Menyambut Aidilfitri Dengan Memaknai Erti Sebenar Perubahan – Ust Dr Parid Ahmad

0
129
views

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

Segala pujian kepada Allah SWT, pemilik alam semesta. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para sahabat, tabiin serta ummah yang meneruskan perjuangan membela kebenaran hingga ke hari kiamat.

Setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT kita ucapkan kerana diberi kemampuan menunaikan tanggungjawab melaksanakan perintah Allah SWT menunaikan kewajipan ibadah Ramadan.

Semoga ibadah yang kita lakukan dengan berpuasa pada siangnya dan mendirikan ibadah pada malamnya mampu menjadikan kita orang yang bertakwa.

Hari ini adalah hari kegembiraan bagi semua orang yang beriman dan bertakwa yang telah berjaya menunaikan kewajipan yang diperintahkan Allah SWT dan kembali kepada fitrah yang suci setelah sebulan melalui pentarbiahan madrasah Ramadan melawan dorongan hawa nafsu dan pembersihan jiwa.

Oleh itu, adalah wajar bagi kita menyambutnya pada hari ini dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir membesarkan serta memuji dan memuja Allah SWT serta bersyukur atas kemenangan ini.

Saya menyeru semua ahli IKRAM untuk bersama-sama umat Islam melakukan ibadah solat sunat Aidilfitri bersama kaum keluarga dan mengambil peluang melakukan kunjungan ziarah kepada seluruh kaum Muslimin tanpa mengira latar berlakang kerana semua Muslimin adalah bersaudara.

Saya berharap agar hubungan kekeluargaan antara anak dan kedua-dua ibu bapa terus diperkukuhkan serta hubungan dan jalinan kasih sayang antara suami dan isteri dipertingkatkan.

Saya juga berharap agar hubungan antara saf pemimpin IKRAM sama ada di pusat mahupun di negeri dan kawasan dengan ahli-ahli terus diikat dengan jalinan ukhuwah dan mahabbah fillah kerana ini semua adalah rahsia dan asas kekuatan jamaah kita.

Marilah kita saling mendoakan dan bermaafan pada bulan yang mulia ini. Syawal juga adalah bulan pengukuhan persaudaraan dan perpaduan ummah. Marilah kita bersama-sama menghulurkan salam persaudaraan dan kasih sayang sesama kita.

Pada bulan yang penuh kemuliaan ini kita juga tidak harus melupakan golongan yang memerlukan, yang ditimpa bencana, anak-anak yatim, ibu tunggal yang memerlukan bantuan dan fakir miskin yang menuntut pembelaan.

Marilah kita semua terus prihatin melakukan yang terbaik bagi menjayakan seluruh agenda pembaikan dan pengislahan bagi ummah dan masyarakat, menghulurkan tenaga dan memerah keringat, meningkatkan amal dan menggerakkan saf bagi meningkatkan sumbangan pertubuhan kita berkhidmat kepada masyarakat dan ummah.

Selain itu, ayuhlah kita melakukan perubahan ke arah yang lebih baik untuk diri sendiri dan masyarakat seluruhnya dengan memilih pemimpin yang selayaknya, memandangkan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan berlaku pada bila-bila masa selepas Hari Raya ini. Pilihlah mereka yang berkelayakan dan dapat memimpin dengan sebaiknya sebagaimana Allah SWT dan Rasul-Nya inginkan.

Teruskanlah berazam dan berusaha untuk bersama-sama meningkatkan amal ke arah membaiki keadaan umat, masyarakat dan negara ke satu tahap perkembangan dan kemajuan yang lebih baik, sejajar dengan kehendak syariah dan wawasan kita memacu perubahan masyarakat dan negara, dan membangunkan Malaysia sebagai negara rahmah mithali.

Semoga seluruh amal yang kita lakukan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan dalam memperjuangkan kalimah Allah yang tinggi dan membela agama ini diterima Allah SWT dan disaksikan oleh orang-orang yang beriman.

Selamat menyambut Hari Raya Aidilfiri 1438H, minal ‘aaidin wal faaizin.

تَقَبَّلَ اللَّهُ مِنَّا وَمِنْكُمْ

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar! Walillahil Hamd!

USTAZ DR HJ MOHD PARID SHEIKH AHMAD
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.
Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply