Meninggalkan Ramadhan Dengan Menjadi Hamba Yang Rabbani – Syiffa Rosman

0
237
views

“Johan, jom kita pergi solat jemaah dekat masjid isyak dengan maghrib malam ni?”

“Allahu, aku ni bukan tak nak Zizan cumanya aku nak rehat lah pula seminggu dua ni. Dah sebulan Jemaah dari Subuh ke Isyak, Terawih sampai ke Iktikaf Qiyam bagai. Nak rehat kejap seminggu dua, lepas tu sambung lah solat Jemaah macam kita buat waktu Ramadhan tu.”

“Aiseyh, Johan…Tak boleh macam tu. Kita ni kena jadi hamba yang Rabbaniyyin bukan setakat Ramadhiyyin.”

“Huh? Apa tu?”

“Okay meh sini aku tunjuk satu artikel ni. Lepas tu kau boleh soal semula kalau kau masih tak faham.”

Akhirnya direzekikan untuk kita meninggalkan pulau Ramadhan setelah sebulan berlabuh di pulau Ramadhan ini.

Alhamdulillah atas rezeki yang Allah kurnia kepada kita untuk menikmati bulan yang penuh kerahmatan, bulan penuh barakah, bulan kemuliaan dan maghfirah buat kita semua.

Bulan Ramadhan turut juga dikenali sebagai bulan pesta ibadah dimana kita boleh lihat majoriti umat Islam berlumba-lumba dalam melaksanakan ibadah wajib dengan penuh tekun dan menambah ibadah-ibadah sunat yang diwariskan oleh Nabi Muhammad S.A.W kepada kita semua.

Namun begitu, secara tak sedar atas asbab terlampau ingin memburu pelbagai syafaat yang digariskan untuk setiap amalan di bulan Ramadhan termasuklah  Lailatul Qadr, ibadah seakan-akan menjadi amalan bermusim buat kita semua.

Seperti di negara empat musim, pakaian dan amalan tertentu disesuaikan mengikut musim, kita juga hampir-hampir berkelakuan seperti itu dengan tindakan kita yang hanya rajin beribadah dan mengikut syariaat Islam secara menyeluruh pada bulan Ramadhan.

Walhal, sebagai seorang Muslim kita sepatutnya faham tentang konsep ibadah dalam Islam yang tidak bermusim-musim bahkan tidak pernah cuti. Ya, tiada istilah cuti beribadah atau rehat beribadah buat seorang Muslim Sejati! Muslim sejati ibadahnya berterusan (istiqamah) walaupun sekecil-kecil zahrah.

Berterusan dalam membuat ibadah, kebaikan (amal soleh) sangat dituntut oleh Allah S.W.T. Hal ini jelas buat kita semua, jika kita menteliti Surah Al Insyirah ayat ketujuh.

“Kemudian apabila engkau (Muhammad) telah selesai daripada sesuatu amal soleh, maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha mengerjakan amal soleh yang lain.”

Ayat tersebut menggariskan panduan untuk kita semua bergegas menuju amal yang seterusnya jika kita sudah selesai dengan sesuatu amal.

Maksudnya, kitaran amal soleh dan ibadah yang kita laukakan itu dituntut untuk berkitar secara berterusan dan tidak ada langsung istilah “pause” kemudian “resume” dalam beribadah dan beramal soleh.

Paling tidak pun, sangat dituntut agar kita melatih hati kita untuk sentiasa niatkan kebaikan dalam tiap perbuatan kita agar hati kita yang mudah berbolak balik ini tak  sepi dari kebaikan. Jika sekeping hati ini dibiar sepi dari kebaikan walau sesaat, amat mudah untuk kita dicucuk oleh nafsu dan bisikan syaitan.

Sebaliknya, jika kita terus-menerus menyibukan diri dengan kebaikan akan  sukarlah untuk syaitan menembusi banteng pertahanan hati kita dan akhirnya nafsu kita juga berjaya dikawal.

Ayuh, jadilah hamba Rabbaniyyin (seseorang yang mempunyai hubungan erat dengan Allah, alim tentang agama-Nya serta mengajarkannya) yang tidak putus beribadah pada setiap masa tanpa mengira hari dan bulan.

Benar, Ramadhan adalah bulan yang sungguh istimewa tapi jadikanlah Ramadhan yang telah berlalu ini sebagai madrasah yang telah membuatkan kita berjaya bergraduasi sebagai murid yang produktif pada akhirnya.

Produktif dan proaktif dalam beribadah semata-mata demi mengejar redha Dia, Allah S.W.T.

Seandainya Ramadhan telah melatih kita untuk solat berjemaah penuh lima waktu, maka teruskanlah amal soleh tersebut dan jika Ramadhan telah berjaya membantu kita mengawal habit dan nafsu untuk kurang atau meninggalkan amalan merokok, maka berjuanglah untuk istiqamah dengan kawalan nafsu kita dari terus menjadi perokok tegar.

Andai di bulan Ramadhan kita lebih kerap mengalunkan zikir atau bertindak untuk diam dari berbicara perkara-perkara yang melalaikan, saling bergossip atau menyampaikan berita yang tidak pasti kesahihan maka teruslah menjadi si dia yang tidak lekang dengan zikir dan hanya berbicara perkara-perkara yang membina iman dan taqwa.

Begitulah yang sepatutnya kita, abid yang ibad praktikan dalam kehidupan seharian kita agar biah soleh itu dapat dibina dan tidak lagi beribadah secara bermusim-musim.

Sayonara Ramadhan 1438 Hijriah! Moga Allah S.W.T rezekikan jiwa-jiwa tandus kita ini bersua dengan Ramadhan yang seterusnya.

Jadi, adakah kita memilih untuk menjadi hamba Rabbaniyyin atau sekadar hamba Ramadhiyyin? The choice is within our action! 😉

Selamat mengejar redha Allah hingga nafas yang terakhir!

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply