Menelusuri Sejarah Tariq bin Ziyad di Giblatar, Sepanyol

0
650
views

Aku sedikit lega apabila backpack yang digalas tadi sudah dilepaskan dari bahu. Dapat sekejap aku melepas lelah.

Aku letak sebentar di dalam masjid dengan harapan tiada siapa yang mengusiknya. Tawakal yang menggunung tinggi. Aku ambil angin sebentar di luar masjid.

Kebetulan masjid ini berada di tepi laut. Bayu malam semakin kencang menghembus. Kini masuk hari ke-13 permusafiranku.

Aku berjalan-jalan sebentar sementara menunggu waktu maghrib. Tidak jauh dari situ terdapat sebuah rumah api yang tidak diketahui sama ada masih berfungsi atau tidak.

Aku memajukan langkah sehingga sampai ke bangunan tersebut. Ternyata ia berada di titik hujung tanah Gibraltar ini.

Kawasan ini dikenali sebagai Europa Point disebabkan kedudukannya terletak di penghujung benua Eropah. Hanyalah Selat Gibraltar yang memisahkan Semenanjung Iberia ini dengan bumi Maghribi.

Ia merupakan antara titik penghujung yang terpenting dan mempunyai sejarah yang panjang walaupun tidak ditandakan di dalam peta.

Apatah lagi kita sebagai umat Islam, ada sesuatu yang berkait dengan kita. Dari kejauhan aku dapat lihat kerlipan lampu-lampu. Sepertinya bumi Maghribi, atau nama modennya Morocco tidak terlalu jauh dari sini.

Tiba-tiba azan maghrib berkumandang. Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Gambar Masjid Ibrahim Al-Ibrahim di Gibraltar yang terletak di penghujung benua Eropah

***

Dari jauh kelihatan beberapa buah kapal sedang berlayar di selat ini menuju ke daratan Iberia. Seolah-olah satu armada tentera telah siap untuk menakluk bumi Hispania ini.

Tanggal 29 April 711 Masihi ini menjadi saksi berlabuhnya armada kapal pimpinan Tariq Bin Ziyad di bumi Gibraltar. Selepas mendarat, panglima tersebut bersuara lantang di hadapan bala tenteranya,

“Oh, pahlawanku! Ke mana anda mahu melarikan diri? Di belakang anda ialah laut, di hadapan  anda ialah musuh. Anda telah meninggalkan tempat anda, kini hanya harapan keberanian dan kesabaran anda yang tinggal.”

Dengan kekuatan kira-kira 7000 tentera berkuda, armada Tariq Bin Ziyad terus mara menawan satu-persatu tanah Hispania. Sehingga akhirnya Roderic, Raja Visigothic Hispania sendiri tumpas.

Maka berakhirlah pemerintahan Visigothic Hispania di sini. Bermulanya lembaran baru bagi rakyat Hispania di bawah penguasa yang baru. Tariq Bin Ziyad diangkat dan Islam mula menapak di bumi Hispania.

Al-Andalus, juga dikenali sebagai Muslim Hispania atau Muslim Iberia tumbuh sebagai empayar baru di bumi Eropah.

Empayar Umayyah Cordoba ini berjaya membuka kota sampai ke Tours di bumi Perancis. Setelah lebih 300 tahun memerintah, empayar Umayyah Cordoba berjaya menguasai hampir keseluruhan Semenanjung Iberia.

Walau bagaimanapun, kekuatan Umayyah semakin lama semakin melemah sehinggalah tumbang pada tahun 1031 Masihi. Namun, kejatuhan Umayyah ini diganti dengan kerajaan-kerajaan kecil yang terus menyambung tamadun Islam di bumi Andalus.

***

Giblatar aatau Jabal Tariq

“Pelabuhan yang kamu lihat tadi tu ialah Ceuta. Ceuta tu merupakan tanah Sepanyol di bumi Afrika. Jauh sikit ke kanan barulah pelabuhan Tangier kepunyaan Morocco,” jelas Ammu Muhammad bersemangat.

Aku mendengar dengan ralit sambil menikmati juadah yang terhidang di hadapanku. Roti berlaukkan ayam merupakan makanan harian orang Morocco.

Rezeki Allah itu sangat luas. Daripada aku yang mungkin hidup bergelandangan malam ini, akhirnya menjadi seorang tetamu warga tempatan.

Malah siap disediakan makan malam yang bagiku dikira mewah untuk dinikmati sewatu permusafiran ini.

Kebiasaannya, aku hanya mengalas perut dengan keropok atau biskut yang dibawa sebagai bekal.

Alhamdulillah atas segalanya.

Aku bertemu Ammu Muhammad di masjid Ibrahim al-Ibrahim tadi.

Mendengarkan perancangan asalku yang hanya mahu tidur di stesen keretapi untuk menunggu keretapi esok, beliau menghalang dan mengajakku untuk tidur di rumahnya. Katanya, keadaan di stesen keretapi Algeciras yang terletak di bahagian Sepanyol itu sangat bahaya pada waktu malam.

Aku berkemungkinan dicuri atau di apa-apakan. Tidak sangka beliau prihatin terhadapku walaupun aku hanya  manusia asing yang baru dikenalinya. Indah sungguh ukhuwah Islamiah ini.

Sepanjang aku berkelana di bumi Tuhan ini, aku dapat merasai kemanisan persaudaran atas nama Islam itu.

Cerita ini hanyalah satu daripada banyak lagi episod ukhuwah yang pernah aku alami sebelum ini.

“Gibraltar ini berasal daripada perkataan arab Jabal Toriq yang merujuk kepada kawasan bukit yang menjadi tempat pertama berlabuhnya armada Toriq Bin Ziyad. Manakala Algeciras yang akan kamu pergi esok berasal daripada perkataan arab al-Jaziratul Khadra yang membawa maksud pulau yang mempunyai tanah yang hijau,” sambung Ammu Muhammad lagi.

Dalam kalangan ahli sejarah berbeza pandangan sama ada tempat yang sekarang bernama Gibraltar atau Algeciras yang menjadi tempat pertama berlabuhnya armada Toriq Bin Ziyad.

Walau bagaimanapun, kedua-dua tempat ini hanya bersebelahan.

Aku ralit mendengar omongan Ammu Muhammad sambil menikmati juadah yang tersedia. Aku sentiasa membayangkan bahawa aku sedang mendengar cerita daripada seseorang berkenaan kepahlawanan nenek moyangnya.

Walaupun beliau tidak menyebut secara literal bahawa kisah tersebut berkenaan nenek moyangnya, tetapi aku sendiri memahaminya. Ammu berasal dari Morocco dan berhijrah ke Gibraltar kira-kira 30 tahun lepas demi mencari sesuap nasi.

Kini beliau sudah menjadi warga Gibraltar. Manakala Gibraltar pula merupakan wilayah Islam Andalus sebelum dirampas semula oleh Sepanyol. Sekarang negara ini merupakan sebahagian dari Britain yang menguasainya kira-kira 300 tahun lepas.

Tepat jam 10 malam aku melelapkan mata. Esok perlu bangun awal untuk ikut solat Subuh di Masjid lain yang bernama Masjid Toriq Bin Ziyad. Usai Subuh aku perlu bergegas ke stesen keretapi Algeciras untuk menuju ke destinasi seterusnya.

Granada.

Abdullah Al-Bantinji
Kuliah Perubatan,
Universiti Al-Azhar

 

Sumber : ikrammesir.org

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply