Menahan Kemarahan dan Sabar Memaafkan

0
29
views

Menahan Kemarahan

 

Menahan Kemarahan Dan Sabar Memaafkan

Dari Ibnu Amru ra. :

“Bahawasanya dia telah bertanya kepada Rasulullah SAW: ‘Apa yang mencegahku  dari kemurkaan Allah SWT?’ Baginda menjawab: ‘Jangan marah’.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, dinilai Hasan oleh Albani)

Ada orang menganggap sabar itu berdiam diri tanpa melakukan apa-apa. Bagi sesetengah yang lain, mereka bersabar apabila menghadapi gangguan daripada orang lain. Menahan diri daripada membalas semula. Semua itu termasuk sebagai sabar.

Sabar punya pengertian yang luas. Ada sabar dalam perjuangan melakukan perintah. Ada sabar dalam perjuangan melawan sikap malas, penakut, kedekut dan bacul. Perjuangan itu memerlukan kesabaran. Manakala kesabaran itu pula memerlukan kekuatan. Termasuk di dalam tuntutan kesabaran adalah bersabar dan memaafkan orang yang melakukan perbuatan kasar kepada kita.

Memaafkan adalah perbuatan berbudi. Allah suka kepada orang yang berbuat baik. Malah, sikap mulia ini digalakkan ketika kita punya kuasa dan kemampuan untuk membalas semula perbuatan orang lain.

Tapi, jika kita memilih untuk memaafkan, sungguh ia benar-benar termasuk dalam perkara yang amat dipandang baik.

Firman Allah Taala di dalam surah Ali ‘Imran, ayat 134 yang bermaksud:

“Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.”

Allah benar-benar mengasihi orang yang mampu memaafkan kesalahan orang lain. Ketika orang lain melakukan perkara yang tidak kita sukai dan ketika hati kita terlukan kerana mereka, kita mengambil pendekatan untuk memaafkannya. Percayalah, sesungguhnya ia termasuk di dalam akhlak berbudi dan terpuji kepada orang lain.

Berbudi tidak semestinya memerlukan kita untuk menjamu makanan kepada orang lain. Memaafkan perbuatan ornag lain itu sudah termasuk sebagai perbuatan terpuji. Apatah lagi kemaafan itu diberikan ketika kita mampu untuk membalas semua perbuatan mereka.

Tambahan pula ada sesetengah daripada kita merupakan orang yang berpangkat dan punya pengaruh besar. Yakinlah ketika kita memilih untuk tidak membalas sebaliknya menghulurkan pula kemaafan, sebenarnya kita telah melakukan perbuatan yang berbudi. Inilah sifat yang Allah amat sukai pada seorang hamba.

Bagaimanapun, andai kemaafan yang kita berikan tidak dihargai dan orang yang diberi kemaafan pula menganggapnya sebagai tanda kita adalah penakut, bacul dan sebagainya, ketika itu kemaafan yang diberikan sudah tidak dianggap merendah diri. Tapi, ia telah menjadi perbuatan menghina diri sendiri.

Natijah perbuatan menghina diri sendiri adalah tidak baik dan bukan contoh yang terpuji. Ingat, kita punya maruah dan harga diri. Kemaafan yang diberikan adalah tanda kita memiliki jiwa yang besar, bukannya tanda kita seorang yang bacul dan penakut. Setiap individu itu ada kekuatan tersendiri. Maka tonjolkanlah kelebihan itu.

Penulis : Muhammad Fadli Firdaus

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply