Mahu Mati Begini

1
128
views

Mahu Mati Begini

Mahu Mati Begini | Sering sahaja aku mengalami perasaan ini. Dikala kita disadur dengan nasihat yang membasahkan iman dan menggerakkan amal, dalam liqa usrah mahupun liqa daurah. Saat kita tersedar dan mampu menangisi kotoran jahiliyah yang masih belum bersih dan suci dari diri ketika pak Murabbi melontarkan bicara muhasabah. Ketika terdetik hati menerbitkan kata ‘Ya Allah aku bersyukur dikumpulkan bersama mereka yang takut dan mengharap pada Mu dengan amat sangat’ usai bangun di sepertiga akhir malam dalam katibah dan mabit. Dan keadaan-keadaan tersebut membuatkan jiwa ini berbisik, ‘Aku ingin mati sekarang ya Allah, dalam keadaan begini!’.

Kerana wujud satu rasa seram akan kemungkinan mati bakal hadir ketika iman ini lembik, prestasi dakwah yang lemau malah lebih menakutkan, disaat sedang asyik dan seronok dengan jahiliyah, ketika itulah malaikat maut datang menjemput. Seram bukan?

Imam Hasan al Banna berkata; Apa yang aku maksudkan dengan tsabat ialah; Saudara pekerja (daie) terus berjihad menuju matlamat, walau sejauhmana jarak dan lamanya tempoh masa, sehinggalah bertemu Allah di atas jalan ini dan beroleh kemenangan dengan memiliki salah satu antara dua; mencapai matlamat perjuangan atau mati syahid dalam perjuangan.

Namun, permainan dunia juga hiasannya serta kegigihan iblis dan syaitan menggoda, sering membuatkan perasaan ini tak selalu hadir. Dengan daya tahan tarbiyah dzatiyah yang lemah dan biah yang kadang tak seperti tika di program tarbiah, perasaan ini mudah mati.

Maka aku seru kamu untuk ingatkan aku. Tolong tegur dengan sepenuh hati. Kerana aku tahu akan hakikat kau juga perlukan aku disaat kau mula melangkah keluar dari gerabak ini sebagaimana aku takut untuk tidak bersama perkumpulan iman yang sedang kita alami.

Walaupun jika hadir saat itu nanti, aku memalingkan muka; tiada kelibat di perhimpunan wasilah tarbiah, memekakkan telinga; deringan telefon bimbit tidak lagi dipeduli, mengingkari tulisan yang aku karang ini, jangan jemu menarik tanganku kembali.

Mustafa Masyhur menulis; Hendaklah kita saling berwasiat antara satu sama lain supaya kita merasai tanggungjawab kita dan tugas kita terhadap dakwah, agar kita sedar & bangun dari mimpi dan tidur yang nyenyak lagi lena, supaya kita menjauh dari gaya hidup bermewah-mewah dan bermalas-malasan. Hendaklah kita sentiasa sibuk memikirkan urusan dakwah. Dakwah ini adalah segala-galanya dalam kehidupan kita.

Ingatlah kembali saat kita resah memikirkan projek dakwah di kawasan, ingat kembali saat kita melemparkan senyuman pada satu sama lain ketika penat menjalani daurah & muhadarah, ingat semula ketika kita tersengguk-sengguk menghabiskan bacaan ma’thur wazifah kubro selepas fajar.

Firman Allah subhanahu wataala; Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.

(Ali-Imran:200)

Sepertimana Al Banna mengimpikan mati di jalan perjuangan, dan beliau memperolehnya, sebagaimana Mustafa Masyhur mengatakan dakwah adalah segalanya dalam kehidupan, dan beliau menyerahkan segalanya, berilah kami ni’mat untuk menjejaki mereka. Saudaraku, sabarlah dan thabatlah.

 

Penulis : Fatiroh Chokelatah

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

1 COMMENT

Leave a Reply