya perlukan untuk menjadi seperti mereka?”,

“Apakah yang mereka lakukan untuk berbahasa arab baik sebegitu?”

Maka saya bertekad untuk mengasah penguasaan bahasa arab saya secepat dan sebaik mungkin sebelum saya melangkah ke fakulti kelak.

Saya bersyukur kerana berpeluang memiliki sahabat-sahabat rapat dari pelbagai negara seperti Basem Alsayed (sekarang businessman & Pengarah Sumber Manusia) dari Arab Saudi, Magomed Gazimagomedov (sekarang auditor kewangan Islam di Bahrain) dari Dagestan, Lide Ha (sekarang kerja di company arab) dari China dan lain-lain.

* Gambar belasan tahun lepas sekitar 2004/2005 di majlis perkahwinan Basem al-Sayyed bersama: Gazi Magomedov, ustaz Abu Mubarak Mohamad Syafiq, ustaz Abdul Rahman Abdul Rahim (ARAR), ustaz Fawwaz Yusoff.. Kesemuanya (kecuali pengantin) dari kuliah Hadis

Mereka ini telah menjadi sahabat baik saya seawal saya berada di pusat pengajian bahasa arab universiti lagi, dan saya banyak meluangkan masa bersama mereka lebih dari pelajar melayu.

Saya travel, makan, tidur, haji, umrah, berkelah, ke Haram, ke kedai, dan bermacam-macam aktiviti lagi bersama mereka.

Saya pernah disangka pelajar Dagestan kerana asyik “berkepit” dengan Gazi Magomedov dan pelajar-pelajar Dagestan. Pernah juga naik belakang lori Kamaz berhimpit-himpit menunaikan haji bersama Jemaah Dagestan yang memandu dari Russia dengan daging kering tergantung di sebelah.

Saya juga selalu menemani Basem dalam pelbagai urusan termasuk menguruskan kedainya yang kadang-kadang perlu travel 800 km ke Riyadh membeli barang.

Saya juga sangat rapat dengan keluarganya walaupun arab kebiasaannya sangat tertutup dalam urusan kekeluargaan, sehingga saya diberi kunci rumahnya, bahkan kenduri-kenduri keluarganya juga saya bersama mereka.

Namun ketika bersama mereka pada awalnya, saya banyak mendiamkan diri kerana tidak memahami perbualan mereka dan tidak mampu untuk bertutur dengan mereka.

Justeru langkah pertama yang saya perlu lakukan ialah menghimpunkan sebanyak mungkin perkataan baru. Kesemua perkataan baru yang saya lihat atau dengari akan saya catatkan dalam sebuah kertas atau buku catatan khas yang sentiasa ada di poket saya.

Dari situ saya berusaha untuk berkomunikasi walaupun pada peringkat tersebut struktur ayat saya banyak yang tunggang-langgang.

Namun saya bersyukur orang-orang luar ini bukan jenis yang gemar mentertawakan atas kesilapan kita seperti yang boleh didapati pada kebanyakan masyarakat melayu kita.

Bahkan mereka sentiasa menyokong dan menggalakkan saya untuk terus memperbaiki diri.

 

** Ini adalah tulisan peribadi Al-Fadhil Ustaz Kamilin Jamilin mengenai pengembaraan mempelajari Bahasa Arab yang dimuatkan dalam lama facebooknya.

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply