Memeluk Pagi Dengan Cita Sempurna – Haikal Fansuri

0
32
views

“Night changes many thoughts. Sleep, Eowyn. Sleep while you can.” – Aragorn

Waktu pagi merupakan waktu terbaik untuk memulakan hari. Selain manusia, makhluk lain seperti sebahagian haiwan dan tumbuhan turut menjadikan waktu pagi sebagai waktu terbaik untuk menyambut hari baru. Seperti yang sering ditamsilkan dalam pepatah inggeris,

“The early bird catches the worm”.

Banyak yang boleh ditulis tentang keistimewaan waktu pagi. Bermula dengan saranan agama kita sendiri menerusi al-Quran,

أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ لِدُلُوكِ ٱلشَّمۡسِ إِلَىٰ غَسَقِ ٱلَّيۡلِ وَقُرۡءَانَ ٱلۡفَجۡرِۖ إِنَّ قُرۡءَانَ ٱلۡفَجۡرِ كَانَ مَشۡهُودٗا

78. Dirikanlah solat dari sesudah gelincir matahari sampai gelap malam dan (dirikanlah pula solat) subuh. Sesungguhnya solat subuh itu disaksikan (oleh malaikat)

Seterusnya petunjuk nabawi, seperti yang terkandung dalam sebuah hadith riwayat Abu Dawud dan Tirmizi yang menilainya Hasan, Rasulullah mendoakan umatnya dengan lafaz,

اللهم بارك لأمتي في بكورها

“Ya Allah berkatilah umatku di pagi hari mereka.”

Sehinggalah kepada rutin pagi tokoh-tokoh yang diiktiraf dunia. Antaranya CEO Apple Tim Cook, bekas wanita pertama Amerika Syarikat Michelle Obama, pengerusi Virgin Group Richard Branson dan beberapa lagi figur terkemuka.

Media melaporkan tokoh-tokoh ini bangun awal setiap hari dan memanfaatkan waktu pagi mereka dengan cara paling optimum.

Namun realiti yang kita lihat hari ini nyata berbeza. Waktu pagi seakan telah disinonimkan sebagai waktu untuk menyambung tidur.

img_2586

Di kebanyakkan masjid atau surau, waktu subuh merupakan antara waktu paling sedikit bilangan jemaah yang hadir. Seringkali waktu mula mesyuarat, waktu bertolak pengangkutan sesuatu program, atau waktu mula sesebuah program di sebelah pagi terpaksa dilewatkan akibat kesukaran peserta untuk hadir awal.

Saya masih ingat kepada gurauan seorang teman sewaktu mengikuti daurah ilmiah musim panas di Kota Tarim, Hadramaut. Kata teman saya, “Jika Amerika Syarikat atau Israel ingin menyerang Yaman, waktu terbaik untuk melancarkan serangan ialah pada waktu pagi selepas subuh kerana saat itu semua penduduk Yaman sedang nyenyak tidur,”

Jari jemari yang terus menekan papan kekunci, akhirnya menggerakkan saya untuk mengulas sebuah lagu yang menyentuh tema ini dengan baik. Lagu ini berjudul Tika Dinihari, nyanyian kumpulan Devotees.

Oh Tuhanku
Tiada indah di malam yang hening
melainkan dengan bermunajat kepada-Mu
tiada indah suatu hari yang aku lalui
kecuali dengan patuh kepada-Mu

Rangkap awal lagu ini memilih keheningan sebagai latar. Keheningan sering difahami sebagai ketenangan, iaitu sebuah state of mind yang didamba ramai manusia.

alkahfi

Disebabkan itu, orang yang mahu menutup harinya dengan ketenangan perlu melihat kembali bagaimana cara dia melalui hari tersebut sejak pagi. Hari yang dilalui dengan aktiviti bermanfaat, baik kepada diri sendiri atau orang lain, akan memberikan kepuasan dalaman yang luar biasa kepada diri seseorang walau seletih apa pun dirinya setelah pulang ke rumah.

Dan hari yang dilalui seseorang dengan penuh ketaqwaan dan ketaatan kepada Allah, akan menguatkan jiwa rohaninya untuk istiqamah mengerjakan kebaikan pada esok hari.

Manusia baik menurut Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas ialah,

“… manusia beradab yakni orang yang insaf sepenuhnya akan tanggungjawab dirinya kepada Tuhan yang Hak; memahami dan menyelenggarakan penunaian keadilan terhadap dirinya dan diri-diri lain dalam masyarakatnya; yang terus berupaya meningkatkan setiap aspek dalam dirinya menuju kesempurnaan sebagai insan adabi,”

Saya teringat kisah Ustaz Khairi, bagaimana ketika zaman beliau menuntut di Mesir dahulu, ustaz akan sentiasa berusaha bangun pagi lebih awal daripada waktu ibu bapanya bangun tidur di Malaysia.

Ustaz Khairi berasal dari keluarga sederhana dan berpendapatan kecil. Pengajian ustaz di Mesir ditanggung keluarga hasil jualan kuih-muih oleh ibu bapa ustaz di kampung. Menurut ustaz, ibu bapanya akan bangun seawal sekitar jam 3 ke 4 pagi setiap hari untuk membuat kuih-muih.

Maka ustaz berasa malu untuk tidur lebih lama dari waktu tersebut, sedang ibu-bapa ustaz di kampung yang bersusah-payah mengumpul wang untuk dihantar kepada ustaz setiap bulan, hanya tidur beberapa jam sahaja dan bangun awal setiap pagi.

(Ustaz dalam kisah di atas merujuk kepada ucapan Allahyarham Ustaz Mohd Khairi Zainuddin, pengasas SRII Tahfiz Darul Ulum Negeri Sembilan dalam sebuah program bersama pelajar Malaysia di Jordan. Semoga Allah mencucuri rahmat kepada allahyarham ustaz yang telah pulang ke rahmatullah baru-baru ini.)

Oh Tuhanku
tiada indah hidup di dunia
melainkan berzikir dan menyebut nama-Mu
tiada indah tiba di akhirat yang abadi
kecuali dengan keampunan-Mu

Rangkap kedua mengajak kita melihat dunia dengan pandangan akhirat. Zikir seperti yang difahami sebahagian orang sebagai perbuatan membilang biji tasbih semata-mata perlu diluaskan maknanya kepada setiap perbuatan yang membawa kepada hadirnya Tuhan dalam akal sedar seorang insan.

zikir-tesbih

Solat adalah zikir, bekerja dengan amanah adalah zikir, belajar dengan bersungguh adalah zikir, memenuhi tanggungjawab kepada keluarga adalah zikir, membantu saudara adalah zikir, dan sebagainya.

Seperti pesan Buya Hamka yang meletakkan tiga perkara yang sering dirindukan oleh orang berakal :

1. Mencari kelazatan buat jiwa
2. Menyelidik erti kehidupan
3. Menyedia bekal untuk hari kemudian

Terdapat sebuah ungkapan Melayu yang cuba menangkap tujuan dan makna kehidupan seseorang insan. “Hidup berakal, mati beriman.”

Ungkapan ini bermakna kehidupan kita di dunia ini perlu dilalui dengan hikmah akal yang bijaksana, dan kehidupan selepas kematian itu pula mesti disertakan dengan iman supaya kenikmatan dan kebahagian di akhirat itu dapat diperolehi.

Ya Allah Tuhanku
yang merubah kalbu
tetapkanlah hatiku
moga sentiasa dalam agama-Mu
jua taat akan perintah-Mu

Rangkap ini merakamkan rasa syahdu manusia, sebagai makhluk yang sering ditimpa keluh kesah dan berbolak hati dalam membuat keputusan.

Akhir zaman menyaksikan, kita dilingkungi pelbagai krisis yang menyerang tanpa amaran, menyanggah tanpa kasihan. Krisis ekonomi, krisis kepimpinan, krisis keilmuan, krisis akhlak, krisis iman dan pelbagai lagi. Iman berbolak balik, mengubah pendirian sebelah pagi setelah tiba waktu petang, dan mengubah pendirian sebelah petang setelah tiba waktu pagi.

Kerana itulah dalam dunia serba gila, antara ubat paling mujarab ialah kembali kepada aturan hidup berpaksikan agama. Tanpa memandang rendah kemampuan akal mendepani cabaran zaman, pegangan teguh kepada pandangan sarwajagat Islam juga amat perlu dititikberatkan.

Tuhan
usah bebankan kami
dengan bebanan yang berat
seperti yang pernah Kau berikan
kepada umat yang terdahulu dari kami

Tuhan
jangan pikulkan kami
yang tidak kami terdaya
maafkan salah kesilapan
ampunkanlah dosa-dosa
rahmatilah kami

Dua rangkap akhir ini sebenarnya merupakan terjemahan kepada ayat terakhir surah al-Baqarah.

رَبَّنَا وَلَا تَحْمِلْ عَلَيْنَآ إِصْرًا كَمَا حَمَلْتَهُۥ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِنَا ۚ رَبَّنَا وَلَا تُحَمِّلْنَا مَا لَا طَاقَةَ لَنَا بِهِۦ ۖ وَٱعْفُ عَنَّا وَٱغْفِرْ لَنَا وَٱرْحَمْنَآ ۚ

286. Wahai Tuhan kami ! Janganlah Engkau bebankan kepada kami bebanan yang berat sebagaimana yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang kami tidak terdaya memikulnya. Dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami.

lighten-the-load-large

Ujian yang menimpa manusia berbeza tahap dan jenisnya. Antara contoh yang sering kita temukan, seorang pelajar diuji dengan kemampuan akalnya memahami pelajaran dan ujian dalam peperiksaan, manakala seorang guru atau pensyarah diuji dengan teknik pengajaran dan skilnya mendidik anak murid yang berbagai ragam.

Orang bujang lain bentuk ujiannya, orang sudah berkahwin berdepan ujian lain pula.

Ketenangan hakiki yang dicari oleh ramai manusia menurut saya terangkum kemas dalam dua rangkap ini. Selaku hamba yang menyedari dirinya tidak memiliki apa-apa secara hakikatnya, hubungan kita dengan Tuhan perlu sentiasa diikat dengan tali khauf (takut) dan raja’ (harap).

Bagi saya, lagu ini selain enak dihalwa telinga, tersirat di dalamnya saranan tuntas supaya kita memulakan hari dengan memohon kekuatan menghadapi ujian kehidupan. Dan tidak ada waktu yang lebih baik untuk melakukannya, selain bangun bermunajat di pagi hari. 

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply