Kisah silam jangan diulang

0
173
views

Kisah silam jangan diulang

kisah silamKisah Silam | Saya pasti, setiap daripada kita pernah melakukan kesilapan. Setiap orang pernah buat silap, bukan? Saya juga tidak terlepas daripada melakukan kekhilafan. Namun, persoalannya di sini, adakah kita masih terus melakukan kesilapan yang sama? Atau kita berhenti daripada melakukan kesilapan dan berusaha untuk tidak mengulanginya lagi? Yang mana satu pilihan anda? Tepuk dada tanya iman.

 

Kadang-kadang, dalam kita tidak sedar, kita telah melakukan kesilapan. Berborak-borak dengan kawan, kemudian terkeluar topik kepada termengata orang lain. Astaghfirullah hal ‘azim. Betapa lalainya kita ini sebagai manusia bukan? Padahal terang-terangan ALLAH melarang keras kita daripada mengumpat. Ghibah. Backbitting. Tetapi dek tergoda dengan bisikan dan godaan syaitan, kita terlalai. Kita terlupa. Astaghfirullah hal ‘azim. Ampunilah dosa-dosa hamba-MU ini Ya ALLAH.

 

Solusinya, kita perlu berhati-hati dengan apa yang kita tuturi. Fikirkan baik buruknya apabila bercakap. Ini nasihat dan peringatan untuk diri saya juga sebenarnya. Saya masih teringat kata-kata seorang senior, “Kata-kata kita melambangkan siapa diri kita.” Saya benar-benar terkesan dengan luah yang diluahkan beliau. Elakkan daripada bercakap benda yang sia-sia. Jika tercakap juga, terus berhenti bila tersedar. Beristighfarlah banyak-banyak. Mohon keampunan pada ALLAH.

 

Seperti yang saya katakan tadi, setiap orang memang akan melakukan kesalahan. Namun jangan kerana kesilapan lampau itu, kita menghukumnya sekarang. Jangan membuat tuduhan melulu ataupun memandang serong padanya setelah mengetahui kisah silamnya. Siapa tahu, dia pada hari ini lebih baik daripada diri kita sendiri? Kita tidak boleh menilai orang lain sewenang-wenangnya. Hanya ALLAH yang berhak menilainya. Apa yang kita boleh lakukan ialah meningkatkan amal kita sendiri dan pada masa yang sama mengajak orang lain melakukan kebaikan. Selebihnya serahkanlah kepada Yang Maha Esa.

 

Apa yang pasti, kisah silam itu janganlah diulang lagi. Sebaik-baiknya, tinggalkanlah terus. Jika kita sudah berjaya meninggalkannya hari ini, usahakanlah juga untuk meninggalkannya buat selama-lamanya. Mungkin agak sukar apabila sesuatu itu bagaikan sudah sebati dalam diri kita. Namun, jika kita berkehendakkan sesuatu kebaikan, insya-ALLAH, ALLAH akan menolong kita. Cubalah usahakan untuk itu. ALLAH tidak akan pernah menghampakan hamba-NYA yang berusaha untuk berubah ke arah kebaikan. Mintalah kepada DIA. Berdoalah. Serahkan sepenuh kepercayaan hanya pada-NYA. Insya-ALLAH, DIA tidak akan mensia-siakan hamba-NYA.

Saya juga bukannya baik sangat. Saya mengaku itu. Banyak lagi benda yang perlu diperbaiki. Banyak juga khilaf yang telah dibuat. Namun, apa yang pasti, saya akan berusaha untuk menjadi baik. Menjadi lebih baik. Membetulkan apa yang silap. Insya-ALLAH.

 

Sama-samalah kita berubah ke arah kebaikan wahai sahabat sahibah yang saya kasihi sekalian. Jika orang lain mampu berubah menjadi lebih baik, kenapa tidak kita? Sedangkan kita semuanya sama sahaja di sisi ALLAH. Yang membezakan kita di sisi-NYA hanyalah amalan kita sahaja.

 

Teringat bicara seorang teman baru-baru ini. Katanya, “Semua yang berlaku adalah disebabkan oleh diri kita sendiri. Kitalah yang mencorak diri kita.” True much. Jika kita inginkan kebaikan, nescaya kita akan berubah ke arah kebaikan. Jika kita inginkan keburukan, kita akan menjuruskan diri kita ke arah keburukan. Semuanya terletak pada diri kita. Buatlah pilihan yang tepat. Pilihan yang akan membantu kita di dunia mahupun akhirat.

 

Betul, hidayah itu milik ALLAH. Namun, hidayah itu juga perlu dicari. Jadi, tinggalkanlah kisah silam itu. Jangan diulang lagi. Mana yang baik dijadikan teladan. Mana yang buruk dijadikan sempadan.

 

Berusahalah. ALLAH pasti bersama hamba-NYA yang beriman dan berusaha. Janganlah berputus asa dengan rahmat ALLAH. DIA sentiasa ada untuk kita. Cuma kita sahaja yang kadang-kadang terlupa akan kewujudan-NYA di sisi kita.
“Dan apabila hamba-hamba-KU bertanya kepadamu (Muhammad) tentang AKU, maka sesungguhnya AKU dekat. AKU kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-KU. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah-KU) dan beriman kepada-KU, agar mereka memperoleh kebenaran” [Al-Baqarah, 2:186]

“Jangan kita menghukum kerana kisah silam

wan nadzipah

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply