Memelihara Kesinambungan Dakwah – Fakhrur Radzi

0
176
views

dakwah

Sunnah terbesar yang diwariskan Baginda Nabi Muhammad SAW kepada kita adalah dakwah. Dengan dakwahlah kita hari ini dapat merasai nikmat Islam. Mata rantai dakwah yang tidak putus sejak kewafatan Baginda sehingga hari ini menjadikan dakwah dan Islam dapat berterusan dianuti sekalian manusia. Andai sahaja wujud satu ruang masa (vaccuum) yang tiada proses dakwah antara zaman Baginda dan kita, maka sudah tentu kita hari ini, masih lagi teraba dalam kegelapan jahiliah.

Maka, atas nikmat ini, seharusnya kita sentiasa bersyukur kepada Allah dan mendoakan ganjaran yang besar buat mereka yang telah mendahului kita dalam berdakwah. Sekarang, kita pula memikul tanggungjawab menyambung mata rantai ini, agar generasi akan datang merasai nikmat yang kita miliki hari ini.

Dalam pada itu, demi merealisasikan tujuan dan cita-cita murni ini, perlunya kepada takhtit (strategi) dan dhawabit (disiplin) dalam berdakwah. Ini bagi memastikan dakwah bukan sahaja menjadi slogan kosong, tetapi benar-benar berhasil dan berjaya diimplementasi dalam kehidupan. Bahkan Allah sendiri berfirman;

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk. (An-Nahl : 125)

m_35 muhafadhah ala ashalah dawah

Dhawabit ad-Dakwah

Dhawabit dalam berdakwah berpaksikan kepada tiga asas utama.

Pertama, paksi akidah yang salim (sejahtera) yang bertitik tolak dari Syahadatan ‘أَشْهَدُ أَنْ لاَّ إِلهَ إِلاَّ اللهُ، وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا رَّسُوْلُ اللهِ’. Menafikan tuhan selain Allah, dan mengakui Nabi Muhammad penyampai risalah. Zahirnya memang dua ayat ini kelihatan ringan dan ringkas, tetapi jika difahami dengan erti kata yang sebenar; ianya adalah sebuah Syahadatul Haq (penyaksian kebenaran) yang membebankan. 

Agama ini terhimpun dalam dua perkataan ringkas berikut; akidah dan syariat.

  1. Hanya Allah tuhan sekalian alam dan hanya Dia yang berhak disembah (Akidah).
  2. Cara ‘ubudiah kepada Allah, kita ambil hanya daripada apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW (Syariat).

Kedua, berpaksikan kepada kefahaman Islam yang sebenar. Bukan Islam yang diambil secara juz’iyah (partially) mengikut selera nafsu. Seperti mana dalam Usul Isyrin (20) yang disusun Hassan Al-Banna; usul yang pertama menyatakan,

“Islam adalah suatu sistem yang syumul yang meliputi setiap aspek kehidupan”.

Oleh itu, tiada satu ruang pun dalam kehidupan manusia, bermula dari lahir hingga mati, yang terlepas dari perhatian agama. Susunan 20 Usul yang dikemukan Al-Banna sangat sesuai dan praktikal untuk memahami Islam secara holistik.

Ketiga yang terakhir, dakwah yang kita ini perlu berpandukan kepada manhaj sirah nabawiah. Hanya dengan mengikut jejak langkah yang ditinggalkan Nabi Muhammad dan para sahabat akan memastikan kita berada dalam landasan dakwah yang benar. Setiap peristiwa yang berlaku pada zaman Baginda, pasti ada hikmah yang tersembunyi. 

Apa yang dimaksudkan dengan manhaj adalah satu modus operandi yang diekstrak langsung dari sirah Baginda. Daripada perancangan, pendekatan hingga-lah matlamat kepada setiap perbuatan dan perkataan Baginda. Untuk memahami kesemua aspek ini, seseorang itu bukan sahaja perlu untuk faqih dalam teks quran & hadith (ad-dilalah), dia juga perlu faqih dengan konteks berlakunya hadith tersebut (waqi’).

Antara Jahriah dan Sirriyah (Ekslusif & Inklusif)

Dalam menyampaikan dakwah, wujud dua jenis pendekatan; Jahriah (inklusif) dan Sirriah (ekslusif). Keduanya saling memerlukan. Oleh itu, keseimbangan antara keduanya mesti dipelihara. Dominasi salah satu ke atas yang lainnya akan membawa kesan buruk kepada keberhasilan dakwah.

Jahriah. Inilah sifat dakwah yang genuine. Tidak dinamakan dakwah jika kita tidak keluar bermuamalah (socialize) dengan masyarakat. Dengan  bersikap terbuka dan menyeluruh, dakwah akan lebih mudah menyerap masuk dalam masyarakat. Tiada yang terselindung. Semuanya transparent. 

” Manusia selalu menjadi musuh kepada perkara yang mereka tidak tahu. “

Jadi apabila kita berdakwah dengan cara yang terbuka, dakwah lebih mudah untuk diterima masyarakat. Selain itu, dakwah juga akan lebih cepat dan mudah tersebar. Akhirnya masyarakat hidup dalam suasana dakwah, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah pada yang munkar.

Walaubagaimanapun, terdapat juga kesan negatif kepada dakwah yang terlalu inklusif. Para daei terpaksa mengikut selera dan kehendak masyarakat supaya mereka dapat diterima masuk. Daie juga terpaksa menapis pengisian dakwah yang kadang-kadang menjadi terlalu ringan dan tidak mendidik masyarakat pun. Ceramah dan kuliah umum menjadi medan hiburan yang Islamis apabila terlalu banyak unsur lawak dimasukkan.

Apa yang kita harapkan, para daie yang membentuk fikiran masyarakat ke arah menjalani kehidupan bersyariat, tetapi apa yang berlaku, sebaliknya. Akhirnya muncullah jenama ustaz selebriti (Usleb) atau yang seertinya, hasil dari desakan dan permintaan masyarakat sendiri juga sebenarnya. Akhirnya, dakwah tidak menjadi suatu proses yang membina masyarakat tetapi hanya sekadar retorik kosong.

Dari sisi lain, dakwah sirriah atau ekslusif punya kelebihan tersendiri. Sifat dakwah yang ekslusif ini adalah dharuriah (perlu) atas beberapa sebab. Metodologi yang inklusif akan lebih banyak membantu dari segi pembinaan dan pembentukan afrad Muslim. Bahkan dalam Maratibul Amal yang tujuh itu pun, al-Banna meletakkan takwin fardhul muslim sebagai tangga pertama sebelum yang lainnya.

Walaubagaimanapun, tidak semua orang boleh menerima hakikat pembahagian mustawa (peringkat), kerahsiaan tanzim (organisasi) dan perbezaan bahan taujihat sama ada dalam usrah atau daurah. Tetapi hal ini perlu demi memastikan kader-kader dakwah yang dibina nanti, benar-benar isti’ab (kompeten) dengan teks  dan subjek dakwah. Kader-kader yang sudah siap ini kemudian disusun dalam satu saf yang akhirnya akan menggerakkan dakwah lagi. Bahkan gerak kerja sesebuah harakah dakwah juga malah akan lebih licin dan tersusun kerana digerakkan oleh kader-kader yang kompeten.

Namun, dari sisi negatifnya, metodologi dakwah ekslusif yang berlebihan juga punya mudharatnya. Pertamanya, apabila terlalu selesa dengan cara sembunyi, seronok berada dalam lingkungan manusia-manusia yang ingin membina diri akhrinya menyebabkan kita menjauhkan diri dari masyarakat (Uzlah). Hal ini sangat bertentangan dengan makna dakwah yang sebenarnya. Dalam perihal ini, Abdullah bin Mubarak pernah menegur Fudhail bin Iyadh yang digelar Abid Dua Tanah Haram.

Wahai abid dua tanah haram, jika kamu melihat kami,
nescaya kamu faham bahawa kamu hanya bermain-main di dalam ibadahmu.
Orang yang membasahi lehernya dengan air mata,    sedang tengkuk kami berlumuran dengan darah,
Dia memenatkan kudanya di dalam sia-sia, sedangkan kuda-kuda kami penat di hari peperangan,
Kamu berbau harum dengan minyak wangi, sedangkan minyak wangi kami adalah peluh kuda dan debu yang terbaik di medan,
Telah datang sabda Nabi kita kepada kita, kata yang benar, tepat dan bukan dusta,
“Tidak akan bertemu debu kuda pada hidung seseorang, dengan asap neraka yang menyala”
Kitab Allah ini telah menyebut di hadapan kita bahawa, “orang yang mati syahid itu tidak mati” ini bukan satu dusta

Dakwah secara sirriyah yang melampau juga berkemungkinan akan melahirkan daei yang judgemental. Sering menghukum orang lain. Ada yang lebih parah sehingga mengkafirkan. Ini berlaku apabila para duat tidak bercampur dengan masyarakat, memahami masalah mereka dan bersama-sama mencari penyelesaian. Akhirnya yang dilahirkan dari dakwah secara sirriyah itu bukan lagi duat (pendakwah) tetapi qudhoh (hakim)!

Ta’rif, Takwin dan Tanfiz

Kedua-dua pendekatan dakwah ini, saling memerlukan. Tidak boleh dipisahkan dan tidak boleh melebihkan salah satu antara duanya. Dakwah secara jahriah jelas bertujuan untuk tabligh (menyampaikan) dan ta’lim (mengajarmasyarakat umum. Manakala dakwah secara sirriyah pula menyasarkan untuk membina kader dakwah (takwin) dan menyusun kekuatan mereka dalam satu organisasi (tanzim) supaya gerak dakwah yang dijalankan nanti lebih teratur dan bersistem.

Pendekatan jahriah dan sirriyah boleh disimpulkan dalam tiga marhalah dakwah;

  1. Selling & Recruit (Ta’rif) 
  2. Training (Takwin)
  3. Development & Placement (Tanfiz)

Sudah tentu dengan pembahagian medan amal jahriah dan sirriyah, kader dakwah dapat lebih fokus di medan masing-masing. Semuanya berperanan dalam menggalas beban dakwah. Tiada istilah amal siapa yang lebi qowiy (kuat); di medan umum mahupun di medan membina kader. Hanya Allah yang boleh menilai siapa yang paling bertaqwa dan lebih baik amalnya. Semoga Allah pelihara niat dan amal kita dari perkara-perkara yang boleh memesongkan matlamat kita.

Wallahu a’lam..

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply