Apakah Kriteria Taska Yang Bagus? – Ummu Umar

0
917
views

kriteria taska yang bagus

Keputusan menghantar anak pertama saya, Umar ke taska adalah satu keputusan yang berat. Mana tidaknya, selama 5 bulan setengah, 24 jam dia bersama saya. Menyusu, bermain, mandi, belajar dll.

Keputusan ini saya ambil kerana amanah belajar saya. Penulisan thesis master yang memerlukan fokus, menyebabkan saya terpaksa buat keputusan ini.

Dalam hati tidak dinafikan ada sedikit kegusaran dan kebimbangan kerana saban hari bermacam-macam berita yang tidak baik berkenaan bayi di taska dan pengasuh.

Sebagai contoh apa yang berlaku kepada adik Adam Rayqal, Adik Naufal dan sebagainya yang meruntun jiwa ibu bapa.

Ada yang bertanya mengapa saya tidak menghantar Umar ke pengasuh?

Jawapannya, sukar untuk saya mencari pengasuh yang betul-betul ingin jaga anak kita seperti anaknya sendiri.

Dan saya fikir kriteria pengasuh yang penting adalah yang rumahnya bersih, suami tidak merokok, persekitaran selamat, rekod yang baik sebelum ini, tiada masalah kesihatan mental/psikologi dan saya tidak menjumpai kriteria penting ini di sekitar kediaman saya.

Dan akhirnya saya nekad membuat keputusan untuk menghantar Umar ke taska.

Alhamdulillah setelah memeriksa taska tersebut dan bertemu pemilik taska, saya berpuas hati, mengapa?

Berikut adalah kriteria penting sesebuah taska:

tips pilih taska
kredit

1- Persekitaran bersih. Pertama sekali apabila saya masuk ke taska, saya lihat bilik air atau tandasnya. Dan alhamdulillah kebersihan sangat dititikberatkan di seluruh kawasan taska.

Kebersihan taska sangat penting supaya anak kita tidak terdedah kepada jangkitan kuman dan penyakit.

2- Taska berdaftar di bawah JKM dan di bawah pemantauan bomba dan penyelamat.

Mengapa pentingnya taska yang berdaftar?

Kerana apa yang berlaku sudah ada rekod dan pemantaun dari JKM menyebabkan taska tidak boleh bertindak sesuka hati.

Pihak taska wajib mengikut polisi dan peraturan yang ditetapkan. Lagi satu, mengenai nisbah bilangan guru dan murid juga perlu ikut nisbah yang sebetulnya.

1 guru akan menjaga maksimum 3 bayi sahaja. Tidak boleh lebih. Jika toddler 1:5 dan playschool 1:10. Ini penting jika berlaku kecemasan.

Mengapa perlu pemantauan dari bomba dan penyelamat?

Kerana taska yang bagus mempunyai ciri-ciri keselamatan yang ditetapkan oleh pihak bomba sebagai contoh pintu atau tangga kecemasan dll.

3- Pemeriksaan suhu badan setiap hari sebelum taska menerima anak-anak.

Alhamdulillah setiap pagi taska yang bagus akan membuat pemeriksaan suhu badan dan seluruh badan bayi supaya bayi yang diterima setiap pagi tiada apa-apa kecederaan dari rumah.

Semuanya direkodkan khusus dalam buku log taska. Dan jika suhu badan melebihi 37°c, selsema yang teruk, penyakit berjangkit, pihak taska tidak akan menerima bayi tersebut.

4- Buku rekod atau buku log harian bayi. Pihak taska menyediakan satu buku log untuk bayi dan dalam buku tersebut direkodkan tentang harian bayi sebagai contoh bilangan oz susu yang diminum, jenis bubur yang diberikan, bilangan lampin pakai buang yang digunakan, ada cirit atau tidak sepanjang di taska dan sebagainya.

Ini sangat penting supaya ibu bapa tahu apa yang dihadapi oleh bayi atau anak-anak mereka semasa di taska.

5- Vaksin. Taska ini tidak menerima bayi yang tidak mengambil vaksin. Ia sangat penting untuk imunisasi dan untuk mengelakkan virus daripada berjangkit kepada bayi yang lain.

6- Jadual harian. Jadual harian di taska perlu sistematik.

Alhamdulillah, untuk taska ini bayi juga di susun dengan aktiviti harian dan dinilai tahap interaksinya secara individu dan bersama rakan-rakan yang lain.

Bayi bukan dibiarkan tidur sahaja sebaliknya ada aktiviti ransangan, urutan bayi dll.

Ibu bapa harus cakna dan prihatin tentang kriteria-kriteria penting pemilihan sesebuah taska. Bukan ambil ringan sahaja. Periksa dahulu dan buat pertimbangan sewajarnya.

InsyaAllah moga ini taska yang terbaik untuk anak saya. Dan ibu bapa perlu bertawakkal dan menyerahkan kepada Allah untuk menjaga dan melindungi anak-anak di taska.

Tidak dinafikan pelbagai isu yang berlaku saban hari. Hanya Allah sebaik-baik pelindung.

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply