Maafkan Aku Kerana Terlupa Mencintaimu – Haifa Nasuha

0
91
views

(Sambil anda baca artikel ini, cuba dengar lagu Hakikat Bahagia  -UNIC)

Kehidupan adalah sebuah perjalanan panjang yang cukup misteri, tiada siapa mampu meneka dengan tepat apakah yang telah ditakdirkan untuk mereka.

Bohonglah jika ada yang mengaku dia tidak mempunyai apa-apa impian dan harapan terhadap kehidupannya sendiri. Secara fitrahnya, sudah pasti setiap daripada kita mengharapkan yang terbaik dalam segenap aspek kehidupan.

Maka, kita pun berusaha dengan sesungguh-sungguhnya demi mendapatkan ‘takdir’ yang cantik untuk kehidupan kita.

Sewaktu belajar, kita belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan dan menggembirakan ibubapa kita.

Sewaktu bekerja, kita memberikan komitmen yang terbaik supaya majikan kagum dengan kita. Sebelum berkahwin, kita merujuk pelbagai buku dan menghadiri kursus yang pelbagai supaya kita dapat memahami sebaiknya bakal pasangan kita itu

Setelah berkahwin, kita sedaya upaya melakukan segalanya untuk mengambil hati pasangan kita supaya dia sentiasa berasa bahagia apabila bersama dengan kita. Setelah kita mempunyai anak-anak, kita berusaha menyediakan yang terbaik untuk anak-anak kita supaya mereka berasa gembira.

Kita mengharapkan segala usaha kita itu tadi akan membuahkan hasil yang setimpal dengan usaha-usaha kita.

mountain-393768_960_720

Hidup tidak selalunya indah, langit tak selalu cerah.

Tiba-tiba kita diuji dengan kegagalan dalam peperiksaan, dibuang kerja di saat masalah ekonomi melanda kerana syarikat mempunyai masalah, masalah bersama pasangan sehingga berlaku keretakan rumah tangga, anak-anak membesar sebagai anak yang degil dan tidak mengenang budi dan pelbagai lagi ujian lain.

Ketika itu, kita akan terkenang kembali segala usaha yang telah kita lakukan dengan sebaik mungkin sehingga timbul persoalan di benak fikiran kita,

”Tak cukup lagikah apa yang aku usahakan selama ini? Bagaimana mungkin semua ini boleh terjadi?”

Favim.com-11567

Maka bermulalah episod apabila kita sudah mula hilang kepercayaan terhadap diri sendiri. Kita memilih untuk menyalahkan diri atas segala yang terjadi.

Keyakinan diri semakin menghilang, kita memilih untuk mengelak daripada berjumpa dengan orang lain kerana merasakan diri ini kurang serba-serbi berbanding orang lain, sentiasa menangis bersendirian dan terbayang-bayang segala kegagalan dalam hidup sehingga hilang hala tuju kehidupan kerana terlalu terbawa-bawa dengan peristiwa silam.

Masa lalu begitu menghantui kehidupan yang kini!

Transformasi diri pun berlaku. Kita yang dahulu mungkin seorang yang begitu optimis dan bermotivasi, tetapi setelah diuji, tidak lagi..

Pada saat ini, sangat penting untuk kita imani bahawa Allah yang memegang takdir kehidupan kita dan Dia adalah sebaik-baik penulis takdir.

Kita mungkin sudah merancang perjalanan kehidupan kita dengan cukup rapi kerana kita mengimpikan sebuah perjalanan hidup yang indah.

Kita mungkin sudah merencanakan bagaimana kehidupan kita untuk 5 tahun yang akan datang dan kita mengharapkan ianya benar-benar akan terjadi sebagaimana yang kita rancang.

Jangan lupa, batas kemampuan kita sebagai makhluk yang dicipta hanyalah sekadar merancang, akhirnya Allah sebagai pencipta jualah yang paling berkuasa menentukan. Kita perlu redha sekiranya perancangan kita tidak berhasil.

Di sinilah letaknya peranan iman dan tawakal. Tidak salah untuk kita merancang dan bercita-cita untuk mendapatkan yang terbaik untuk kehidupan kita, namun sangatlah penting terlebih dahulu untuk kita beriman dengan asma Allah iaitu Al-‘Alim (Yang Maha Mengetahui) dan Al-‘Adl (Yang Maha Adil).

Allah tidak pernah salah dalam setiap percaturanNya, yang sentiasa salah itu kita kerana seringkali berburuk sangka denganNya.

Maka, sekiranya kita menyalahkan diri sendiri terhadap siri-siri kegagalan dalam hidup kita, sama jugalah seperti kita menyalahkan kudrat Allah, seolah-olah Dia silap dalam menyusun takdir.

Kegagalan sama sekali tidak menjatuhkan harga diri kita, bahkan ianya merupakan silibus kehidupan yang telah disusun oleh Allah untuk kita kerana Dia ingin kita kuasai ilmu iman dan ikhlas.

Di saat kita gagal dalam hidup, ketika itulah kita berpeluang untuk menilai diri sendiri sejauh mana kita benar-benar memahami apa itu iman, redha dan ikhlas.

Kita mungkin menganggap bahawa orang lain dalam hidup kita sentiasa bahagia, hanya kita sahaja yang diduga. Itu  tidak benar, sahabatku..

Setiap daripada kita ada ujiannya yang tersendiri kerana kita semua mempunyai silibus kehidupan kita sendiri. Kerana kemampuan kita semua berbeza, maka silibusnya juga sudah tentu berbeza.

Benar kata orang ,”Time heals.” Tidak salah untuk kita memerlukan sedikit masa untuk merawat hati yang berduka. Tetapi jangan pula sepanjang ‘tempoh pemulihan’ kita isi dengan asyik mengimbau peristiwa lalu dan asyik menyesali kegagalan yang menyakitkan.

Syaitan sentiasa mengambil peluang untuk merosakkan keimanan kita. Perbanyakkan istighfar. Perkara itu telah pun berlaku dan telah berlalu. Ia sudahpun menjadi sebahagian daripada sejarah hidup kita.

Yang pasti, apa yang berlaku tidak terjadi secara suka-suka. Ada sesuatu yang Allah ingin kita pelajari daripadanya. Sangat rugi jika kita tidak mengambil peluang untuk mempelajari sesuatu daripada kegagalan kita yang lalu.

Sebagai orang yang beriman, ’tempoh pemulihan’ sebaiknya kita gunakan untuk memperbaiki semula mutabaah amal kita yang mungkin ada lompongnya.

Bina kembali motivasi diri dan yakinkan diri bahawa semua orang yang berjaya pasti ada kisah kegagalan dalam hidupnya.

i-love-myself

Jangan sekali-kali membenci diri sendiri atas kelemahan diri. Kita selalu berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk orang yang kita sayang.

Kita kata kita sudi menerima mereka seadanya, baik dan buruk mereka. Tetapi silapnya kita ialah kita terlupa untuk menyayangi diri sendiri.

Kita akan mampu menyayangi 100% dan menerima orang lain seadanya hanya setelah kita menyayangi dan menerima diri kita sendiri.

Sekiranya diri kita melakukan kesilapan, maafkanlah diri sendiri sepertimana kita mampu memaafkan orang lain yang berbuat salah terhadap kita.

Beri peluang kepada diri sebagaimana kita beri peluang kepada orang lain untuk memperbetulkan kesilapan. Kerana manusia memang diciptakan lemah, mengapa kita perlu menghukum diri sendiri?

Kehidupan kita adalah sebuah kisah yang watak utamanya adalah kita sendiri. Oleh itu, lakukan yang terbaik sebagai watak utama dalam kisah hidup anda.

Sekarang, katakan kepada diri anda, “Maafkan aku kerana terlupa mencintaimu!” Kemudian, bangkitlah dan jadilah seseorang yang baru!

 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply