Merdeka Pemikiran Dan Rasa Hati – Muharikah

0
727
views

14202551_1183808658324395_4019380293450416880_n

Sudah 59 tahun kita merdeka. Tentunya kita harus menilai kejayaan negara kita ini bukan pada infrastruktur semata, tapi dari sudut pembangunan diri kita sebagai rakyat Malaysia.

Detik hari ini harus kita bertanya diri kita semula sebagai rakyat Malaysia, sudah di mana tahap kita di mata dunia?

Kita mahu terus menjadikan negara kita membangun sehingga mampu menaik taraf kedudukan kita sebagai rakyat negara ini secara sosial dan ekonominya. Kita juga mahu berbangga sebagai rakyat Malaysia bahawa negara kita ini memiliki sesuatu yang menjadi rujukan umum bagi dunia.

Namun kesan penjajahan yang lama satu masa dahulu masih memberi kesan kepada cara berfikir dan tindakan kita. Kita masih kurang keyakinan diri dan masih belum mampu melihat negara kita sebagai negara yang mampu memimpin dunia.

Merdekanya kita di Malaysia ini bukanlah sekadar merdekanya secara fizikal. Namun, paling penting adalah merdeka dari aspek pemikiran dan kejiwaan. Dahulu Islam bukan sahaja pernah memerintah negara kita, tapi membentuk kejiwaan dan pemikiran kemerdekaan yang sebenar.

Islam menjadikan kita memandang tinggi ketuanan kita di bumi kita sendiri. Islam yang menjadikan diri kita sebagai bangsa yang konfiden, unggul serta berani.

Setelah era penjajahan, kita sering melihat diri kita kecil dan tidak mampu berkuasa. Kita masih takut nak berubah kerana perubahan dianggap satu risiko yang sangat besar. Kita masih takut untuk berbuat sesuatu untuk mengubah keadaan kita walaupun sedar keadaan ekonomi dan keadaan negara sudah begitu terhimpit.

Dalam keadaan negara sudah merdeka, kita masih rasa tidak bebas bersuara dan berbuat perubahan. Kita masih gagal berasa selamat dalam negara kita ini. Kita masih mencari ruang keadilan sosial pada negara merdeka kita sendiri.

Dalam keadaan bangsa asing menjadi kaya hasil dari negara kita, kita masih miskin di negara ini. Kita masih sukar untuk bebas dari kekangan hutang dan kesempitan hidup. Jumlah jenayah makin bertambah dan kes social remaja sangat merisaukan. Ini memberi kesan kepada pembangunan diri dan keluarga kita sendiri.

Dari sudut kesihatan dan juga kualiti udara sendiri, negara kita masih di tahap yang membimbangkan.

Negara yang maju yang dapat dibangunkan jika suasana rakyatnya terus berpendidikan, selamat dan adil. Jika kita mahu negara kita seiring dengan negara maju, ia harus bermula dari diri kita sendiri.

Kita harus merdeka dari sudut pemikiran dan rasa hati kita.
Kita harus merasa diri kita mampu membuat perubahan dalam negara kita ini dengan mengubah diri kita sendiri.

Kita melihat pelbagai masalah dalam negara kita ini. Tidak ada pengubahnya kecuali tangan-tangan kita sendiri.

Bagi memastikan kemerdekaan rakyat Malaysia yang sebenar, haruslah kita menumpukan kepada tiga aspek ini:

a) Pembelajaran yang berterusan. Masyarakat yang berjaya adalah masyarakat yang berterusan mendidik dirinya.
b) Pendidikan ruh. Ini menjadikan negera kita terbina oleh insan yang memiliki ruh yang tinggi.
c) Keadilan sosial dan ekonomi. Perkara ini akan memandu pertumbuhan negara yang drastik dari sudut produktiviti dan teknologi.

Sudah berapa lama diri kita merdeka, tapi kita belum lagi benar-benar berada di kemuncaknya. Sudah tiba masa bukan sahaja infrastuktur kita dikenali dunia, tetapi rakyat Malaysia juga terkenal di mata dunia!

Negara kita ini bukan milik mana-mana bangsa, agama atau mana-mana parti politik. Negara Malaysia ini adalah milik kita semua. kItalah yang harus membuat perubahan di dalamnya.

Salam Hari Kemerdekaan Ke 59!

Artikel Berkaitan

KUPON BUKU DISKAUN RM5 IMANSHOPPE

mm
Website yang menumpukan bahan bacaan islamik bagi yang memerlukan untuk pengisian rohani mereka. Jangan lupa like FB dan follow Twitter untuk dapatkan makluman artikel terbaru daripada kami.

Leave a Reply