Mengenal Islam Di Bumi Khatolik

0
3
views

Mengenal Islam Di Bumi Khatolik

Mengenal Islam Di Bumi KhatolikMengenal Islam Di Bumi Khatolik | Brandenburger Tor, Berliner Mauer, Neuschwanstein. Inilah nama-nama yang pernah saya rasakan gah ketika di bangku sekolah menengah dahulu. Kerana setiap pelajar di wajipkan mengambil salah satu pelajaran bahasa asing,saya memilih untuk mempelajari bahasa Jerman. Ketika itu tidak pernah terlintas di hati bahawa saya akan bergelar pelajar di salah sebuah negara Eropah yang terkenal itu.

Keinginan untuk bergelar pelajar lepasan luar negara mendorong saya untuk memilih bidang kejuruteraan sebagai batu lonjatan untuk menyambung pengajian di Jerman. Selepas 2 tahun setengah berhempas pulas menghabiskan A-Level di Malaysia dan berhadapan dengan kegagalan untuk lulus DSH (salah satu ujian bahasa jerman), Allah memberi lagi peluang untuk saya menyambung impian saya.Tahun 2008-Kali pertama meninggalkan Malaysia untuk satu destinasi yang jauh. Dan siapa sangka,teman yang duduk di sebelah saya ketika perjalanan 12 jam itu, menjadi sahabat dakwah dan tarbiyah saya sepanjang di bumi Jerman.

Sebelum berangkat ke Jerman,telinga saya sering saja di sajikan dengan perihal solat di bawah tangga,waktu solat berbeza,kesukaran mencari makanan halal,perspektif buruk wanita bertudung dan lain-lain lagi. Bila menjejakkan kaki di sana, semua sajian menjadi santapan. Walaupun waktu itu baru jam 6 pagi, senior yang datang menjemput kami memaksa kami supaya segera bersolat di tepi tangga yang kosong kerana waktu subuh hampir habis.

Dilemma pelajar di negara empat musim,waktu siang akan panjang ketika di musim panas. Ketika itu saya dan rakan-rakan kalut dan bergegas untuk mengambil wudhuk di tandas sehingga di marah oleh makcik yang bertugas di situ kerana mengotorkan lantai tandas.Mana mungkin mengambil wudhuk tanpa air memercik? Itulah ujian pertama.

Setelah hampir 4 tahun di sini, alah bisa tegal biasa.Dipandang pelik ketika mengambil wudhuk mahupun ketika bersolat,bukan lagi sesuatu yang janggal. Dan di sini jugalah hati saya merindui sesuatu yang saya tidak pernah sangka akan terjadi-Laungan azan! Jangankan panggilan solat,bacaan Al-quran juga sekadar bergantung pada Software di Komputer masing-masing. Di sini juga saya saya belajar perkara yang baru iaitu Usrah Online.

Pelajar jerman tidak seperti pelajar-pelajar di negara lain. Kami tidak di tempatkan di universiti yang sama sebaliknya bergantung pada kuota dan kos pengajian yang diambil. DBL atau sitting darat bukanlah suatu pilihan untuk kami di sini.Nasib saya baik kerana saya di temani  4 sahabat perempuan yang lain. Sedikit sebanyak terubat juga rindu untuk berbual dalam bahasa melayu sambil menikmati nasi lemak.

Sekadar bersitting online membuatkan hati saya agak lambat untuk hanyut dengan alunan tilawah Al-Quran dan pengisian tazkirah ketika usrah. Tangan tetap ligat menekan link-link online yang lebih tertarik berbanding kusyuk mendengan pengisian naqibah. Namun berkat pertolongan Allah,usaha tanpa putus asas serta doa kakak-kakak usrah dan teman-teman, hati mula memberi konsentrasi setiap kali temu janji usrah di adakan.

Tugasan-tugasan yang dahulu saya rasakan paksaan dan berat kini menjadi rutin mingguan yang di nanti-nanti. Di pertemuan maya ini juga saya belajar tentang berkhuf,solat jama‘ di musim panas, kod makanan-makanan syubhah dan banyak lagi.ini Di saat ini juga saya rasakan betapa sukar untuk mencari ilmu Islam yang syumul di negara barat.

Futur itu pula tidak bermusim. Sekali sekala ujian homesick,kesukaran berkomunikasi kerana berlainan bahasa,peperiksaan yang susah datang bersilih ganti. Di sinilah mujahadah saya sebagai seorang pelajar muslim di uji. Walau kadang-kala tersungkur, namun berkat kasih sayang Allah,dibekalkan saya sahabat yang sentiasa disisi. Merekalah keluarga saya di Jerman.

Usrah Online itu tidak cukup,itulah yang sering di ulang oleh naqibah kami. Acapkali daurah bulanan menjadi salah satu qadaya usrah.Bila dan dimana adalah soalan ruji. Perbincangan daurah perlu di adakan seawal 2 bulan kerana lokaliti yang berasingan dan perbelanjaan yang tinggi. Setelah tempat dan masa di tentukan,kami akan sedaya upaya mengosongkan tarikh berkenaan dan paling penting-membeli tiket ke destinasi daurah!.Bukankah saya katakan,kami duduk berjauhan?

Walau perjalanan memakan masa 6 7 jam meggunakan schones wochenende(tiket hujung minggu ) keretapi mahupun mitfahrer(car pool), tidak mematahkan semangat kami untuk bertemu akhwat dari serata jerman. Saya sendiri mengenal usrah-mate saya dengan menempuh perjalanan sejauh ini.Bukahkah salah satu pengerat ukhwah adalah bermusafir bersama? Dan pastinya daurah sekadar di hujung minggu tidak cukup bagi kami.

Dengan adanya daurah-daurah ini, saya belajar untuk berkomunikasi dengan pakcik-pakcik turki,Arab yang menguruskan masjid(untuk kegunaan daurah) di sini, berbual dengan mereka yang berlainan bahasa dan budaya,bersarapan dengan makanan tradisi masyarakat lain dan sebagainya. Disinilah saya belajar erti sebenar Uhibukki filah. Persaudaraan Islam yang sebenar tanpa mengira rupa,warna dan bangsa.

Terlintas di fikiran saya bagaimana saya dan rakan-rakan saya diraikan oleh sebuah keluarga turki ketika beriftar di rumah mereka pada ramadhan tahun lepas. Kami di sajikan dengan perbagai juadah hingga masing-masing pulang ke rumah dengan kekenyangan. Malah di Negara minoriti islam inilah saya lihat bagaimana budaya memberi salam menjadi darah daging umat islam di sini.Walau sekadar bertembung mata di dalam bas mahupun ketika membeli-belah,ucapan Assalamualaikum akan hadir dengan senyuman di bibir.

Seperti yang diterangkan dalam risalah Riyadus Solihin,yakni pentingnya sifat bersederhana dalam kehidupan seharian,saya diberi kesempatan untuk melihat peribadi muslim ini di zahirkan penduduk negara Jerman yang rata-ratanya beragama Katholik. Tanpa mengira gelaran ‘Boss’, CEO atau Manager yang di sandang,mereka tetap bersahaja menaiki basikal ke tempat kerja.Bukan menaiki BWM,Mini Cooper,Mercedes Benz walhal mereka sendiri pengeluar kereta-kereta berjenama itu.

Malah boleh saya katakan,setiap pagi saya akan berhimpit-himpit dengan Professor saya di dalam bas! Sekali sekala saya akan bertembung dengan orang-orang besar di bandar saya yang tidak segan silu untuk duduk makan di cafe kecil kami. Betapa dapat saya rasakan mereka merendah diri dengan kelebihan yang diberi pada mereka.

Begitu banyak ibrah yang saya belajar di sini. Moga-moga kesusahan dan pengalaman ketika menyarung baju muslimah di Jerman ini menjadikan saya semakin izzah dengan Islam dan lebih berhimmah untuk memartabatkan ia di negara saya sendiri InsyaAllah.

 

Farafisyah

Pelajar kejuruteraan proses di Hochschule Osnabreuck,Germany

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply