Mengenang Bakti Negarawan Ulung, Tun Abdul Razak – Sultan Nazrin Shah

0
705
views

BERIKUT adalah teks penuh ucapan Sultan Nazrin Shah pada majlis pelancaran buku “Fulfilling a Legacy- Tun Razak Foundation” di Kuala Lumpur pada 29 Ogos 2017.

Firman Allah Subhanahu wata’ala dalam ayat 35 Surah Al-Anbiya bermaksud:

“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”

2. Pada 14 Januari 1976, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein, menghembus nafas terakhir di London ketika berusia 53 tahun.

Seorang isteri kehilangan suami, lima orang anak kehilangan bapa, rakyat kehilangan pemimpin, dan Malaysia kehilangan seorang negarawan yang kaya dengan sifat-sifat keinsanan.

3. Tun Abdul Razak (Allahyarham) menerima tanggungjawab Perdana Menteri Kedua Malaysia pada 22 September 1970; bekerja dengan segala keikhlasan dan penuh dedikasi selama tempoh memegang amanah tersebut.

Tanggungjawab berat tersebut diterima dalam keadaan negara sedang berhadapan lima senario berikut:

Pertama:

Negara berada dalam inkubator pemulihan politik, setelah berlaku peristiwa hitam perselisihan kaum pada 13 Mei 1969.

Parlimen digantung, Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan untuk memberi ruang kepada negara memikirkan formula perimbangan politik yang lebih sesuai diguna pakai, dalam sebuah negara yang warganya begitu pelbagai, sarat dengan isu-isu sensitif menyentuh agama, kaum, budaya dan bahasa.

Kedua:

Parti politik yang dianggotai dan dipertanggungjawabkan kepimpinan kepadanya, Umno dan Perikatan serta barisan pemimpin Umno dan Perikatan menghadapi defisit keyakinan yang besar, ketara semakin pupus sokongan rakyat apabila hilang majoriti dua pertiga dalam Pilihanraya Umum Ketiga yang berlangsung pada 10 Mei 1969.

Ketiga:

Orang Melayu dan bumiputera yang paling didiskriminasikan pada era pentadbiran Kolonial Inggeris, sedang dalam mood membantah dan memberontak, kerana kemerdekaan negara tidak memberi makna kepada mereka yang majoriti hidup kais pagi-makan pagi, bagaikan itik haus di air – bagaikan ayam lapar di kepuk.

Rata-rata orang Melayu dan bumiputera kecewa kerana merasakan tidak ada kesungguhan kerajaan membela nasib mereka dan melaksanakan langkah untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, menurut yang termaktub di dalam Perkara 152 dan Perkara 153 Perlembagaan.

Keempat:

Kawasan penempatan majoriti orang Melayu dan bumiputera di luar bandar dari segi pembangunan infrastruktur, jalan raya, bekalan elektrik dan air bersih dirawat, serta kemudahan-kemudahan sosial berada pada taraf minimum.

Kelima:

Kemudahan pendidikan terutama institusi pengajian tinggi masih terbatas. Negara hanya mempunyai dua buah universiti, di samping Institut Teknologi Mara, Maktab Pertanian Serdang, Maktab Teknik Kuala Lumpur dan beberapa buah Maktab Perguruan.

4. Ketika menghembus nafas terakhir, pada perkiraan zahirnya, Tun Abdul Razak berada di kerusi perdana menteri selama 1,941 hari; satu tempoh masa yang tidak lama, namun telah meninggalkan kesan berkekalan dalam minda warga, dan kekal terpahat dalam sejarah negara.

Apakah legasi yang ditinggalkan oleh Tun Abdul Razak kepada negara bangsanya ketika menghembus nafas terakhir?

Pertama:

Ahli Majlis Gerakan Negara (Mageran)

Mageran telah dibubarkan, Parlimen berfungsi semula pada tahun 1972, kuasa memilih kerajaan dikembalikan kepada rakyat.

Kedua:

Mengembalikan keyakinan dan sokongan rakyat kepada pemimpin dan parti Umno serta gabungan politik baru yang diperkenalkan dengan nama Barisan Nasional, terserlah mendapat sokongan majoriti besar rakyat dalam Pilihanraya Umum 1974.

Pimpinan Umno turut disuntik dengan barisan pelapis, tenaga muda lagi dinamik daripada kalangan yang lebih terpelajar, antara mereka, Tengku Razaleigh Hamzah, Dr. Mahathir Mohamad, Musa Hitam, Ghazali Shafie, Tengku Ahmad Rithauddeen, Mokhtar Hashim, Rais Yatim, Abdullah Ahmad, Rafidah Aziz dan Marina Yusoff.

Ketiga:

Orang Melayu dan bumiputera diberikan kepercayaan untuk memimpin pelbagai organisasi kerajaan, badan-badan korporat serta swasta dan mereka berjaya membuktikan keupayaan menggalas tanggungjawab mencabar, lalu menyuntik keyakinan dan kebanggaan baharu dalam minda bangsa.

Keempat:

KUALA LUMPUR, 13 Jan — Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein (waktu itu Timbalan Perdana Menteri) berjalan di atas batas sawah padi semasa melawat Kampung Sengkala, Raub, Pahang pada 17 Ogos 1961.
–fotoBERNAMA (2016) HAK CIPTA TERPELIHARA

Konsep BANDARISASI, ia itu membandarkan kawasan desa dilaksanakan dan diutamakan, dengan membangunkan pelbagai infrastruktur di luar bandar merangkumi sistem perairan dan perparitan, jalan raya, sekolah, klinik kesihatan desa, bekalan elektrik dan air dirawat serta rancangan pembukaan tanah berskala besar yang melaksanakan kaedah pertanian ladang yang lebih moden; Felda begitu sinonim dengan Tun Abdul Razak.

Felda bukan sahaja memperkenalkan budaya pertanian moden di kalangan peneroka, tetapi kemudahan pendidikan yang disediakan di kawasan Felda telah secara langsung membantu membangunkan modal intelek dan modal budaya anak-anak peneroka, yang kemudiannya membekalkan ramai tenaga profesional di dalam pelbagai sektor.

Kelima:

Memperbanyakkan kemudahan pendidikan di pelbagai peringkat dengan membina sekolah di serata negara, menambah bilangan sekolah berasrama penuh, begitu juga Maktab, Kolej dan Universiti.

Maktab Pertanian Serdang dan Maktab Teknik Kuala Lumpur dinaikkan ke taraf Universiti, Institut Teknologi Mara (ITM) diperluaskan dengan pelbagai kursus profesional dan pengambilan bilangan pelajar yang lebih ramai.

Universiti Kebangsaan yang ditubuhkan pada tahun 1972, mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu di peringkat pengajian tinggi.

5. Di samping lima legasi utama yang ditinggalkan secara tersurat oleh Tun Abdul Razak, tersirat dua elemen yang mencerminkan nilai-nilai keinsanan dan roh Islam yang amat wajib diselami dan dihayati.

Pertama:

Sifat tidak tamak kepada kuasa, terbukti dengan kesediaan mengembalikan kuasa kepada rakyat serta kesediaan mahu menyerahkan kuasa secepat mungkin kepada barisan pengganti dengan memberikan amanah, tanggungjawab dan kepercayaan kepada tenaga muda dan barisan pelapis baik di dalam parti, di dalam kerajaan dan di dalam pentadbiran.

Kedua:

Sifat-sifat amanah dan jujur, dijelmakan dengan amalan pentadbiran yang telus dan berintegriti; sangat berhati-hati membelanjakan wang negara, sangat teliti memastikan wang negara tidak disalah belanjakan untuk diri dan keluarga; bertegas membayar balik setiap sen wang negara walaupun harga sebotol minyak rambut atau sebatang berus gigi keperluan peribadi, yang mungkin kakitangan beliau terlepas pandang, telah tersalah guna wang pejabat untuk membelinya semasa bertugas di luar negara.

6.Semasa hayatnya, Tun Abdul Razak tidak mempamerkan secara zahir imej seorang yang warak.

Perkataan dan perbuatannya, amar makruf yang dilakukannya tidak dipamerkan secara riak untuk menjadi tontonan umum.

Ucapan-ucapannya begitu bersahaja, jarang-jarang disuratkan dengan petikan ayat-ayat Quran dan Hadis.

Namun, sifat-sifat amanah, jujur dan telusnya, nyata mencerminkan sifat seorang insan yang memiliki keimanan tinggi, menghayati jiwa hamba yang insaf akan akauntabiliti kepada Penciptanya. Tun Abdul Razak menginsafi, bahawa setiap yang dilakukan di dunia ini, tidak dapat berselindung daripada Allah Subhanahu wata’ala

7. Hasrat dan usaha untuk membela nasib rakyat, di dokong secara bersama, dalam semangat berpasukan, dengan barisan pentadbir dan teknokrat yang digalakkan mengamal budaya jujur, tegas serta berani menyuarakan fakta dan kebenaran, selaras dengan pendirian yang terkandung dalam amanat beliau bertemakan “ROAD TO NATIONHOOD;”

“As civil servants, I hope you will stand up to us politicians, and not allow yourselves to be dominated by us. Because in a true democracy, the civil servants have a duty to perform. The future of our country’s democratic way of life is dependent on you”

Pada lembaran pembukaan ‘Fulfilling a Legacy’ dicatatkan antara visi beliau seperti berikut:

“Its important in a democratic society that the government is always exposed to public opinion and feeling. Any government will not be tolerated unless it represents the hearts and minds of the people.”

8. Sikap terbuka, dan kesediaan menerima nasihat yang betul walau sekecil mana pun, digambarkan dalam halaman 28 penerbitan ini, apabila Tun Abdul Razak bersedia berpatah balik daripada hasrat mahu memandu kereta secara bersendirian bersama keluarga di Kuala Lumpur, dan ketika di Bangkok, terpaksa meminta Ketua Menteri Sabah Donald Stephens menaiki teksi, disebabkan juruiringnya Hanif Omar, bertegas memegang pintu kereta, tidak membenarkan beliau bersama Menteri Kewangan Singapura, Goh Keng Swee dan Donald Stephens pergi ke sebuah kelab tanpa bersama juruiring.

Walaupun ketika itu, Hanif Omar, belum berjawatan tinggi dan masih berusia muda, namun dengan tegas beliau memegang pintu kereta dan mengatakan:

“Sir, you are not going anywhere without me. My instructions are to be by your side at all times.”

9.  Hanif Omar telah melaksanakan tugas seorang juruiring secara tegas lagi berani, memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan secara profesional, meski menghadapi risiko untuk dimarahi, disergah atau diarahkan bertukar.

Hanif Omar bersedia menghadapi segala kemungkinan, namun tidak akan berkompromi dalam perkara yang dianggap prinsip.

Pendirian Tun Abdul Razak menghargainya dan menghormati pandangan pegawai-pegawainya telah membolehkan personaliti-personaliti seperti Raja Mohar, Mohamed Suffian Hashim, Taib Andak, Jeneral Ibrahim Ismail, Ismail Ali, Abdullah Salleh, Abdullah Ayob, Zain Azraai, Saw Huat Lye, Chong Hong Nyan, K Pathmanaban, Raja Muhammad Alias, Tunku Shahriman, Rama Iyer, Arshad Ayub dan ramai lagi, tidak gentar menyuarakan pandangan secara berterus terang lagi jujur, yang dapat membantu beliau mendapat sebaik nasihat, sebelum membuat keputusan-keputusan penting.

Budaya dan hubungan kerja sedemikian amatlah penting lagi bermanfaat, diamalkan oleh setiap pemimpin politik dan pegawai awam. Sikap tegas, berani dan berterus terang yang diperlihatkan oleh Mohammed Hanif Omar dan rakan seangkatan beliau, sewajibnya dijadikan kompas panduan dan contoh teladan di kalangan para pentadbir di negara ini.

10.  Telah lebih 40 tahun jasad Tun Abdul Razak disemadikan di Pusara Negara. Sesungguhnya negara dan warga pada hari ini bukan sahaja kehilangan jasad seorang negarawan besar, tetapi negara dan warga lebih bimbang akan kehilangan wawasan Tun Abdul Razak untuk membina sebuah negara yang kukuh bersatu – teguh berpadu, disemai dan dipupuk melalui alam sekolah, begitu juga nilai-nilai kepimpinan yang berlandaskan amanah, pengorbanan, integriti dan akauntabiliti agar negara kekal merdeka lagi berdaulat, makmur lagi dihormati.

11. Tun Abdul Razak, andai kata masih bernafas, pastinya pada hari ini akan kecewa dan ralat melihat empat senario yang sedang berlaku di dalam negara.

Pertama: Perpaduan warga; dalam halaman awal penerbitan ini, tercatat salah satu daripada wawasan beliau:

“The future of our country depends on one important thing, that is on the unity of our people of various races.”

Sedangkan dalam keghairahan mahu mendapat sokongan, parti-parti politik pada masa ini, semakin cenderung memilih untuk menyalakan bara-bara sensasi isu agama dan isu kaum.

Kedua: Dasar Pelajaran Kebangsaan menurut yang terkandung di dalam Penyata Razak menggariskan peranan penting sekolah untuk memupuk perpaduan warga melalui aliran pengajian kebangsaan.

Hari ini, kaedah perlaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan semakin gagal memenuhi matlamat untuk sekolah dapat berperanan sebagai taman asuhan menyatupadukan warga.

Generasi muda daripada pelbagai kaum pada hari ini, yang melalui pelbagai aliran persekolahan, tidak akan mempunyai peluang untuk berinteraksi dan saling mengenali antara satu sama lain, di sebaliknya mereka membesar secara berasingan dalam kelompok kaum masing-masing.

Ketiga:  Berlaku di peringkat perlaksanaan, pelbagai gelinciran daripada landasan sebenar Dasar Ekonomi Baru, terutama penyalahgunaan peluang pembahagian kekayaan, hingga mengakibatkan berlaku ketirisan pegangan ekonomi bumiputera secara besar-besaran, bukan sahaja mencetuskan salah faham kaum bukan bumiputera yang menyifatkan dasar tersebut diskriminatif, malah kemarahan turut disuarakan dalam kalangan bumiputera.

Keempat: Rasuah dan integriti. Akan luluhlah hati Tun Abdul Razak, mengikuti pendedahan demi pendedahan, tangkapan demi tangkapan kerana perbuatan rasuah yang berlaku secara besar-besaran, melibatkan penjawat tinggi dan individu terpelajar, dengan amaun yang banyak, yang amat mencalar nama baik negara bangsa.

Kepada Allah Subhanahu Wata’ala sama-sama kita berdoa agar wawasan dan semangat pengorbanan Tun Abdul Razak tidak akan padam daripada minda dan hati warga. Semoga wawasan dan nilai-nilai murni Tun Abdul Razak dikunjungi semula, dihayati, dihidupkan dan disemarakkan dalam minda dan jiwa setiap warga Malaysia.

12. Adalah tidak lengkap dalam Majlis memperingati Tun Abdul Razak, jika kita melupakan peranan penting seorang lagi insan, yang secara mulia lagi terhormat, secara terselindung di sebalik tabir, merupakan sumber kekuatan kepada Tun Abdul Razak. Insan tersebut ialah Tun Hajah Rahah, yang telah dijodohkan dengan Tun Abdul Razak, berwatak sangat merendah diri meski bertaraf isteri kepada Timbalan Perdana Menteri pada mulanya, kemudiannya bertaraf isteri kepada Perdana Menteri. Tun Hajah Rahah melahirkan lima orang zuriat Tun Abdul Razak.

Setelah kehilangan suami, Tun Hajah Rahah mengambil sepenuh tanggungjawab membimbing dan mendidik lima orang putera Tun Abdul Razak hingga menjadi insan-insan berjaya.

13. Berdasarkan kisah-kisah yang terkandung dalam ‘Fulfilling A Legacy’, Tun Hajah Rahah sewajibnya dijadikan wanita contoh. Kepada Tun Hajah Rahah, negara dan warga turut terhutang budi kerana telah berkorban meminjamkan suami kesayangan kepada negara bangsanya.

Negara dan warga wajib mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada beliau. Tun Hajah Rahah, sudilah menerima ucapan terima kasih dan penghargaan daripada kami.

14. Semoga Tun Hajah Rahah dan keluarga terus dilimpahkan petunjuk Ilahi. Semoga roh Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein berada dalam rahmat dan ihsan Ilahi ketika berada di alam barzakh dan dipermudahkan urusan pada hari kebangkitan nanti.

Beta pohonkan segala keikhlasan untuk sama-sama kita membaca Surah Al-Fatihah, dan apa juga ganjaran yang dikurniakan Ilahi daripada bacaan tersebut, disampaikan kepada roh Allahyarham. Al-fatihah. – 29 Ogos, 2017.

Sumber Asal : Malaysian Insight

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply