Muhasabah Diri

0
4
views

Muhasabah Diri

muhasabah diri

  Muhasabah Diri | Assalamu’alaikum wbt.

 Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan 

sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri 

padahal kamu membaca Al-Kitab, 

tidakkah kamu berfikir?

 [Al-Baqarah, 2:44]

Eh? Saya ulang lagi baca ayat ini.

 “Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al-Kitab, tidakkah kamu berfikir?”

 Jika tadi hanya membaca di dalam hati. Kini membaca kuat-kuat pula. Supaya lebih mudah diserap. ALLAHU ALLAH. Terasa ayat ini begitu dekat dengan diri.

Dunia sekarang yang penuh kecanggihan ini lebih memudahkan cara untuk kita menyebarkan kebaikan. Betul kan? Kita boleh menulis kata-kata kebaikan dan nasihat di laman sosial Facebook mahupun Twitter. Bagi yang mempunyai blog, mereka menyampaikan kebaikan dan nasihat melalui penulisan mereka. Bagi yang minat membuat video, mereka menterjemahkan mesej dan pengajaran yang indah dalam video dan vlog. Masya-ALLAH!

Sungguh kemajuan teknologi lebih membantu kita dalam menyebarluaskan kebaikan. Dalam berdakwah.

Saya yakin, rata-rata setiap daripada kita pasti mempunyai laman sosial Facebook atau Twitter bukan? Setiap hari berkongsi kata-kata indah penuh pengajaran buat rakan maya. Berkongsi tentang kisah dan nasib yang menimpa saudara kita di Syria, Palestin dan seluruh dunia.

Kemudian apakah tindakan susulan kita yang seterusnya selepas berkongsi segala maklumat dan info itu?

Adakah sekadar berdiam diri sahaja?

Adakah kalian terjemahkan setiap nasihat yang diberikan dalam perbuatan dan amal kalian?

Kita sering terlepas pandang sebenarnya tentang hal ini. Kita sering pandai menasihati orang lain. Kita sering menenangkan hati yang gundah gulana dengan ayat-ayat cinta ALLAH, dengan bait-bait kata yang menyejukkan hati yang sedang kusam. Kita bersyukur dan bergembira apabila orang sekeliling kita mendengar dan mengambil pengajaran daripada nasihat kita. Persoalannya di sini, adakah kita sendiri mendengar dan mengambil pengajaran daripada kata-kata kita sendiri?

 Hakikatnya setiap apa yang terlafaz di bibir kita perlulah diamalkan oleh diri kita sendiri terlebih dahulu. Kita tidak mahu menjadi seperti si ketam yang mengajar anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan senget.

 Kita seharusnya menyahut seruan dan motto Syeikh Mustafa Masyur; Islah Nafsaka, Wad’u Ghairaka. Yang bermaksud perbaikilah dirimu, dan ajaklah orang lain. Oleh itu, kita hendaklah menterjemahkan setiap apa yang kita perkatakan dalam bentuk amal dan perbuatan.

 Marilah sama-sama kita refleksi diri. Bersama-samalah kita bermuhasabah menyelami diri sendiri. Adakah setiap nasihat dan kata-kata yang kita tulis, yang kita perkatakan sudah kita amalkan sendiri? Adakah kata-kata yang dikongsikan di ruangan sosial Facebook dan Twitter itu sekadar perkongsian semata-mata? Adakah kita hanya soleh dan solehah di laman sosial semata-mata? Adakah kita hanya biasa-biasa sahaja di luar?

 “Mengapa kamu menyuruh orang lain mengerjakan kebaikan sedangkan kamu melupakan diri kamu sendiri padahal kamu membaca Al-Kitab, tidakkah kamu berfikir?”

 Akhir kata, saya memperingati diri saya sendiri dan para pembaca. Ayuh, maknakan nasihatmu. Beramal dengan ilmu dan pengetahuanmu. Janganlah menjadi seperti ketam yang mengajar anaknya berjalan betul sedangkan dirinya sendiri berjalan senget. Moga ALLAH meredhai setiap usaha kita kea rah kebaikan. Moga ALLAH membantu kita dalam memperbaiki diri dan mengajak orang lain ke arah kebaikan. Insya-ALLAH.

Wan nadzipah

http://majalahjom.blogspot.com/

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply