Mujahadah Cinta

0
47
views

Mujahadah Cinta

Mujahadah Cinta

Mujahadah Cinta | Tangannya ligat menyusun barangan serta buku-buku yang berselerakan di atas lantai dan meja belajarnya. Mulutnya bernyanyi kecil nasyid kegemarannya, Seiring Sehaluan. Beberapa hari lagi dia bakal meninggalkan tanah air untuk menyambung pelajarannya dalam bidang perubatan di United Kingdom. “Tunggu UK! Aku datang bagi menyahut cabaranmu!” teriak hati kecilku. Aku mengoyak senyum sendiri.

Aku menyambung tugas-tugasku yang kini beralih pula pada pemberian dan memori-memori daripada teman-teman ketika zaman persekolahan dulu. Tiba-tiba tanpa aku sedari, tanganku tertepis sebuah novel di atas meja. Hatiku beristighfar sebentar lantas segera novel tebal itu kucapai. Mataku tertumpu pada kulit novel yang berwarna hijau itu. “Sebarkan Cinta-Mu” ucapku perlahan-lahan. Tiba-tiba hatiku dipagut pelbagai rasa yang bercampur baur. “Ya Allah, aku belum pulangkan novel ini pada pemiliknya.” desis hati kecilku. Helaian novel itu aku selak satu persatu sehingga separuh muka novel tersebut, sepucuk surat berwarna ungu lavender jatuh ke atas riba. Perlahan-lahan jari-jemariku membuka lipatan surat yang masih terlipat kemas. Baris demi baris aku baca perlahan-lahan.

“Salam. Semoga anta sentiasa berada dalam lindungan dan rahmatNya. Anta, ini mungkin yang terakhir daripada ana. First of all, asif syadid untuk segala yang telah berlaku. Ana yang mulakan dan biarlah ana yang mengakhiri semua ini. Selama ini, kita selalu anggap apa yang kita buat betul sedangkan kita masing-masing sedar hakikat sebenarnya tidak.

Islam tidak menghalalkan perhubungan kita. Walaupun kita berukhuwah atas dasar Islami, ia tetap salah. Ana tidak pernah menyalahkan abah ana kerana mengambil keputusan untuk memutuskan persahabatan kita. Ana tahu bahawa abah hanya inginkan yang terbaik buat puterinya. Abah ketua keluarga, abah bertanggungjawab untuk melindungi ahli keluarganya daripada api neraka. Abah tak nak ana buat dosa dan heret anta sekali ke neraka. Ana sayangkan persahabatan kita, tapi Allah, Rasul dan ibu bapa adalah keutamaan ana. Allah takdirkan semua ni terjadi kerana DIA masih sayangkan kita. Ana yakin setiap yang terjadi pasti ada hikmahnya.

Biar pahit sekarang sebab mujahadah tu kan pahit kerana syurga itu indah. Rasa manis sebuah kebahagiaan akan dikecapi selepas merasai pahitnya sebuah kekecewaan. InsyaAllah anta pemuda soleh pasti faham apa yang berlaku. Jaga diri, jaga hati dan jaga iman anta baik-baik. Solat jangan tinggal! InsyaAllah one day, you will be a great Muslim doctor. Yang penting, belajar bersungguh-sungguh kerana Allah. May success and happiness will always be yours. InsyaAllah, doa buat anta takkan pernah luput. Ingat, biarlah setiap pertemuan dan perpisahan itu kerana Allah. May Allah bless :)”

**********

Aku mengeluh perlahan. Terasa sesak dadaku tatkala ini. Pandanganku lemparkan jauh-jauh ke luar tingkap, cuba mencari ruang ketenangan di dalam diri. “Raihanah Safiyyah” bisikku perlahan. Terimbas kembali detik perkenalanku dengannya yang hanya bermula di sebuah kumpulan di laman sosial terkenal, facebook. Semakin hari hubungan persahabatan  kami semakin akrab sehinggakan kami bertukar-tukar buku dan sebagainya. Tambahan pula, sahabat karibku, Hasif Awsam adalah teman sekolah kepada Raihanah Safiyyah.

Jadi, lebih mudah untuk kami berhubungan kerana Hasif menjadi ‘posmen-tidak-berbayar’ kami. Persahabatan kami sememangnya tidak diketahui oleh ibu bapa masing-masing. Fiyya pernah memberitahuku agar tidak terlalu kerap menghubunginya kerana khuatir diketahui oleh ibu bapanya yang amat menjaga perhubungan anak-anak perempuannya. Sejujurnya aku telah memberitahu ibu bapaku mengenai perhubungan kami memandangkan ummiku asyik bertanya siapakah gerangan Raihanah Safiyyah itu.

Aku sedar adalah tidak patut untuk aku mendekati seorang perempuan melainkan berniat untuk menikahinya tambahan pula tanpa pengetahuan orang tuanya. Namun, padaku ketika itu yang masih bersekolah, Fiyya banyak membawa perubahan positif dalam hidupku. Dia sering menasihati aku tidak kira dalam pelajaran mahupun apa sahaja. Hubungan persahabatan kami berterusan sehinga suatu hari abahnya telah menghubungiku dan meminta agar aku tidak menghubungi puterinya lagi. Aku akur dan menghormati permintaan abahnya. Dan disebabkan peristiwa itu juga aku tidak berpeluang untuk memulangkan novelnya yang telah aku pinjam.

“Sungguh tidak amanah kau, Muhammad Rayyan Muslim kerana tidak memulangkan novelnya semula. Pasti dia ternanti-nanti.” desis hatiku. Sungguh, aku masih belum punya kekuatan dan keberanian untuk berhadapan dengannya setelah berlakunya peristiwa itu. Lantas aku teringat akan sesuatu…

Chatting box, facebook

Raihanah Safiyyah: “Ana pinjamkan dulu novel ini pada anta. Ana pun belum khatamkan lagi novel tu, tapi anta bacalah dulu. Kalau tak sempat pulangkan, nanti boleh la ya ceritakan pada ana sambungannya suatu hari nanti.”

 Rayyan Muslim: “Ish, kenapa cakap macam tu? ‘Suatu hari nanti’ anti tu menyeramkan ana pulak. Tak jadi nak meminjam lah macam ni…”

 Raihanah Safiyyah: “Ana gurau aje. Bacalah dulu, Encik Rayyan oi! Nanti ana pass dekat Encik Posmen, Hasif Awsam ye.”

 Rayyan Muslim: “Haa~ cantik, okay, okay! Syukran Jazilan Kathiran ye Cik Fiyya.”

 Raihanah Safiyyah: “’Afwan. Hmm~ ‘Cinta High Class’ ana jangan nak buat-buat lupa. Baru exchange namanya… janji ya ceritakan Sebarkan Cinta-Mu kalau tak sempat nak pulangkan…”

Aku tersenyum sendiri sambil mataku kembali menatap novel ‘Sebarkan Cinta-Mu’.

“InsyaAllah, Raihanah Safiyyah…” tuturku semula perlahan-lahan.

**********

“Abang! Jomlah makan. Fiyya dah siap hidangkan masakan kegemaran abang …” terdengar suara halus dan lembut isteriku memanggil. Pantas lamunanku terhenti. Aku kembali ke alam nyata.

“Astaghfirullah! Aku mengelamun rupanya.”

“Kenapa ini abang?” soal isteriku seraya tangannya menyentuh lembut bahu kananku. Aku tersenyum manis padanya. Aku tatap wajah suci bidadariku dengan penuh rasa kasih. Aku raih kedua-dua tangan lembutnya dan kugenggam seketika.

“Fiyya, terima kasih sebab sudi menjadi bidadari abang di dunia dan insyaAllah ke syurgaNya… Walaupun dulu kita terpisah bertahun-tahun lamanya tanpa khabar berita mengenai masing-masing, akhirnya Allah menemukan kita kembali dalam sebuah ikatan pernikahan yang halal dan suci. Alhamdulillah, betullah apa yang Fiyya cakap dulu. Rasa manis sebuah kebahagiaan akan dikecapi selepas merasai pahitnya sebuah kekecewaan.” tuturku tulus.

“Apa  abang ni, tengah-tengah hari ini nak bermadah segala. Abang ni, kan Allah tu The Best Planner Ever? Allah sentiasa tahu apa yang terbaik buat hamba-hambaNya. Allah dah catatkan seorang Muhammad Rayyan Muslim adalah untuk seorang Raihanah Safiyyah sejak di Lohmahfuz lagi. Fiyya akui memang ‘sakit’ dan ‘pedih’ bila kena hadapi semua itu dulu, tapi rupa-rupanya Allah nak hadiahkan sesuatu yang sangat indah dan bahagia buat Fiyya. Abang tahu tak, Fiyya hari-hari doakan abang sebab Fiyya dah tak contact abang, tak tahu apa-apa perkembangan abang… Fiyya percayakan Allah sahaja yang boleh jaga abang baik-baik. Abang tu je yang kedekut nak doakan Fiyya. Bila orang mintak doakan, ada cakap, ‘Hmm, kalau ana ingat lah Fiyya…’ terasa tahu!” jelas Fiyya sambil buat-buat muka merajuk.

“Hahaha, mana awak tahu abang doakan awak ke tak. Kita dah jauh masa itu, mana awak nampak abang doakan awak ke tak. Abang pegang kata-kata ni…

“Biar tak berhubungan,

Tapi saling mendoakan,

Cukuplah Allah sebagai penghubung”

Abang selalu je doakan awak tapi biarlah abang dan Allah sahaja yang tahu. Sebenarnya abang ‘tinggal’ Fiyya macam tu je dulu sebab abang nak hormati permintaan abah Fiyya. Abang juga nak jaga kesucian hubungan kita sebelum kita diijabkabulkan. Abang pun kecewa masa awal-awal jadi macam tu, tapi lama-lama abang dapat terima dan sedar hikmahnya… kalau nak Cinta High Class, kenalah berkorban banyak perkara kan? Tahu tak betapa gementarnya abang masa nak propose Fiyya dekat abah? Rasanya abang dan Allah sahaja yang tahu. Tapi, Alhamdulillah, Allah permudahkan segala-galanya…” terangku perlahan.

“My beloved Imam, Allah akan sentiasa permudahkan perkara-perkara yang baik dan DIA suka, okay? Hmm, abang, dulu janji nak sambung ceritakan Sebarkan Cinta-Mu dekat Fiyya…” Fiyya mula meminta janjiku kepadanya ditepati.

“Yalah, dah terlupa pula~ Nanti kita buat bedtime story ye. Sehari satu muka surat.” meletus tawaku kuat.

“Ish abang ni, buat lawak pula.” gumamnya lantas jarinya mencubit lenganku manja. Aku dan Fiyya sama-sama ketawa.

“Ummi. Abi… along lapar…bila nak makan ni?” rengek si kecilku dengan pelatnya di muka pintu bilik kami.

“Syira pun hungry jugak…” sampuk satu suara comel dan manja.

Kedua-dua anak kecil itu berlari-lari mendapatkan ummi dan abinya yang berdiri di tingkap bilik. Segera aku serta Fiyya mendukung anak kembar kami, Muhammad Isyraf Nadhir dan Dianah Basyirah yang baru sahaja berusia tiga tahun.

“Hahaha, jom, jom kita pergi makan ya sayang… Abi pun lapar jugak ni… Ni haa Ummi ikat ayah kat sini…” kataku disambut tawa ummi mereka. Kedua-dua kembar kami hanya tersengih kerana masih belum mengerti apa yang diomelkan aku sebentar tadi.

Mujahadah Cinta

**********

Sesungguhnya setiap yang telah Allah takdirkan buat kita pasti ada hikmahnya. Mungkin sesuatu yang kita suka itu adalah tidak baik buat kita dan sesuatu yang kita tidak suka adalah yang terbaik buat kita. Allah memang perancang yang terbaik buat selama-lamanya. Alhamdulillah, berkat usaha dan doa ummi, ayah dan mungkin sahaja doa Fiyya telah mengiri perjalanan hidupku. Kini, aku telah berjaya bergelar seorang doktor seperti yang aku impikan sejak dari kecil.

Aku memanjatkan segala kesyukuran kepada Ilahi atas segala kurniaan yang tidak terhingga ini.  Benarlah setiap dugaan dan ujian itu sebenarnya terselit seribu hikmah di sebaliknya. Walaupun sukar untukku memiliki hati seorang Raihanah Safiyyah, akhirnya Allah permudahkan jua. Teringat aku pada pesanan seorang ustaz yang mengajar Pendidikan Syariah Islamiah sewaktu di bangku sekolah,

“Hatinya milik Allah. Jika kamu mahukan hatinya, mintalah kepada pemilik segala-galanya iaitu Allah…”

InsyaAllah, hatinya sudah aku miliki, namun amanah dan tanggungjawab yang tergalas di bahuku ini tidak akan ku persia-siakan begitu sahaja. Aku seorang hamba yang masih dalam perjalanan mencari redhaNya, moga sahaja kehadiran bidadari dan permata hati di sisiku dapat membantuku bersama-sama ke jannahNya, insyaAllah…

-TAMAT-

Karya Bersama: Nusaibah bt Shaik Azizi / Khaulah Maisarah(Nama Pena) /Izara Aulya (Nama Pena)

Mahukan Artikel Seperti Ini Lagi? Sila Isi Form Dibawah

Loading Facebook Comments ...

Leave a Reply